Bunyi air pancuran mandi mengiringi suara lelaki yang bercakap sendirian. Bukan kerana kesunyian atau kebosanan, tetapi itulah ‘rahsia’ penyampai radio Suria FM membina keyakinan diri.
Abdul Karim Hassan, 30, atau lebih dikenali sebagai Kai Hassan mengakui sudah lama mengamalkan tabiat bercakap seorang diri sama ada di bilik mandi mahupun di hadapan cermin.
“Mungkin tidak ramai yang tahu, dulu saya pemalu, gemuk dan langsung tiada keyakinan diri.
“Bila tengok Faizal Ismail dan Fara Fauzana bersiaran langsung, saya mula tanam impian nak jadi seperti mereka.
“Lama-kelamaan, ia menjadi pendorong untuk saya keluar dari zon selesa,” katanya baru-baru ini.
Kini, Kai tidak hanya mampu bercakap dengan yakin, malah menyapa ribuan pendengar setiap pagi menerusi segmen Morning Morning Suria bersama Datuk Fizz Fairuz dan Ajak.
Anak jati Pahang ini turut menjadikan Datuk Aznil Nawawi dan pengacara Korea, Yoo Jae-suk, sebagai idolanya.
“Saya membesar dengan Akademi Fantasia serta Running Man, dan sangat kagum dengan cara mereka mengendalikan siaran secara langsung. Walaupun bersahaja tetapi penuh kawalan,” katanya.

Berkali-kali gagal
Laluan Kai dalam dunia penyiaran bukan mudah dan berkali-kali dia gagal uji bakat, namun semangatnya tidak pernah padam.
Rezeki mula berpihak padanya apabila ditawarkan menyertai Manis FM pada 2017.
Dia kemudian mengorak langkah ke Best FM pada 2020, disusuli Molek FM, sebelum akhirnya berlabuh di stesen radio impiannya, Suria FM, pada 2023.
Sepanjang hampir sedekad dalam bidang ini, Kai menyimpan harapan besar untuk meraih pengiktirafan atas segala usaha dan dedikasi yang telah dicurahkan.
“Tak kisahlah apa jenis anugerah sekalipun, asalkan ia boleh menjadi kenangan membanggakan untuk ditunjukkan pada anak dan isteri nanti sebagai bukti yang perjalanan saya bukan mudah,” katanya.

Pantang ais
Suara merupakan aset utama penyampai radio, justeru Kai sangat menitikberatkan kesihatan vokalnya.
“Saya elak minum ais waktu pagi kerana boleh buat suara jadi serak.
“Biasanya saya hanya minum air suam sebelum ke udara,” jelasnya.
Dia turut menekankan pentingnya menjaga stamina kerana perlu bersiaran selama empat jam setiap hari dari pukul 6 hingga 10 pagi.

Sesat sejam di Masjidil Haram
Baru-baru ini, Kai berpeluang menunaikan umrah bersama dua sahabatnya, pelawak Shuib dan Mamat Sepah.
Namun, di sebalik momen indah itu, Kai turut berdepan detik cemas di Masjidil Haram.
“Lepas mencium Hajarul Aswad, saya hilang jejak rakan-rakan lain kerana keadaan di situ yang sangat padat dengan lautan jemaah.
“Lebih sejam saya ‘sesat’, nak berhubung dengan mereka pun tidak dapat sebab telefon bimbit serta cermin mata dipegang mutawif,” kongsinya.
Pengalaman itu bukan sahaja mendebarkan, malah mengajarnya tentang erti tawakal dan ketenangan.










