Menulis sampai ke syurga atau neraka?

Menulis sampai ke syurga atau neraka?

Buku terbaharu penulis, Sujud Sampai Mati yang menekankan kepentingan solat juga terdapat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Pena bukan sebarang alat! Tulis juga bukan sebarang aktiviti. Gabungan keduanya mampu memanjang usia pemiliknya mencecah ribuan tahun. Juga, mampu menjadi kunci syurga atau neraka empunya badan.”

Sekarang rakyat Malaysia khususnya penduduk sekitar Lembah Klang sedang dilimpahi rahmat ilmu yang membanjiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pun begitu, kehangatan PBAKL turut dikejutkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengharamkan tujuh buah buku yang mempromosi kelucahan melampau dan mungkin memudaratkan moral.

Larangan jualan buku tersebut dilaksanakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Bertitik daripada isu itu, rencana ini akan menyentuh empat kumpulan iaitu (1) pihak berkuasa, (2) penulis, (3) penerbit dan (4) pembaca.

Pertama, tindakan KDN sebagai pemegang taruh keselamatan negara patut dipuji.

Sebarang ancaman yang boleh merosakkan minda rakyat perlu dikawal agar kebebasan berkarya tidak menjadi ruang menumpahkan pelbagai fiksyen tidak bermoral.

Jika tiada kementerian khusus menangani ancaman sebegini, keharmonian negara boleh terancam dengan pelbagai jenayah seksual hasil ransangan karya sampah sebegitu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman, punyai kuasa dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam (al-Baqarah: 251)

Kedua, para penulis wajib sedar bakat mereka dalam penulisan bukan sekadar anugerah Tuhan sebaliknya turut menjadi amanah yang akan disoal siasat di depan Allah SWT kelak.

Tulisan anda mampu mengubah manusia menjadi insan berguna atau sebaliknya. Oleh itu, hasilkan karya yang berkualiti.

Tidakkah anda iri hati dan cemburu dengan para ilmuwan Islam yang sentiasa memperoleh aliran pahala ke dalam akaun akhirat mereka walaupun sudah lama meninggal dunia?

Jadikan hadis ini sebagai rangsangan untuk terus berkarya.

Maksudnya: Apabila manusia mati, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah (yang berterusan pahalanya), ilmu yang diambil manafaat (oleh orang lain) dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya (Sahih Muslim, 3084).

Hidup sebagai Muslim ada auditnya. Setiap tulisan ada dosa pahala yang akan dikutip dan dituai seawal melangkah masuk ke alam kubur.

Pastikan hasil tulisan menjadi mata wang akhirat, bukannya hanya timbunan royalti yang diraih dengan penulisan merosakkan minda anak bangsa.

Ketiga, penerbit perlu lebih bertanggung jawab memilih penulis serta bahan tulisan.

Letak piawaian dosa pahala dalam menentukan pemilihan penerbitan dan bukannya memilih bahan boleh jual sahaja tanpa menilai impaknya kepada pembaca.

Jika keuntungan jualan tetap menjadi kiblat serta pendorong untuk meneruskan kegiatan tidak sihat menerbitkan bahan bertaraf ‘jajan’ minda, ingatlah teguran Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu Berjaya (al-Ma’idah: 100)

Kesan berantai produk bacaan ialah sesuatu yang benar-benar berlaku sama ada kesan baik atau buruk.

Ambil contoh novel The Sorrow of Young Werther yang mengisahkan Werther membunuh diri kerana gagal bercinta.

Penerbitan novel ini dikatakan meningkatkan kes bunuh diri menggunakan cara yang disebut penulis novel tersebut.

Berikutan itu, teori Werther Effect diperkenalkan dalam perbincangan bencana bunuh diri.

Pakar-pakar mencadangkan laporan kes bunuh diri dihentikan siaran dalam media masa bagi mengelakkan orang ramai mengikuti kaedah itu.

Duhai penerbit, jadikan hadis nabi ini sebagai tali kekang dalam menerima manuskrip atau bahan yang bakal dipasarkan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang merintis dalam Islam satu amalan yang baik, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka itu. Dan sesiapa yang merintis dalam Islam satu amalan yang buruk, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka itu (Sahih Muslim, 4830).

Keempat, pembaca merangkumi segenap lapisan masyarakat seperti remaja, orang dewasa serta ibu bapa perlu bijak memilih bahan bacaan yang berkualiti.

Jangan bazirkan kemampuan membaca yang boleh dianggap sebagai nikmat terbesar kurniaan Allah SWT dengan membaca bahan jajan nan sampah.

Angkat minda dengan bahan berkualiti kerana Allah SWT sendiri dalam wahyu pertama mengangkat kemuliaan membaca bersama Nama-Nya.

Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) (al-‘Alaq: 1)

Apa signifikan arahan baca dengan nama Allah SWT?

Antara maksudnya, bacalah apa sahaja bahan! Pastikan ia berguna untuk dirimu serta semakin membawamu kepada Tuhanmu.

Pastinya Tuhanmu mahu kamu hidup sentosa di alam ini dengan pelbagai ilmu berguna yang Allah SWT mudikkan alirannya ke dalam minda manusia melalui bahan bacaan yang berkualiti.

Segera laporkan kepada pihak berkuasa jika ‘hak’ mendapat bahan berkualiti cuba dicemari oleh penulis atau penerbit yang meraih untung menjual bahan bacaan toksik lagi berbahaya.

Sebelum menutup nukilan kali ini, ayuh kita hayati Firman Allah ini yang merangkum semua pihak agar hidup seiring dengan kehendak Allah dalam menulis dan membaca.

Hal ini kerana kita semua akan membaca dan menuai hasil amalan kita di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan setiap manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya pada lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalannya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya). (Lalu Kami perintahkan kepadanya):

“Bacalah Kitab (suratan amalanmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”. (al-Isra’: 13-14)

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz), Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar Libat Urus Masyarakat Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN