Bahana bahan ‘dewasa’ dalam animasi kanak-kanak

Bahana bahan ‘dewasa’ dalam animasi kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, industri hiburan sering menyelitkan jenaka dan elemen dewasa ke dalam animasi.

Meskipun animasi adalah hiburan ringan untuk kanak-kanak, namun perkembangan kandungan dalam kartun moden membuktikan ia kini turut menyasarkan penonton dewasa.

Segelintir mesej tersirat dalam rancangan kartun memerlukan tahap kematangan tertentu untuk difahami.

Malah, ada juga yang mempersoalkan sama ada kandungan sebegini masih sesuai untuk tontonan umum atau sudah melangkaui garis ‘mesra keluarga’.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Prof. Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, pendedahan kepada bahan dewasa dan bahasa kasar dalam kartun boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan perkembangan kanak-kanak.

“Hal ini berpotensi mendorong kanak-kanak menjadi lebih agresif, kurang empati dan tingkah laku yang tidak baik.

“Ini kerana, kanak-kanak lebih cenderung untuk meniru apa yang mereka lihat pada skrin, terutama jika ia ganas dan realistik,” katanya.

Pendedahan berulang kepada keganasan boleh mengurangkan kepekaan kanak-kanak terhadap penderitaan orang lain, menjadikan mereka kurang empati dan memahami keperluan emosi orang lain.

Kanak-kanak mungkin belajar dan menggunakan bahasa kesat yang dipelajari daripada kartun berkenaan, sekali gus berpotensi menjejaskan perkembangan bahasa dan interaksi sosial mereka.

Selain itu, sesetengah kartun ‘dewasa’ memaparkan tingkah laku negatif termasuklah elemen lucah yang seterusnya boleh mempengaruhi kanak-kanak untuk meniru.

Bahasa yang kasar dan berbaur lucah boleh mempengaruhi perkembangan bahasa dan emosi pada diri mereka.

Kanak-kanak akan mudah meniru perkataan tersebut, lalu mempraktikkannya dalam komunikasi harian.

Pakar bidang keibubapaan dan kaunseling keluarga, Adlil Rajiah Mohd. Nasir menjelaskan kebanyakan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah masih belum didedahkan dengan pendidikan seks.

Perasaan ingin tahu dan mencuba boleh mendorong mereka untuk meniru tingkah laku tersebut tanpa memahami sama ada ia baik ataupun salah.

“Penggunaan bahasa kesat dan lucah dalam hiburan boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan kanak-kanak, khususnya dari segi pembentukan adab, cara berkomunikasi, dan perkembangan karakter mereka,” katanya.

Justeru itu, Timbalan Dekan Ijazah Dasar, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmawaty Mohamad Nor berkata, bahasa yang kasar atau lucah boleh mempengaruhi perkembangan bahasa dan emosi kanak-kanak.

Kesan penggunaan bahasa kesat dan lucah dalam hiburan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan, ini kerana masalah tersebut boleh menjejaskan hubungan sosial mereka.

Ibu bapa kepada rakan sebaya kanak-kanak berkenaan mungkin tidak selesa dan akhirnya enggan anak mereka bergaul dengan kanak-kanak tersebut.

“Akibatnya, hubungan sosial kanak-kanak terbabit menjadi renggang dan mula terasing serta kurang keyakinan diri,” katanya.

Beliau menyarankan ibu bapa agar mengenal pasti dahulu kandungan animasi sama ada sesuai atau tidak untuk ditonton kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN