Ruta 40: Nikmat di sebalik cabaran lebuh raya Argentina

Ruta 40: Nikmat di sebalik cabaran lebuh raya Argentina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di Argentina, lebuh raya Ruta 40 atau Route 40 menjadi sebahagian laluan dan tempat impian bagi para penunggang motosikal atau mereka yang gemarkan road trip (kembara jalan raya).

Sebabnya Ruta 40 merupakan antara laluan terpanjang di dunia dengan jaraknya 5,194 kilometer (km), yang menghubungkan bandar-bandar utama di Argentina, bermula dari La Quiaca (bersempadan dengan Bolivia) sehingga ke Río Gallegos di selatan negara ini.

Kesempatan ke Argentina bersama isteri baru-baru ini, saya manfaatkan dengan bermotosikal di Ruta 40.

Sebenarnya, banyak hal yang saya tidak tahu mengenai lebuh raya ini sehinggalah saya menjejakkan kaki ke negara berkenaan.

Untuk mencuba dan menikmati pengalaman bermotosikal di sebahagian laluan ini tidak sukar-bergantung kepada pelan dan perancangan seseorang. Mudah kata, fleksibel.

Namun, disebabkan kekangan masa, saya menjadikan El Calafate (salah satu bandar kecil di daerah paling selatan Argentina) sebagai tempat persinggahan utama untuk menerokai Patagonia.

Perjalanan saya dan isteri menelusuri laluan Ruta 40 bermula dari El Calafate ke El Chalten iaitu sebuah lagi bandar kecil yang terletak lebih kurang 250 km.

Satu hal menarik tentang El Chalten yang mendorong saya ke sini adalah disebabkan populariti beberapa kawasan pendakian dan keindahan alam semula jadinya.

Keinginan untuk melihat lebih dekat Gunung Fitz Roy turut menyebabkan saya terlupa seketika cabaran yang bakal ditempuhi untuk ke El Chalten.

Saya perlu akui, menggunakan jentera dua roda nampak mudah di sini, tetapi kalau tiada perancangan rapi, sudah pasti rasa menyesal nanti.

Pemandangan sepanjang laluan ibarat lukisan
Di kawasan Patagonia (termasuk El Calafate dan El Chalten) keadaan cuaca tidak boleh dijangka.

Ada sahaja perubahan secara mengejut yang berlaku tiba-tiba dan bila-bila masa termasuk hujan.

Itu belum lagi kelajuan angin yang cukup kuat.

Seawal pukul 7 pagi, kami bergerak ke El Chalten dengan menaiki motosikal Honda XR250.

Alhamdulillah, perjalanan ke sana tidak berdepan sebarang masalah walaupun suhunya yang sejuk.

Keadaan jalan raya juga sangat baik dan agak lenggang di sepanjang laluan.

Sesekali bertembung dengan kenderaan lain termasuk konvoi bermotosikal di samping haiwan seperti guanaco (spesis alpaca) yang melintas jalan.

Pemandangan di sepanjang laluan sangat cantik dengan hamparan luas padang berlatar belakangkan gunung-ganang.

Ada masanya kami melayan perasaan sendiri dan menikmati keindahan yang saling tidak tumpah seperti sebuah lukisan.

Itu belum lagi panorama tasik yang hijau membiru.

Satu hal yang perlu diketahui ketika memandu atau menunggang motosikal di sini ialah mengenai sikap kalangan pengguna jalan raya yang saling menghormati antara satu sama lain.

Pemandu kenderaan yang lebih besar akan mengambil jarak selamat dan tidak menghimpit atau berada terlalu dekat ketika memotong kenderaan lain lebih-lebih lagi motosikal.

Bagi yang mahu melakukan road trip di laluan ini disarankan untuk menyediakan stok simpanan minyak petrol disebabkan tiada kemudahan hentian rehat dan rawat (R&R) sebagaimana di Malaysia.

Hanya terdapat sebuah stesen minyak kecil di El Chalten yang adakalanya terhenti operasi disebabkan terputus bekalan gas.

Tempuh hujan tiga jam, angin kuat
Selepas lebih tiga jam perjalanan, kami tiba di El Chalten. Bandar ini lebih kecil jika dibandingkan dengan El Calafate yang mempunyai pelbagai kemudahan.

Bagaimanapun, ketibaan kami disambut dengan hujan dan cuaca mendung.

Rancangan untuk mendaki dan melihat secara dekat dan jelas Gunung Fitz Roy terbantut.

Ini juga bermakna tiada aktiviti pendakian (di laluan trek yang lebih panjang dan mencabar) di El Chalten kerana kami tiada rancangan untuk bermalam di sini.

Mujur ada trek dan laluan yang lebih pendek dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk kami cuba.

Sekurang-kurangnya, tidaklah habis masa dan duit begitu sahaja.

Tambahan pula, permit pendakian untuk hari berkenaan (harga permit sehari untuk dua orang lebih kurang RM200) sudah dibayar.

Walaupun rasa agak kecewa kerana pendakian hanya kira-kira dua jam sahaja tanpa pemandangan lebih jelas Gunung Fitz Roy, tetapi perancangan Allah SWT mengatasi segalanya.

Kami kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke El Calafate pada hari sama. Ada dua sebab untuk berbuat demikian.

Pertama, sekiranya mahu mendaki pada keesokan hari, permit pendakian perlu dipohon dengan kadar caj yang kami fikir agak mahal. Lebih-lebih lagi, kos di Patagonia sememangnya diketahui tinggi.

Kami tidak mahu juga mengambil risiko untuk rugi berganda seandainya hujan dan mendung berlaku lagi pada hari berikutnya.

Maka, pulang semula ke El Calafate dilihat sebagai keputusan yang lebih baik dan kami bergerak kira-kira pukul 4 petang.

Namun, hujan kali ini lebih lebat berbanding sewaktu tiba. Pakaian kami basah lencun. Baju sejuk yang dipakai tidak lagi berfungsi.

Perjalanan perlu diteruskan kerana tiada tempat untuk berteduh. Jujur saya katakan kesejukan itu dapat dirasa sampai ke tulang. Malah jari tangan saya juga mengeras.

Keadaan yang sama turut berlaku pada isteri saya yang mengigil kesejukan. Mujur terdapat sebuah kedai kopi untuk kami berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan.

Kami akhirnya selamat tiba selepas hampir lima jam perjalanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×