Eks PerBah program ikonik hargai anggota keselamatan

Eks PerBah program ikonik hargai anggota keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM lawatan kerajaan negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) yang dilaksanakan setiap tahun khususnya pada bulan Ramadan disifatkan cukup ikonik sebagai tanda sokongan kepada anggota keselamatan yang berkhidmat di sempadan perairan negeri di bawah bayu itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program cetusan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu pada mulanya dikenali sebagai Ops Pasir, namun dijenamakan semula bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.

Penjenamaan ini melibatkan penambahan dua elemen penting iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta Program Titian Kasih yang menerapkan agenda pembangunan modal insan melibatkan pelajar sekolah dan penuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Sejak lebih dua dekad program tersebut dilaksanakan dan Eks PerBah 2025 diteruskan di Kudat dengan diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin selama empat hari bermula 6 hingga 9 Mac baru-baru ini.

Mengiringi baginda dalam penganjuran edisi ke-19 itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail bersama ketua-ketua jabatan, tokoh korporat dan pakar motivasi dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

Menerusi lawatan itu, baginda berkenan mengunjungi pos kawalan di Pulau Balambangan dengan diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Baginda selaku Komander Rejimen Askar Wataniah 504 Perlis turut berangkat ke Pulau Malawali yang menempatkan petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Sabah.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan singgah ke Pulau Jambongan dan meninjau kawasan sekitar Pulau Banggi di samping menyampaikan sumbangan kepada para petugas keselamatan di sana.

 

Antara sumbangan korporat yang turut disampaikan semasa lawatan itu ialah peralatan mandian, sistem lampu solar, televisyen, tangki air, buku, chest freezer, mesin rumput dan karpet surau.

Aktiviti dan perjalanan ke pulau-pulau terbabit yang bermula pada pukul 7 pagi sehingga 5.30 petang diakhiri dengan majlis iftar bersama warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.

Selain menyantuni anggota keselamatan di pulau-pulau berkenaan, misi Eks PerBah 2025 turut memfokuskan kepada program CSR yang dilaksanakan di beberapa lokasi antaranya seperti Hospital Kudat.

Menerusi program CSR itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan peralatan perubatan bernilai hampir RM100,000 kepada Hospital Kudat yang merangkumi katil, mesin hemodialisis, pam picagari, kerusi derma darah dan penimbang berat bayi.

Dalam masa sama, Unit Perubatan Transfusi Tuanku Syed Putra di hospital itu turut ditambah baik bagi memberi keselesaan buat pesakit.

Menerusi Program Titian Kasih Mega 2025, baginda turut berkenan berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati II, SMK Lok Yuk dan SMK Bengkongan.

Baginda menyaksikan penyampaian sumbangan CSR daripada wakil korporat dan agensi kepada sekolah-sekolah berkenaan.

Malah, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada pelajar-pelajar cemerlang dari sekolah terbabit menerusi YTSP.

Tuanku Syed Faizuddin juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sama dalam menjayakan misi Eks PerBah 2025 pada kali ini.

Baginda juga berharap agar segala bantuan dan sumbangan yang disalurkan dapat memperkukuhkan kemudahan di sekolah, hospital dan pos operasi di lokasi-lokasi yang dikunjungi itu.

Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen sektor korporat dan agensi dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat serta memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar.

Seperti kelaziman setiap tahun, Eks PerBah 2025 menjadi penghubung buat delegasi kerajaan negeri Perlis mendekati anggota keselamatan yang bertugas di lapangan khususnya sempadan perairan Sabah.

Malah, penganjurannya turut menghasilkan pelbagai impak positif dalam meningkatkan jati diri bersama sifat cintakan agama, bangsa dan negara dalam kalangan pelajar sekolah.

Inisiatif ini juga merupakan usaha bagi membangunkan masyarakat berminda, berpengetahuan, berbudaya kerja kelas pertama, bermoral tinggi serta memiliki jati diri kukuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN