Perlis International Open Fight pukau 25,000 pengunjung

Perlis International Open Fight pukau 25,000 pengunjung

ABU Bakar Hamzah (dua dari kanan) bergambar bersama salah seorang pemenang Perlis International Open Fight Night 2.0 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA pentas dan gelanggang yang begitu gah menjadi medan para petinju Muay Thai dari dalam dan luar negara beraksi penuh semangat sempena Perlis International Open Fight Night 2.0.

Perlawanan yang berlangsung selama dua hari dari 17 dan 18 Mei di Dataran Lok 9, Kuala Perlis itu menarik lebih 25,000 pengunjung yang memenuhi dataran untuk menyaksikan pertarungan sengit membabitkan 18 perlawanan.

Kejohanan memasuki edisi kedua itu dianjurkan oleh Persatuan Khazanah Kuala Perlis dan kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) .

Ia juga bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 baginda.

Penganjuran Perlis International Open Fight Night 2.0 juga bersempena Festival Rakyat 2.0 yang memberi impak cukup besar khususnya dalam menarik kehadiran pengunjung termasuk pelancong dari luar negara ke negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Seni Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, kejohanan itu menjadi antara pentas penganjuran sukan tomoi atau Muay Thai yang cukup berprestij di negara ini.

Sebanyak 18 perlawanan yang telah diatur sepanjang dua hari penganjuran program tersebut menampilkan peserta serata dunia seperti dari Palestin, Yaman, Iran dan Thailand.

Penganjuran tersebut satu kebanggaan apabila berjaya menghimpunkan penyertaan dari dalam dan luar negara untuk bersama dalam kejohanan bertaraf antarabangsa yang secara tidak langsung turut membuka potensi pelancongan.

“Kehadiran sepanjang dua hari ini begitu menggalakkan dengan difahamkan lebih 25,000 orang. Malah, saya juga difahamkan pentas kejohanan ini antara penganjuran terbesar pernah diadakan di negara ini.

“Ramai pengunjung atau peminat sukan itu hadir dari seluruh negara bagi bersama-sama mengikuti kemeriahan kejohanan ini.

“Kejohanan ini juga akan diteruskan yang dianjurkan secara tahunan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis,” katanya.

PELBAGAI PENGISIAN MENARIK

Selain Perlis International Open Fight Night 2.0, terdapat beberapa pengisian menarik lain telah dilaksanakan menerusi Festival Rakyat 2.0 yang bermula sejak 9 hingga 18 Mei.

Antaranya, Malam Citrawarna Kuala Perlis, Kejohanan Gusti Lengan Peringkat Antarabangsa Perlis 2025 dan Kejohanan Tarik Tali Terbuka Kelab Antarabangsa.

Sebagai rekod, usaha Abu Bakar memperkenalkan Eyes of Kuala Perlis di Dataran Lok 9 telah menjadi mercu tanda baharu di Kuala Perlis.

Lokasi tersebut menjadi pusat kepada pelbagai program yang dianjurkan khususnya mempromosi aspek kebudayaan, kesenian, perhotelan, kedai makan dan pelbagai lagi buat penduduk tempatan atau pelancong luar.

Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, pemerkasaan bidang pelancongan sukan seperti pelaksanaan program tersebut merupakan usaha dilaksanakan kerajaan negeri dalam merancakkan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menarik kehadiran pengunjung ke Perlis malah penganjuran TMPs juga bakal dilanjutkan sehingga tahun hadapan bersempena Tahun Melawat Malaysia bagi merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan.

“Oleh itu, saya seru semua warga Malaysia dan penduduk luar agar pandanglah ke Perlis kerana negeri ini mempunyai banyak tempat menarik untuk pelancong, malah kami juga berupaya menganjurkan program-program bertaraf antarabangsa,” katanya.

Di samping itu, Abu Bakar turut mengharapkan pemain industri pelancongan, kebudayaan dan semua pihak berkaitan dapat bersama-sama menjayakan misi dan visi TMPs.

Kerjasama semua pihak dapat membantu mencapai sasaran kehadiran lima juta pelancong ke Perlis pada tahun ini.

“Saya juga akan turun ke 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis selepas bulan Mei ini untuk menterjemahkan penganjuran TMPs di semua kawasan.
“Ini bagi membolehkan penganjuran TMPs dapat dilebarkan di semua kawasan seluruh negeri ini dan bukan sekadar di Kuala Perlis sahaja.

“Kita akan turun ke setiap DUN bagi merancakkan penganjuran TMPs sekali gus menarik kehadiran pengunjung ke Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN