HULU SELANGOR : Selepas 11 kali melalui proses turun naik mahkamah, pelakon, Hafidz Roshdi, mengakui lega apabila dia kini dilepas dan dibebaskan daripada kes pukul bekas isterinya, iaitu Nurul Shuhada.
Menurut Hafidz, dia bersyukur apabila kes yang menjejaskan namanya sebelum ini akhirnya selesai.
“Alhamdulillah sekarang saya lega dan bersyukur. Saya tidak mahu bermusuhan, hanya mahu selesai cara baik sahaja,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, petang tadi.
Terdahulu, keputusan tersebut itu dibuat oleh Majistret Mahkamah Kuala Kubu Bharu iaitu Nurul Izzah Hasan Basri selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak.
“Mahkamah dengan ini memerintahkan OKT (Orang Kena Tuduh) dilepaskan dan dilepaskan. Jaminan juga dikembalikan,” katanya.
Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Muhamad pada awalnya meminta supaya kes tersebut dikategorikan sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Bagaimanapun peguam kepada Hafidz iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader meminta supaya mahkamah mempertimbangkan Hafidz dapat dilepaskan dan dibebaskan.
“Saya dengan rendah diri memohon supaya Hafidz dapat dilepaskan dan dibebaskan kerana pengadu memang sudah tidak mempunyai hasrat meneruskan kes,” ujarnya.
Sementara itu, Akberdin ketika ditemui selepas perbicaraan menjelaskan ketidakhadiran Shuhada juga menjadi faktor kepada keputusan itu dibuat.
“Alhamdulillah mahkamah beri perintah untuk bebaskan dan lepaskan Hafidz sebab pengadu tak hadir dan pendakwa raya beritahu pengadu tidak berhasrat untuk teruskan kes.
“Mahkamah dah bagi amaran terakhir untuk datang hari ini, tapi tidak datang juga.
“Mereka minta ‘discharge not amounting to acquittal’ (DNAA). Saya jawab demi keadilan kena bagi ‘acquittal (AND) sebab pengadu tak berminat buat apa nak gantung,” ujarnya.
Untuk info, pada 13 Ogos lalu, mahkamah menetapkan perbicaraan kes pukul Hafidz diteruskan walaupun Shuhada telah menarik balik laporan terhadap tertuduh.
Shuhada menarik semula laporan tersebut pada 6 Julai lalu secara sukarela dan tanpa paksaan mana-mana pihak.
Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 3.22 pagi pada 2 Mac 2023.
Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan sah bercerai talak satu pada Julai tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4 tahun.-UTUSAN