Serikin, syurga beli-belah antara sempadan

Serikin, syurga beli-belah antara sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini, saya ingin berkongsi pengalaman menerokai Pasar Serikin, yang terletak di sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Saya bersama ahli keluarga tiba di pasar ini lebih awal, sekitar pukul 7 pagi, bagi memudahkan mencari parkir..

Suasana pagi di sini sememangnya luar biasa. Deretan gerai di sepanjang jalan sudah memulakan operasinya untuk menyambut pelanggan.

Saya amat teruja untuk membeli-belah, namun sebelum itu, kami mengisi perut dahulu di sebuah gerai yang menghidangkan bakso.

Barang-barang yang dijual di sini sangat menarik dan pasti membuatkan pengunjung rambang mata.

Antaranya, ialah kain batik motif Indonesia dan Sarawak, selimut gebu, pinggan mangkuk tembikar, madu asli, set gong dan kudap-kudapan.

Bagi para ibu atau suri rumah, kunjungan ke sini tidak lengkap tanpa memborong bantal kekabu.

Mata saya tertarik pada set perabot rumah yang diperbuat daripada rotan kerana ia kelihatan estetik dan jarang dijumpai di kedai-kedai perabot di bandar.

Namun, apakan daya, keinginan untuk membelinya tidak kesampaian kerana faktor pengangkutan.

Boleh tawar-menawar
Di Pasar Serikin, anda tidak perlu risau tentang tawar-menawar harga.

Rata-rata peniaga di sini tidak kedekut untuk berunding harga dengan pelanggan.

Lebih-lebih lagi, proses komunikasi pun mudah kerana kebanyakannya berbahasa Indonesia.

Walaupun, bahasa Indonesia saya agak tunggang-langgang dan bercampur-aduk dengan bahasa Melayu, namun saya tetap yakin untuk berbual dengan penjual.

Bila saya mula-mula bertanya harga, mereka menjawab dengan ramah.

Alangkah terkejutnya apabila kos bagi lima helai baju kelawar batik Indonesia ditawarkan pada harga paling rendah.

Hal ini, membuatkan saya kagum dengan sikap peniaga-peniaga di situ yang sangat terbuka dan tidak cerewet langsung.

Walaupun tidak jadi membeli barangan, namun mereka tetap melayan dengan senyuman yang ikhlas.

Bagi saya perjalanan ke Pasar Serikin, memberi pengetahuan baharu. Pada mulanya, kami menyangka rata-rata peniaga di situ ialah warga Indonesia.

Namun, bagi orang Sarawak yang tinggal berhampiran dengan sempadan negara jiran itu, juga mahir berbahasa Indonesia.

Bagi yang berhasrat ke Pasar Serikin, saya cadangkan untuk datang pada awal pagi, kerana cuaca masih belum panas.

Oleh kerana, kebanyakan peniaga tidak menggunakan kod QR, maka digalakkan untuk membawa wang tunai secukupnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN