Sentuhan tropikal segar, minimalis rai lebaran

Sentuhan tropikal segar, minimalis rai lebaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Syawal kian menjelang, ibu-ibu pasti sudah mula memikirkan gaya kediaman yang ingin ditampilkan kali ini.

Biasalah raya, semuanya mestilah serba baharu. Bukan sahaja baju, tetapi juga gaya dekorasi.

Minggu ini Seri kongsikan gaya dekorasi ringkas yang boleh dijadikan inspirasi untuk disesuaikan dengan kediaman masing-masing.

Kediaman milik Haslinda Ismail dan Mohd. Nashril Abdul Ghani ini tampil ringkas dengan konsep minimalis moden yang diberi sedikit sentuhan tropikal.

Bukan sahaja indah mata memandang, konsep ini juga menjadikan ruang kelihatan bagaikan resort untuk bersantai.

“Kami memilih konsep ini kerana inginkan suasana yang santai seperti bercuti di rumah sendiri.

“Kami masukkan elemen Japandi seperti pemilihan kayu pada lantai, meja makan, dapur dan bilik tidur,” katanya.

Di bahagian luar iaitu kawasan parkir kereta pula diubah menjadi ruang rehat terbuka dengan padanan bata merah dan batu angin serta susunan lantai berbatu bagi menampakkan ruang lebih semula jadi serta cerah.

Bahagian dalaman pula lebih mengetengahkan gaya nyaman dari ruang tamu hinggalah ke dapur.

Aksesori dan susunan minimalis membuatkan kediaman seluas lebih 2,000 kaki persegi ini tampil lebih lapang dan luas.

Ditambah pula dengan penggunaan rona latar dinding yang cerah dan lembut memberi kesan lebih moden dan minimalis.

“Kami memilih gabungan tona warna seperti putih, krim dan kayu untuk mencipta efek ruang lebih cerah, sederhana serta mudah disuai padan dengan pelbagai perabot.

“Oleh kerana kami memilih konsep minimalis, jadi kerja-kerja mengemas menjadi lebih mudah dan boleh diuruskan dalam masa singkat. Perabot pun tidak banyak, jadi senang saya hendak mengemas,” katanya yang mengambil masa setahun lebih untuk melengkapkan dekorasi.

Bagi bahagian luar pula, daun-daun kering pada pokok dicantas seminggu sekali.

Pasangan ini turut memanfaatkan sistem auto irrigation, bagi rutin penyiraman pokok-pokok jika mereka tiada di rumah.

Tambahnya, konsep yang menjadi pilihan itu sesuai untuk dia dan suami yang menggemari DIY.

Bukan sahaja dapat merealisasikan cita rasa dekorasi, malah lebih menjimatkan kos.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN