SIKAP sambil lewa dan tidak proaktif semasa latihan industri menjadi punca generasi muda tidak tahan dengan dugaan alam pekerjaan.
Malah, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak 64 peratus daripada tujuh juta pekerja Generasi Z (Gen Z) tidak mampu menghadapi tekanan bekerja sehingga mengalami keletihan melampau (burnout) sekali gus menyebabkan golongan tersebut sering bertukar tempat kerja.
Perkara ini mencetuskan kebimbangan umum memandangkan generasi muda penentu masa hadapan negara.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Dr. Syed Hussain berkata, masih terdapat segelintir pelajar latihan industri yang gagal menunjukkan sikap profesional dan bertanggungjawab sepanjang tempoh latihan dijalankan.
“Antara sikap yang sering dikenal pasti ialah tidak menunjukkan inisiatif sendiri dan terlalu bergantung kepada arahan semata-mata.
“Mereka juga cenderung menunggu tugasan tanpa berusaha memahami aliran kerja organisasi,” katanya.
ZON SELESA
Sikap tidak profesional dalam kalangan pelajar latihan industri biasanya disebabkan oleh bilangan pelajar yang terlalu ramai ditempatkan di sesebuah syarikat, terutamanya daripada kursus dan universiti yang sama.
Keadaan ini mewujudkan ‘zon selesa’ dalam kalangan pelajar apabila mereka lebih cenderung untuk berkumpul sesama sendiri, khususnya jika terdiri daripada jantina yang sama.
Akibatnya, mereka kurang bergaul dengan kakitangan tetap syarikat dan sukar menyesuaikan diri dengan budaya kerja organisasi.
Kecenderungan berada dalam kumpulan sendiri juga menjadikan pelajar kurang terbuka terhadap teguran atau maklum balas, sama ada daripada pihak atasan mahupun rakan sekerja, sekali gus menyukarkan proses pembentukan sikap profesional dalam persekitaran kerja sebenar.
Sedangkan, latihan industri merupakan peluang berharga untuk menimba pengalaman, mempelajari kemahiran baharu, dan memahami suasana sebenar dalam dunia pekerjaan.
Kesan terhadap syarikat
Sikap sebegini bukan sahaja menjejaskan prestasi pelajar itu sendiri, malah memberi kesan langsung kepada kelancaran operasi harian organisasi.
Syed Hussain berkata, apabila pelajar gagal menjalankan tugasan dengan baik, staf sedia ada terpaksa mengambil alih kerja yang sepatutnya diselesaikan oleh pelatih terbabit.
Keadaan ini bukan sahaja menambah beban kerja kepada kakitangan, malah turut mengganggu pengurusan masa kerana terpaksa mengambil alih hasil kerja yang tidak menepati piawaian.
Hasil kerja yang tidak memuaskan, termasuk tugasan yang dibiarkan terbengkalai, boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja dan mencetuskan konflik dalaman, sekali gus menjejaskan semangat kerjasama pasukan.
Sekiranya masalah sikap tersebut berlarutan, ia berpotensi menjejaskan prestasi keseluruhan projek walaupun tempoh pelajar menjalani latihan industri hanyalah sementara.
“Walaupun nampak seperti isu kecil, ia sebenarnya boleh memberikan impak besar terhadap reputasi syarikat, khususnya apabila melibatkan hubungan dengan klien atau pelanggan,” jelasnya.
Apatah lagi, kebanyakan klien tidak mengambil kira siapa yang menjalankan tugasan, sama ada pelajar praktikal atau staf tetap.
“Sekiranya berlaku kelewatan, kesilapan teknikal atau komunikasi yang lemah, klien akan tetap melihatnya sebagai kegagalan syarikat untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Pelatih Industri disalahguna?
Mengulas mengenai isu pelatih disalah guna, Syed Hussain tidak menolak kejadian itu sememangnya ada berlaku.
Fenomena itu menimbulkan persoalan tentang integriti majikan serta keberkesanan sistem pemantauan latihan industri di negara ini.
Katanya, dalam era persaingan perniagaan yang semakin mencabar, ada majikan yang mengambil jumlah pelajar latihan industri yang banyak untuk mengoptimumkan operasi tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.
“Melihat daripada sudut yang positif, langkah tersebut dapat menjimatkan pengeluaran kos gaji pekerja.
“Namun, bagi sesetengah syarikat yang tidak bertanggungjawab, pelajar praktikal dijadikan seolah-olah tenaga kerja utama.
“Malah, tidak selaras dengan objektif pembelajaran latihan industri yang jelas,” katanya.
Sebagai contoh, pelajar industri diperguna untuk membuat kerja yang tidak berkaitan seperti bancuhkan minuman, membersihkan pejabat dan tandas atau menjadi pemandu majikan.
Amalan tersebut sudah tentu tidak membantu pelajar praktikal memahami prosedur alam pekerjaan yang sebenarnya.
Maka, lebih sukar untuk pelatih beradaptasi dengan realiti pekerjaan kelak.
Penyelesaian eksploitasi
Isu ekploitasi bukanlah sesuatu yang baharu untuk dibincangkan.
Pekerja atau kakitangan yang mendapati majikan berbuat kesalahan demikian, diminta untuk membuat laporan segera bagi mengekang perkara itu daripada berlarutan.
Setakat ini, belum ada undang-undang khusus di Malaysia yang secara terperinci mengawal selia pengambilan pelajar praktikal atau latihan industri di sektor swasta.
“Bagaimanapun, boleh rujuk undang-undang termaktub dalam Akta kerja 1995 (Pindaan 2022) dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang boleh digunakan untuk melindungi pelajar praktikal,” katanya.
Katanya, majikan sepatutnya memikul tanggungjawab besar mendidik dan membentuk bakat generasi muda, terutamanya bagi pelajar yang masih dalam fasa peralihan daripada dunia akademik ke alam pekerjaan sebenar.
“Latihan industri yang dijalankan seharusnya memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari di institusi pengajian mereka.
“Dengan adanya bimbingan yang betul dan sistematik, pelajar dapat membina kemahiran praktikal yang lebih kukuh, memahami budaya kerja sebenar serta menanam nilai profesionalisme dalam diri mereka.,” katanya.
Pengalaman yang baik bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi juga kepada negara secara keseluruhannya kerana membantu melahirkan tenaga kerja yang berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Sekiranya syarikat dilabel sebagai tempat yang tidak memberikan bimbingan yang sewajarnya kepada pelajar latihan industri, ia menjejaskan reputasi organisasi tersebut dalam jangka masa panjang.
Pandangan negatif pelajar terhadap pengalaman mereka boleh tersebar dengan pantas, lebih-lebih lagi dalam era media sosial hari ini.
Hal ini bukan sahaja menyebabkan pelajar dan institusi pengajian tinggi hilang minat untuk bekerjasama, malah syarikat juga berisiko kehilangan peluang untuk merekrut bakat-bakat muda yang berpotensi tinggi.
Ia turut mencerminkan kelemahan dalam budaya kerja syarikat itu sendiri, yang dilihat tidak menyokong pembelajaran dan pembangunan sumber manusia.
Oleh itu, majikan juga perlu melihat latihan industri bukan sekadar proses rutin atau keperluan pentadbiran, tetapi sebagai satu pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan modal insan.-UTUSAN










