Lampu gasolin, warisan cahaya yang kembali ‘menyala’

Lampu gasolin, warisan cahaya yang kembali ‘menyala’

ebanyak 70 lampu gasolin dihidupkan semasa mini pameran dan demonstrasi sempena Hari Muzium Antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suatu ketika dahulu, ia menjadi penyuluh utama malam-malam sunyi di desa. Nyalaannya terang, ‘suaranya’ mendesis perlahan, dan cahayanya menjadi saksi kepada banyak kisah hidup generasi lalu.

Kini, lampu gasolin kembali menyinar bukan sekadar sebagai sumber cahaya, tetapi simbol warisan klasik yang kian dihargai.

Di sebalik usaha itu berdiri sebuah kumpulan penggiat yang menamakan diri mereka sebagai Persatuan Warisan Lentera Klasik (PAWAKA).

Diasaskan secara rasmi pada tahun 2024, PAWAKA digerakkan oleh sekumpulan pengumpul dan pencinta lampu-lampu lama, khususnya jenis gasolin.

Menurut Pengerusinya, Eszeree Rimie Sabri, 44, minat terhadap lampu klasik bermula secara kecil-kecilan sejak 2021, namun semakin serius apabila menyedari nilai estetika dan sejarah yang terkandung dalam setiap unit lampu yang dimiliki.

“Kami bukan sekadar mengumpul, tetapi memperkenalkan semula lampu ini kepada generasi baharu yang mungkin tidak pernah melihatnya. Mereka hanya tahu tentang lampu elektrik dan LED, tetapi tidak pernah mengalami suasana kampung yang diterangi lampu gasolin,” katanya ketika ditemui dalam satu pameran baru-baru ini.

CAHAYA YANG MEMBAWA KENANGAN

Lampu gasolin berfungsi menggunakan petrol atau minyak tanah. Ia menggunakan sistem tekanan untuk ‘memaksa’ bahan api keluar sebagai wap dan menyalakan sumbu khas yang disebut mantle. Hasilnya cahaya putih yang terang, cukup untuk menerangi ruang rumah pada waktu malam.

Menurutnya, lampu yang dilengkapi dengan tangki jenis cool tank biasanya mampu bertahan antara enam hingga lapan jam jika diisi penuh.

Namun, untuk mengekalkan tahap pencahayaan, pengguna perlu mengepam tekanan semula selepas empat atau lima jam penggunaan.

“Selagi ada minyak dalam tangki, kita boleh terus pam. Bila nampak cahayanya malap, itu tanda tekanan sudah menurun, jadi kita pam balik. Orang lama biasanya ikut deria sahaja bila dengar bunyi tekanan makin kuat, cahaya pun makin terang, itu tandanya dah okey,” jelasnya.

Pelihara warisan, didik generasi

Antara jenama ikonik yang masih menjadi buruan pengumpul ialah Butterfly, Petromax, AIDA, Radius, Anker dan Comet.

Jenama Butterfly paling sinonim dengan masyarakat Malaysia kerana banyak digunakan sejak zaman sebelum merdeka.

Walaupun model lama sukar dicari, masih ada jenama yang mengeluarkan versi baharu memandangkan permintaan terhadap lampu klasik semakin meningkat, terutamanya untuk aktiviti luar seperti berkhemah, pameran nostalgia atau sekadar sebagai aksesori di rumah.

“Sekarang, ada juga runner yang membantu mencari lampu-lampu lama di pasar karat atau daripada koleksi peribadi. Malah, ada lampu yang sudah berusia lebih 100 tahun dalam simpanan kami,” katanya.

PAWAKA mempunyai lebih 70 ahli aktif dari seluruh negara, termasuk beberapa rakan dari Thailand.

Kumpulan itu giat menjalankan aktiviti demonstrasi, restorasi lampu serta bengkel menghidupkan semula lampu gasolin

Mereka turut bercadang menganjurkan satu festival lampu klasik dalam masa terdekat sebagai medan pertemuan antara peminat, pengumpul dan orang ramai yang ingin mendekati warisan pencahayaan ini.

“Lampu ini bukan sekadar objek. Ia adalah warisan. Dalam nyalaannya, ada nilai budaya, kenangan dan warisan yang harus kita hidupkan semula,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN