Rawatan obesiti tanpa pembedahan, parut

Rawatan obesiti tanpa pembedahan, parut

Deborah Chew Chia Hsin sedang menjalankan prosedur ESG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Prosedur Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG) merupakan alternatif bagi menangani masalah obesiti tanpa pembedahan dan parut.

Buat pertama kali, hospital kerajaan Malaysia, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) memperkenalkan prosedur itu sebagai sebahagian daripada inisiatif menggunakan pendekatan multidisiplin untuk mengawal obesiti dan penyakit sindrom metabolik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolestrol.

Prosedur ESG dijalankan menggunakan endoskopik, bermakna tiada pemotongan secara dalaman. Peranti khusus dimasukkan melalui mulut untuk menjahit sebahagian perut bagi mengurangkan jumlahnya kira-kira 70 peratus.

Ia mengambil masa satu hingga dua jam di bawah sedasi ringan atau anestesia.

Pesakit biasanya discaj pada hari yang sama dan boleh meneruskan aktiviti harian dalam masa beberapa hari.

Pakar Bedah Gastrointestinal & Obesiti HCTM, Prof. Madya Datuk Dr. Nik Ritza Kosai Nik Mahmood berkata, ESG adalah antara rawatan termaju tanpa pembedahan dan tiada parut berbanding pembedahan bariatrik.

“Setakat ini sudah tiga pesakit di HCTM menjalankan prosedur ini. Paling penting adalah selamat dan berkesan dalam membantu kehilangan berat badan yang signifikan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit.

“Semua rawatan obesiti akan menyebabkan pesakit hilang berat dengan cepat pada waktu yang singkat. Kita tidak mahu berat naik semula selepas enam bulan sahaja,” katanya pada sidang media berkaitan prosedur itu di HCTM, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Hospital HCTM, Datuk Dr. Azmi Baharudin; Pakar Gastroenterologi, Dr. Deborah Chew Chia Hsin dan Pakar Endokrinologi, Prof. Dr. Norlela Sukor.

Berdasarkan ujian dijalankan, rawatan itu berkesan untuk menurunkan berat badan dalam masa setahun sehingga 49 peratus iaitu sekitar 15 hingga 16 peratus daripada jumlah keseluruhan berat badan.

Lebih 90 peratus pesakit dapat mengekalkan berat badan, 70 peratus dapat mengawal tekanan darah tinggi dan komplikasi asid refluks amat rendah iaitu kurang daripada satu peratus atau tiada langsung.

Pada masa sama, pesakit perlu bermotivasi tinggi dan insaf dengan kesan obesiti bagi mengelakkan masalah berulang. Justeru, perlu menukar gaya hidup termasuk mengamalkan diet dan bersenam.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menetapkan obesiti adalah penyakit. Rawatan obesiti adalah merawat penyakit kerana ia adalah ‘ibu’ kepada segala penyakit yang akan menjadi punca lebih 100 masalah utama termasuk sindrom metabolik seperti diabetes, darah tinggi, kolesterol dan sebagainya.

“Jika kita merawat obesiti, kita akan rawat dan menyelesaikan semua masalah ini. Kita sudah banyak membuat kajian dan banyak menerbitkan kertas daripada Britain yang menunjukkan faedah merawat obesiti terutama diabetes, darah tinggi dan jantung. Ini selari dengan dapatan daripada kajian-kajian di Asia Pasifik dan di dunia,” katanya.

Atasi masalah hati berlemak

Dr. Deborah Chew Chia Hsin berkata, ESG membantu individu obes mengatasi masalah hati berlemak iaitu penyakit yang diicetuskan oleh sindrom metabolik akibat berat badan berlebihan.

“Sekiranya hanya ada lemak dalam hati, belum ada radang lagi, perlu kurangkan tiga peratus berat badan untuk mengatasi masalah hati berlemak. Namun, jika sudah ada banyak kumpulan lemak dalam hati dan sudah ada radang, pesakit itu perlu menurunkan berat sekurang-kurangnya lima peratus dalam setahun.

“Kalau radang sudah sangat teruk, berat badan perlu diturunkan sebanyak tujuh peratus dan jika hati sudah berparut,perlu turunkan 10 peratus. Faktanya, hanya 10 peratus pesakit dapat menjangkau kehilangan berat badan untuk membaik pulih hati berlemak,” katanya.

Hati berlemak berlaku apabila lemak dalam hati menjangkau 50 peratus.

Pada fasa pertama, biasanya pesakit tidak sedar hati berlemak kerana mereka tiada sebarang gejala.

Apabila hati mempunyai lebih 50 peratus lemak, isyarat akan dihantar kepada seluruh sel-sel inflamasi untuk membunuh lemak berkenaan. Akibatnya, sel di seluruh hati akan rosak dan berlaku radang dikenali sebagai Siato Hepatitis.

“Ini adalah fasa kedua hati berlemak, dalam jangka masa lama jika radang tidak diatasi, radang akan baik pulih secara parut iaitu fibrosis lanjutan. Pada tahap ini, jika penurunan berat badan tidak cukup dan tidak mengurangkan 50 peratus lemak dalam hati, parut akan menjadikan hati kecut iaitu sirrosis hati.

“Pada tahap sirrosis hati, sebarang usaha tidak lagi dapat menyembuhkannya. Apabila hati mula hilang fungsinya seperti menyahtoksin, mengimbangi air, akhirnya ia tidak berfungsi langsung. Sebab itu, penting mengenal pasti pada tahap awal supaya rawatan dapat diberikan,” katanya.

Kesan utama adalah rintangan insulin. Hati berlemak adalah penyakit nutrisi berlebihan.

Negara barat dan negara yang rakyatnya mampu membeli makanan dalam kuantiti banyak adalah negara paling ramai penghidap hati berlemak.

Apabila diet tinggi fraktus, tubuh mula menghasilan insulin yang tinggi. Insulin menukar glukos kepada lemak berlebihan yang diedarkan ke seluruh organ termasuk hati. Jika tidak diatasi, ia akan berkembang kepada sirrosis di mana sel-sel di dalam hati bertukar kepada kerak. Situasi itu meningkatkan risiko untuk mendapat kanser.

Jangka masa hati menjadi daripada hepatitis kepada sirrosis hati adalah lapan hingga 10 tahun. Sebaik pesakit dikesan mengalami hati berlemak, masa semakin suntuk dan perlu turun berat badan dengan segera.

Data pada tahun 2023 menunjukkan 28.2 peratus menghidap hati berlemak disebabkan oleh obesiti.

Pesakit seawal usia 18 sehingga 30 tahun sudah menghidap hati berlemak. Ini disebabkan makan berlebihan dan diet tinggi fruktos dalam pemakanan.

Kadar usia secara purata penghidap hati berlemak adalah 42 tahun. Risiko lebih tinggi adalah mereka yang merokok selain alkohol.

Sebanyak 94 peratus pesakit hati berlemak mengalami obesiti abdominal iaitu berat berlebihan dalam abdomen. Secara purata, 25 peratus terdiri daripada pesakit diabetes, 75 peratus tinggi kolesterol dan 48 peratus mengalami tekanan darah tinggi.

GAYA HIDUP

Corak pemakanan sihat dan senaman boleh mengurangkan risiko hati berlemak

Amalkan pemakanan suku-suku separuh.

Perlu makan dua hidangan serat bersaiz dua tapak tangan. Protein pula, satu tapak tangan dan karbohidrat hanya boleh makan separuh tapak tangan.

WHO mengesyorkan senaman selama 150 minit untuk membakar lemak.Gabungkan senaman aerobik dan anerobik serta latihan untuk membentuk otot. Individu dengan BMI lebih 27.5 perlu menjalankan ujian saringan seperti darah dan fungsi hati untuk mengenal pasti sama ada ada radang dan parut di dalam hati.

Obesiti tingkatkan risiko kematian 20 peratus

Norazmin Aziz, 60, berkata dia menjalani prosedur ESG seminggu lalu selepas hatinya didapati berlemak dan sudah mempunyai sirrosis.

“Selama ini saya tidak merasakan sebarang gejala hati berlemak. Masalah ini hanya dikesan selepas saya menjalani saringan untuk menjalani pembedahan hempedu di HCTM.

“Tidak dinafikan saya sememangnya mengalami masalah obesiti di bahagian perut dengan berat badan pernah mencecah 93 kilogram (kg) pada tahun 2020,” katanya.

Pesara Fisioterapi hospital di Riyadh itu berkata, dia pernah cuba menurunkan berat badan dengan mengawal pemakanan selain bersenam tetapi tidak bertahan lama.

Selain menghidap batu hempedu, dia juga menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan kolesterol sejak sepuluh tahun lalu akibat berat badan berlebihan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, selepas menjalani prosedur ESG, dia tidak berasa sakit.

“Sekarang saya rasa cepat kenyang walaupun hanya minum setengah gelas air. Berat badan saya juga sudah kurang lima kilogram. Buat masa ini saya hanya minum susu protein sebelum berubah ke bubur yang dikisar.

“Berbanding sebelum ini, saya sering terasa lapar dan hendak makan. Dulu saya suka makan daging kambing perap. Saya sedar penting mengawal pemakanan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dengan pelbagai risiko penyakit, “ katanya.

SUKAR TURUN BERAT

Kebanyakan pesakit obesiti yang datang ke hospital sudah mencuba pelbagai cara untuk menurunkan berat badan termasuk diet, bersenam dan mencuba pelbagai ubat yang dijual di sosial media tetapi tidak berkesan. Biasanya berat akan turun tetapi kemudian naik semula.

Prof. Dr. Norlela Sukor berkata, terdapat ubat-ubatan yang boleh membantu pesakit menurunkan berat badan.

Sebagai contoh, ubat yang boleh menyebabkan seseorang berasa cepat kenyang dan menyebabkan pengosongan gastrik lebih lama.

“Bagaimanapun, keberkesanan ubat ini untuk menurunkan berat badan tidak sebanyak kaedah intervensi pembedahan. Jadi, kita perlu melihat ubat yang sesuai untuk pesakit dan pesakit yang sesuai menjalani pembedahan atau kedua-duanya.

“Saya mengambil kira ESG ini adalah satu kaedah yang menyakinkan kerana ia menawarkan prosedur yang tidak menyakitkan selain berpotensi untuk mencapai kehilangan berat badan yang berpanjangan.

“ESG bukan sahaja menurunkan berat badan tetapi menyembuhkan penyakit metabolik dengan pengurangan berat badan dan pada masa sama, menyembuhkan penyakit metabolik seperti diabetes dan kolesterol sehingga 55 peratus,” katanya.

Obesiti meningkatkan risiko kematian sebanyak 20 peratus, berbanding orang yang tidak obes.

Ia lebih tinggi bagi individu yang obes dan menghidap tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit lain berkaitan obesiti.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi 2023, terdapat satu dalam enam orang menghidap diabetes dengan kadar kekerapan 15.6 peratus. Obesiti juga berkait rapat dengan tekanan darah tinggi.

Data menunjukkan satu dalam tiga orang dewasa di Malaysia menghidap darah tinggi dengan kadar kekerapan 20 sehingga 30 peratus.

Pesakit yang menghidap kolesterol tinggi pula, berlaku satu dalam tiga orang dengan kadar kekerapan 33 peratus.

Lebih membimbangkan, semakin banyak kes diabetes dikesan berlaku dalam kalangan individu berusia bawah 30 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN