Wanita moden harus berani

Wanita moden harus berani

wanita
MINAT Yeong Chai Hong dalam perubatan nuklear mencapai kemuncaknya apabila dia menjadi sebahagian daripada pembangunan prototaip Radioembolisation Samarium-153 Therapy (REST), yang direka untuk merawat kanser hati dan metastasis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi wanita yang hebat dan menyumbang sesuatu dalam masyarakat memerlukan semangat juang dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu. Bahkan, lain daripada yang lain.

Berpeluang berkongsi cerita dengan wanita-wanita yang berjaya dalam bidang masing-masing membuka mata bahawa kejayaan bukan sahaja pencapaian malah memperkasa wanita dalam masyarakat.

Profesor di Pusat Pengajian Perubatan, Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan Taylor’s University, Prof. Dr. Yeong Chai Hong membuat langkah besar dalam bidang fizik perubatan.

Minatnya dalam perubatan nuklear, terutamanya terapi radionuklid, mencapai kemuncak apabila beliau menjadi sebahagian daripada pembangunan prototaip Radioembolisation Samarium-153 Therapy (REST), yang direka untuk merawat kanser hati dan metastasis.

Projek ini memperoleh Anugerah Saintis Muda Kesatuan Fizik Tulen dan Gunaan Antarabangsa (IUPAP) yang berprestij dalam Fizik Perubatan pada tahun 2021 sekali gus menjadikan beliau saintis pertama dari rantau Asia Tenggara yang menerima anugerah itu.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyediakan rawatan ini sebagai lebih berpatutan, bersasar dan alternatif berkesan kepada terapi kanser konvensional sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan dan kualiti hidup pesakit kanser di negara dan rantau ini,” kongsinya.

Beliau mendapat inspirasi daripada potensi perubatan nuklear yang berupaya untuk memberi kesan lebih baik kepada pesakit melalui terapi bersasar dan dalam masa sama mengurangkan kesan sampingan.

“Dengan pengkhususan dalam terapi radionuklid dan pengimejan perubatan, saya telah melihat secara langsung bagaimana teknologi ini boleh meningkatkan prognosis dengan ketara untuk pesakit yang mempunyai kanser yang sukar dirawat,” katanya.

Walaupun beliau bekerja dalam bidang yang didominasi lelaki, katanya, wanita muda perlu mengambil risiko dan mengejar peluang yang ada di depan mata.

“Jangan takut untuk mencabar status quo, cari mentor dan kekal dengan minat anda. Sains dan perubatan memerlukan perspektif yang pelbagai dan anda boleh memberi impak yang luar biasa,” katanya.

Reka bentuk bandar daripada perspektif wanita

Ketua Pusat Pengajian Seni Bina, Bangunan dan Reka Bentuk, Fakulti Inovasi dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Camelia Kusumo antara yang memberi sumbangan melalui pembentukan bandar dengan perspektif wanita.

Beliau menyumbang sebagai pengarang bersama buku Kaki Lima yang mengangkat mengenai kawasan ruang legar di Kuala Lumpur.

“Sebagai arkitek dan ahli akademik, kami mula menghasilkan buku dengan menulis beberapa teori dan melukis aktiviti formal dan tidak formal yang berlangsung di Kaki Lima.

“Kemudian saya menyedari bahawa ruang tanpa jiwa adalah kosong. Jadi, diilhamkan oleh buku Humans of New York oleh Brandon Stanton, kami memutuskan untuk menemubual orang yang menggunakan Kaki Lima,” katanya.

Diterbitkan pada tahun 2023 dan kini dalam proses cetakan ketiga, buku itu merekodkan inti pati kehidupan di kawasan sepanjang lima kaki di kota raya itu melalui 31 kisah kehidupan sebenar.

Ia memberikan pembaca gambaran sekilas tentang kepelbagaian dan kemeriahan bandar ini.

Projek itu semakin berkembang apabila beliau dan pasukannya bekerjasama dengan pereka permainan papan, Goh Choon Ean untuk membangunkan permainan papan Kaki Lima Downtown KL yang direka berdasarkan buku itu dan dilancarkan pada Ogos 2024.

Sehingga kini, ia telah dipamerkan di pelbagai festival permainan papan di Asia termasuk Singapura, Taiwan, Eropah serta di pameran awam terbesar untuk permainan papan Jerman, Spiel Essen Jerman.

Beliau turut mengetuai projek The Nest bersama-sama ahli akademik dan pelajar dari Sekolah Seni Bina, Bangunan dan Reka Bentuk serta Sekolah Pendidikan.

Inisiatif ini melibatkan pembinaan ruang pembelajaran dalaman untuk murid kurang berkemampuan di PPR Lembah Subang 2 dan Flat PPR Taman Seri Berembang untuk memiliki ruang pembelajaran yang selesa.

Katanya, arkitek wanita memiliki perspektif unik dalam perancangan bandar yang mengutamakan keselamatan, keselesaan dan kemudahan.

“Wanita lebih cenderung untuk mereka bentuk dari dalam hingga ke luar untuk memastikan sesuatu ruang itu mampu menampung keperluan yang pelbagai.

“Menjadi sebahagian daripada inisiatif ini menunjukkan kepada saya bahawa seorang arkitek juga boleh memberi impak kepada kehidupan orang lain. Semoga arkitek wanita muda berani bermimpi dan mengorak langkah dalam bidang ini,” katanya.

Inovasi pendidikan

Bagi Puteri Sofia Amirnuddin pula pendidikan dan teknologi perlu menyatu.

Usaha Puteri Sofia dalam mengintegrasi Augmented Reality (AR), Neuro-Linguistic Programming (NLP) dan Gamification ke dalam pendidikan undang-undang sebagai sebahagian daripada usaha beliau dalam menjadikan pembelajaran transformatif telah memperoleh Anugerah Presiden untuk Pengajaran dan Pembelajaran Transformatif daripada institusi tersebut.

Penghormatan ini menjadikan beliau pensyarah undang-undang pertama di Sekolah Undang-undang dan Tadbir Urus Taylor yang menerima pengiktirafan sedemikian.

“Menjadi pensyarah undang-undang pertama ketika itu yang mendapat penghormatan sebegitu merupakan satu kebanggaan yang amat membanggakan.

“Ia menandakan usaha saya untuk merevolusikan cara undang-undang diajar, menjadikannya lebih menarik, inovatif dan memberi kesan kepada pelajar,” katanya.

Walaupun peralihannya daripada akademi undang-undang kepada Taylor’s Digital pada tahun 2023 mempunyai cabaran tersendiri, namun ia mencerminkan komitmennya untuk memacu inovasi dalam pendidikan tinggi dan mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan kepada anak didik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN