Pameran Bino singkap pesona fenomena alam semula jadi

Pameran Bino singkap pesona fenomena alam semula jadi

BINO memaparkan keindahan sifat cahaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kilauan cahaya yang memantul di permukaan air menjadi konsep utama yang melatari pameran solo Fadhli Ariffin atau lebih dikenali sebagai Pali kali ini.

Bertemakan Bino, anak kelahiran Perak ini kembali kepada akarnya baik daripada segi geografi mahupun spriritual dengan menjadikan cahaya sebagai sumber inspirasi utama.

Perkataan Bino itu sendiri berasal daripada dialek tempatan Perak iaitu berbinar-binar, bermaksud kilauan atau cahaya yang berkelip di permukaan air.

Fenomena itu menjadi asas bagi siri karya terbaharu ini yang meneruskan penerokaan Pali terhadap teknik pengulangan, lapisan dan teknik tanda (mark-marking) yang menjadi ciri khas beliau.

Mula dipamerkan sabtu lalu sehingga 10 Mei ini di Galeri Sasha, pameran Bino membawa pengunjung menghayati kehalusan seni di sebalik karya yang mencerminkan sifat cahaya yang seakan-akan menari-nari di permukaan tasik, sungai, air terjun serta titisan hujan.

Fenomena yang sering kali dianggap biasa ini, diterjemah dengan begitu teliti ke atas kanvas yang mengajak pengunjung meneliti dan memahami segenap sudut fenomena alam itu.

Menariknya, dengan teknik gerakan berayun antara kawalan dan spontan yang digunakan oleh Pali, mencipta sebuah lukisan yang berada di tengah-tengah abstrak dan realistik.

Latar belakang Pali dalam bidang seni kekal sebagai asas kepada pendekatannya, terutamanya yang diilhamkan oleh proses kolagrafi.

Beliau sentiasa memberi penekanan terhadap permukaan, lapisan dan ketelitian dalam pengulangan gerak kerja yang meresap ke dalam setiap kanvasnya.

Karya-karya yang dipamerkan dalam Bino ini juga bukan sekadar gambaran alam, tetapi lanjutan daripadanya.

Ia membawa kesan satu proses yang intuitif dan sengaja, yang menerima ketidak­sempurnaan dan perubahan.

Melalui pendekatan ini, pelukis mencipta satu bahasa visual yang mendalam dan peribadi, namun terbuka kepada pelbagai interpretasi.

Komposisi-komposisi ini berkilau bukan sahaja dengan warna, tetapi dengan rasa ‘kehadiran’.

Dalam setiap komposisi, teknik pengulangan memberikan efek yang unik.

Ritma tanda yang berlapis-lapis mencerminkan kesinambungan kitaran semula jadi, menghadirkan ketenangan dalam kehidupan yang serba sibuk dan pantas ketika ini.

Karya-karya ini mengajak penonton mendekati dan menyelami tekstur, warna dan perubahan halus yang ingin ditonjolkan.

Bayang-bayang dikawal lembut, manakala sorotan muncul secara mengejut, seperti cahaya menembusi permukaan air.

Secara keseluruhan, pameran kali ini berbeza sepenuhnya daripada karya Pali terdahulu iaitu Frekuensi yang dihasilkan sewaktu pandemik Covid-19.

Frekuensi mengetengahkan palet suram yang menyingkap penceritaan mengenai pencarian harmoni dalaman, manakala Bino lebih kepada penghargaan kepada fenomena alam yang bersifat sementara namun penuh makna.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN