REKAAN klasik sentiasa menjadi pilihan ramai kaum hawa dalam menggayakan busana Aidilfitri.
Antara yang mencuri perhatian pada lebaran kali ini ialah label Sendja keluaran jenama tempatan yang meningkat naik, Qhiam.
Pengarah kreatifnya, Edzham Abdul Rahim berkata, sentuhan gabungan klasik, vintaj dan minimal menjadi ramuan asas dalam penghasilan setiap koleksi Sendja.
Ia termasuk menerusi Sendja Mala, Maya, Nada, Suri dan Tari.
“Sendja dicipta khusus bagi memenuhi citarasa generasi muda, terutama gen Z.
“Ia membawa dimensi yang lebih berwarna-warni dan mengikut arus trend semasa tanpa meninggalkan nilai-nilai estetika berkualiti,” katanya baru-baru ini.
Kongsinya lagi, selain rekaan yang dinamik, antara kelebihan Sendja ialah menerusi penggunaan fabrik cotton di samping lining penuh.
Secara tidak langsung ia memberikan lebih keselesaan kepada si pemakai ketika meraikan Syawal dan berkunjung ke rumah sanak-saudara.
Setiap koleksi Sendja berharga dari RM229 hingga RM249 dan boleh didapati daripada saiz S hingga 2XL manakala bagi kanak-kanak RM159 (Sendja Mala).
Sementara itu, pengurus pemasaran dan jenamanya, Haries Mat Isa berkata, Qhiam turut memiliki rangkaian koleksi baju kurung dan kurta moden dengan rekaan kontemporari.
Ia selaras misi mereka dalam menyediakan fesyen mewah mampu milik buat si pemakainya di samping memelihara tradisi Melayu.
Dalam perkembangan sama, katanya, jenama itu bakal memperkenalkan rangkaian pakaian kasual untuk lelaki dan wanita pada pertengahan tahun ini.
Ujarnya, elemen versatil menjadi keutamaan dengan mengekalkan sentuhan tradisional dan moden yang menjadi identiti Qhiam.