Elak makan bersama, bimbang keluarga dijangkiti HIV

Elak makan bersama, bimbang keluarga dijangkiti HIV

Sepanjang 31 tahun bergelar ODHA, Andrew Tan Tze Tho telah membantu lebih 500 golongan senasibnya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKALI-kali memberi alasan ‘sibuk di pejabat’ dan ‘perlu bekerja lebih masa’ apabila diajak makan malam bersama keluarga.

‘Pembohongan’ kecil itu terpaksa dilakukan Andrew Tan Tze Tho, 65, demi melindungi ibu bapa dan dua adiknya daripada risiko dijangkiti HIV.

Sebagai orang yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA), dia sentiasa dihantui rasa bimbang terhadap keselamatan insan tersayang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, demi kasih kepada keluarga, lebih dua tahun Andrew memilih untuk ‘berlapar’ di pejabat dan pulang hanya selepas rumah sunyi, ketika semua sudah tidur.

“Biasanya saya hanya menjamah lebihan lauk-pauk disimpan ibu. Pinggan yang digunakan pula, saya cuci lebih lima kali untuk memastikan benar-benar bersih.

“Kemudian, saya letakkan pinggan itu di tempat paling belakang supaya tidak digunakan oleh orang lain,” katanya mengimbas pengalaman awal sebagai ODHA.

Andrew yang disahkan positif HIV pada 1994 ‘bertuah’ kerana ahli keluarga menerimanya dengan hati terbuka dan memberikan sokongan tanpa syarat.

Namun, di sebalik kasih sayang mereka, dia sering terperangkap dalam dunia sendiri, mendiskriminasikan diri dan dibelenggu oleh stigma.

Apatah lagi maklumat mengenai HIV terhad pada masa itu dan dia sendiri tidak tahu cara jangkitan yang sebenar.

“Di peringkat awal, saya lebih banyak ‘menghukum’ diri kerana sukar menerima kenyataan tentang penyakit ini.

“Saya sering bertanya pada diri, adakah ini balasan tuhan dan adakah saya seorang yang jahat sehingga ditakdirkan menghidap HIV?,” tambahnya.

Setiap malam menangis

Tidak mudah untuk Presiden Persatuan Perkhidmatan Sokongan Aids Kuala Lumpur (KLASS) ini menerima hakikat dirinya hidup dengan HIV.

Dunianya bertukar gelap, setiap malam, dia menangis di dalam bilik, dihimpit kemurungan dan memikirkan ajal yang semakin hampir.

Lebih menyedihkan, doktor di hospital swasta yang merawatnya ketika itu tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai penyakit tersebut.

“Doktor hanya mengesahkan saya positif dan kemudian meminta saya discaj begitu sahaja.

“Di fikiran saya ketika itu hanya ada satu perkara, iaitu mati. Saya benar-benar berputus asa untuk meneruskan kehidupan.

“Disebabkan itu, saya langsung tidak mendapatkan sebarang rawatan dan selepas setahun, keadaan kesihatan makin merosot, dengan jumlah sel CD4 jatuh ke tahap AIDS,” katanya.

Andrew kemudian ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Di sana, dia dibekalkan dengan satu-satunya ubat iaitu Azidothymidine (AZT) dan diberikan pemeriksaan berkala.

Namun, masalah baharu timbul apabila AZT memberikan kesan sampingan serius kepadanya yang turut menghidap thalassemia, sejenis penyakit darah genetik yang boleh mempengaruhi penyerapan ubat.

Doktor memutuskan Andrew menjalani terapi kombinasi iaitu makan ubat dan melakukan transfusi darah.

“Proses itu amat menyakitkan dan perlu dilakukan berulang kali, sehinggalah ubat-ubatan baru yang lebih ‘canggih’ diperkenalkan beberapa tahun kemudian.

“Selepas itu, saya perlu makan sebanyak 20 jenis ubat berbeza setiap hari dan tiada ruang langsung untuk ‘berehat’ daripada memakannya.

“Tanpa sedar, keadaan itu menekan jiwa saya, membuatkan saya rasa seperti beban dan memalukan kepada keluarga,” katanya.

Namun, sokongan kuat daripada keluarga serta komuniti membantu Andrew bangkit dan terus berjuang melawan HIV.

Bantu lebih 500 ODHA

Selepas tiga dekad bergelar ODHA, Andrew bukan sahaja berjaya membina semula kehidupannya, malah menjadi sumber inspirasi kepada ratusan individu senasib.

Melalui platform KLASS, beliau aktif membimbing pesakit baharu dalam mendapatkan rawatan dan sokongan moral.

Katanya, idea itu tercetus selepas doktor yang mengikuti perkembangannya selama lapan tahun menyedari komitmennya terhadap pengambilan ubat.

“Doktor cadangkan saya tolong pesakit baharu dan bimbing mereka dalam perjalanan melawan HIV.

“Sehingga kini, saya sudah membantu lebih 500 golongan senasib termasuk pasangan pengantin dan pelajar yang buntu mengenai rawatan serta ubatan,” katanya.

Selain itu, dia turut giat memberikan ceramah kesedaran dan sesi kaunseling di institusi pengajian tinggi.

Selagi ada hayatnya, Andrew bertekad terus berbakti kepada masyarakat dengan menyebarkan maklumat yang tepat mengenai HIV/AIDS dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Saya sendiri tidak menyangka masih berpeluang hidup selepas 31 tahun dijangkiti. Ini jelas membuktikan betapa pentingnya rawatan awal bagi membantu ODHA menjalani kehidupan lebih berkualiti,” katanya penuh harapan.

Ramai remaja bawah 30 tahun hidap HIV

Aktiviti seksual menyebabkan ramai remaja bawah 30 tahun dijangkiti HIV di negara ini.

Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) , Dr. Zaiton Yahaya berkata, trend itu didapati makin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Berdasarkan rekod, golongan yang tertinggi dijangkiti HIV ialah lepasan sekolah dan universiti.

“Dalam usia yang masih muda, kebanyakan mereka tidak tahu risiko jangkitan apabila terlibat dalam aktiviti seksual,” katanya kepada pemberita selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Komuniti baru-baru ini.

Tahun lalu, sebanyak 3,220 jangkitan baharu HIV dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang dicatatkan sejak 1986 ialah 135,035 kes.

Manakala jumlah kematian berkaitan HIV/AIDS pula ialah 882.

Bagaimanapun, remaja-remaja yang dijangkiti HIV tidak takut untuk melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan awal.

Perkembangan itu didorong oleh komitmen padu kakitangan outreach yang giat memberi kesedaran dan sokongan kepada golongan sasar di seluruh negeri.

“Dengan bantuan mereka ini, ramai remaja yang dijangkiti HIV berani tampil ke klinik dan hospital,” katanya.

Platform digital cegah HIV

Dalam usaha memperkasakan perkhidmatan pencegahan HIV, MAC dan MAC memperkenalkan platform ProtectNow Hub.

Platform perkhidmatan digital pencegahan HIV pertama di Malaysia itu memberi akses segera kepada ujian kendiri, ubatan dan sokongan kesihatan mental.

Zaiton berkata, ProtectNow Hub turut menyediakan perkhidmatan pemulihan ketagihan serta pautan terus kepada klinik dan petugas komuniti.

Sejak diperkenalkan, ProtectNow Hub telah menerima lebih 74,000 kunjungan yang memerlukan perkhidmatan kesihatan mudah diakses, selamat dan berorientasikan maklumat.

“Platform ini untuk kita semua, sama ada belia yang mencari maklumat sulit, ibu bapa yang ingin tahu atau penggubal dasar yang komited terhadap kesihatan.

“Ia bukan sekadar memberi pendedahan mendalam tentang HIV/AIDS, bahkan membantu individu memahami risiko jangkitan dan melakukan pemeriksaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×