Aza guna karya kartun jadi tarikan pelancongan, angkat seni

Aza guna karya kartun jadi tarikan pelancongan, angkat seni budaya

siri Sketch memaparkan keistimewaan 11 daerah di negeri Pahang sebagai bahan promosi pelancongan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia seni lukis tanah air, nama Kartunis Aza tidak asing lagi. Punya identiti tersendiri, beliau terus mencuri perhatian peminat kartun menerusi karya-karya berintelek dan sarat nilai budaya.

Aza atau nama sebenarnya Abdul Razak Sofhi @Subhi, 57, kini tampil dengan inisiatif baharu melalui siri Sketch keistimewaan 11 daerah di Pahang sebagai bahan promosi pelancongan negeri.

Menggabungkan elemen sejarah, adat, pendidikan dan sosioekonomi, karya Aza menjadi cerminan kekayaan warisan negeri untuk tatapan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Projek itu turut mendapat kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang yang menyokong usaha mempromosi pelancongan melalui medium kartun.

Sehingga kini, beberapa daerah seperti Jerantut, Kuantan, Pekan dan Lipis telah diterbitkan, manakala daerah lain bakal menyusul secara berperingkat.

“Buku ini diterbitkan dalam dwibahasa supaya mudah difahami pelancong luar dan boleh dijadikan cenderamata unik dari Pahang,” katanya ketika ditemui di Galeri Aza baru- baru ini.

BANTU GENERASI MUDA

Galeri yang terletak di tengah bandar Jerantut itu kian menjadi tumpuan bukan sahaja pelancong, malah mahasiswa daripada pelbagai universiti awam yang datang menjalani latihan dan mendalami selok-belok dunia kartun.

“Galeri ini menjadi tempat perkongsian ilmu dan pengalaman seni. Saya terbuka untuk membantu generasi muda yang berminat menjadikan kartun sebagai kerjaya,” ujarnya.

Beliau yang juga anak jati FELDA Padang Piol mula melukis sejak 1980 dan pernah menyumbang karya kepada majalah humor seperti Gila-Gila, Gelihati dan Batu Api.

Tidak hanya pada hiburan, Aza juga menyumbang kepada Majalah Peneroka terbitan FELDA sebagai sokongan kepada komuniti peneroka seluruh negara.

“Sebagai anak peneroka, saya mahu warisan dan identiti FELDA turut diangkat dalam bentuk kartun berinformasi,” ujarnya.

Antara karya Sketch Jerantut yang dihasilkan termasuk sejarah Mat Kilau, Taman Negara, seni budaya dan institusi pendidikan setempat.

Malah, 17 sekolah menengah dan 48 sekolah rendah dalam daerah ini turut diabadikan dalam karya dan diletakkan di Pejabat Pendidikan Daerah sebagai bahan rujukan bergambar.

Galeri Aza yang turut mempamerkan koleksi karya ikoniknya kini menjadi salah satu destinasi pelancongan ‘wajib’ bagi sesiapa yang mengunjungi Daerah Jerantut.

Fokus Sketch adalah bangunan bersejarah serta kawasan rekreasi yang popular seperti bangunan Residen Inggeris Pahang dan pekan lama Lipis.

Karya Aza juga pernah dipamerkan di luar negara termasuk di Tokyo dan Belgium, membuktikan seni kartun tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau turut menghasilkan potret ikonik P. Ramlee serta ilustrasi bangunan warisan seperti di Kuala Lumpur, Melaka dan Lanchang.

“Lukisan saya kini dicetak dalam bentuk cenderamata seperti baju-T, mug, pen, bingkai dan fail. Ia satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada seni kartun,” katanya.

Sebagai penerima anugerah Ikon Kartunis Pahang 2019, Aza menegaskan kartun bukan sekadar hiburan tetapi alat pendidikan dan dakwah moden.

Antara badan yang pernah menggunakan khidmatnya termasuk Shell Malaysia, Lee Jeans, Nestle, Muzium Pahang dan syarikat antarabangsa, Merpati Air.

“Selagi manusia wujud, kartun tidak akan lenyap. Ia satu seni yang sentiasa relevan, asalkan kita bijak cari ruang dan peluang,” katanya.

Berbekalkan dedikasi yang tidak pernah luntur, Aza terus memartabatkan kartun sebagai wadah seni yang menghibur, mendidik dan kini, mempromosi negeri Pahang kepada dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN