Fattah Amin bermula semula dari kosong - Utusan Malaysia

Fattah Amin bermula semula dari kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONTROVERSI peribadi yang memukul Fattah Amin sepatutnya tidak menenggelamkan kedudukannya sebagai pelakon yang semakin mengasah taring dalam dunia perfileman negara. Sikit masa lagi, jika dia semakin tekun, Fattah atau Abdul Fattah Bin Mohd Amin, 34, diramal bakal membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia pertamanya.

Fattah akhir-akhir ini dilihat keluar daripada watak stereotaip lelaki hero romantik menerusi beberapa filem seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Miimaland, Trinil: Kembalikan Tubuhku dan Deleted: Akanku Jejak.

Terbaharu, di tangan pengarah, Dain Said yang pernah memenangi Anugerah Khas Juri, Rotterdam International Film Festival 2012. Fattah diasah lebih menyerlah dengan karakter Tok Dalang, Pak Lee dalam taruhan terbaharunya menerusi filem Kulit Wayang.

“Sebenarnya watak Pak Lee pada asalnya dilakokan oleh seorang pelakon lain, saya tiada langsung dalam senarai pelakon pilihan. Tapi kerana pelakon tersebut sibuk, ia menjadi rezeki saya.

“Penerbit meyakinkan Dain Said untuk saya bawakan watak ini. Bila dia lihat lakonan saya dalam Mat Kilau, dia rasa saya ada potensi menjadi pelakon berkarakter. Pada awalnya, dia juga merasakan saya kerap melakonkan watak yang sama namun mahu berikan peluang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Demi memastikan keputusan produksi memilihnya sebagai pelakon taruh tidak mengecewakan, Fattah melakukan latihan ekstrim mempelajari loghat Kelantan, menterjemah dialek, serta kursus menjadi Tok Dalang di Kelantan selama dua bulan.

“Bila baca skrip, saya tahu ini akan jadi naskhah paling berat saya lakonkan. Bawa karakter Tok Dalang pula, saya bukannya tahu loghat Kelantan. Apa yang saya lakukan ialah pergi berguru ke kelas lakonan. Saya terjemah satu persatu ayat dalam skrip ke dalam loghat Kelantan setebal berpuluh muka surat.

“Bila saya ubah sendiri, saya tak menghafal, tapi betul-betul memahami perjalanan karakter. Selepas itu saya sendiri buat persembahan dialog Pak Lee di hadapan dua orang Tok Dalang sebenar di Kelantan. Merekalah yang betulkan mana yang kurang dan membantu saya melakukan persediaan.

Trofi Pelakon Lelaki Terbaik?

Fattah tidak pernah fikir mahu mendapatkan sebarang anugerah di atas kerja keras ini, semua usaha dilakukan demi tanggungjawabnya menjayakan karakter Pak Lee. Namun begitu, Fattah tidak menolak sekiranya filem Kulit Wayang bakal memberikan rezeki baharu kepadanya.

“Saya tidak berani cakap adakah karakter ini akan melayakkan saya untuk menang apa-apa, saya serah kepada rezeki. Cuma ini adalah filem paling sukar saya lakonkan sepanjang kerjaya. Jika saya fikir cerita epik sudah berat, tapi filem ini berkali ganda lebih sukar.

“Setidaknya filem sebelum ini, saya ada asas bersilat. Tapi untuk Kulit Wayang, saya betul-betul bermula daripada kosong. Saya gemuruh, tapi mahu melakukannya dan semoga ia diterima baik oleh penonton,” katanya.

Filem Kulit Wayang menceritakan kejadian misteri pada era 1980-an melibatkan kematian sejumlah kanak-kanak. Naskhah ini bakal menemui penonton pada 1 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya