Konsert Rockology satukan Wings, KidDin - Utusan Malaysia

Konsert Rockology satukan Wings, KidDin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Demi penuhi permintaan peminat, dua kumpulan rock lagenda, Wings dan Search KidDin bakal bergabung tenaga di Konsert Jelajah Rockology 2025 di Pulau Pinang dan Johor, pada Jun dan Julai ini.

Menurut Awie, selain mahu mengangkat kegemilangan muzik rock tanah air, sebahagian dana keuntungan konsert tersebut akan disalurkan untuk projek amal Wings untuk membuat konsert di tirai besi.

“Saya terima pelawaan untuk menjayakan konsert ini kerana percaya pada misi dan semangat di sebalik jelajah ini. Konsert ini bukan konsert biasa, ini adalah satu gerakan untuk menghidupkan semula jiwa rock tanah air.

“Sebahagian dana atau keuntungan daripada konsert tersebut akan disalurkan kepada program CSR kami iaitu Konsert Wings Dalam Penjara yang diadakan khas untuk menyantuni komuniti yang memerlukan perhatian dan sokongan pemulihan.

“Ini adalah cara kami untuk memberi kembali kepada masyarakat, terutama mereka yang telah tersisih daripada dunia luar,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah Rumah Produksi Merah (RPM), Datuk Eddy Amir Salim, gabungan Wings, Kid dan Din yang merupakan anggota asal kumpulan Search itu mampu mengimbau kembali nostalgia zaman rock kapak pada konsert yang akan berlangsung nanti.

“Konsert ini adalah permulaan kepada misi kami untuk membawa semula semangat rock tempatan ke tahap yang lebih profesional, tersusun dan mampan.

“Kami amat mengalu-alukan mana-mana penaja atau rakan strategik untuk turut serta dalam menjayakan konsert ini bukan sahaja sebagai platform muzik, tetapi sebagai gerakan budaya dan sosial.

“Gabungan kedua-dua ikon rock ini juga dijangka mampu mengimbau kembali nostalgia peminat dari pelbagai generasi untuk menikmati lagu hits sepanjang konsert itu berlangsung,” jelasnya.

Untuk info, Konsert Jelajah Rockology 2025 ini bakal berlangaung di dua lokasi iaitu Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun dan Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 5 Julai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN