Perkenal tart, semperit harumanis

Tart, semperit harumanis untuk raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TART nanas dan semperit merupakan antara kuih raya yang menjadi kegemaran ramai setiap kali Aidilfitri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi memberi kelainan, syarikat pemula Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Athanliz Innovation Sdn. Bhd. (AISB) menghasilkan kuih sama namun berasaskan buah harumanis.

Inisiatif itu pertama kali dilaksanakan menerusi enam pilihan kuih iaitu semperit harumanis, soft cookies harumanis, tart harumanis, cornflakes harumanis, almond london harumanis dan harumanis spread.

Pengarah Urusan AISB, Dr. Athifah Najwani Shahidan berkata, penghasilan kuih itu menggunakan ekstrak buah harumanis yang diproses dalam bentuk serbuk dan melalui prosedur pengeringan.

Katanya, walaupun kuih yang dihasilkan itu dibakar dalam suhu panas, namun ekstrak berkenaan masih dapat mengekalkan keharuman mempelam tersebut.

“Kita telah melakukan proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama dua tahun bagi mencari formula untuk mengekalkan keharuman buah ini walaupun dibakar pada suhu panas,” katanya.

Athifah Najwani berkata, menerusi inovasi dihasilkan itu, pihaknya menyasarkan penjualan sebanyak 50,000 kuih dengan harga berpatutan.

Katanya, orang ramai berpeluang mendapatkan kuih raya itu pada harga dari RM15 hingga RM17.

“Kita menawarkan harga berpatutan kerana mahu lebih ramai orang berpeluang menikmati keenakan kuih raya yang dihasilkan dengan ekstrak buah harumanis ini,” katanya.

Sementara itu, Athifah Najwani berkata, pihaknya bekerjasama dengan dua usahawan tempatan serta Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-China-Acheh bagi memasarkan kuih berkenaan di seluruh negara.

Selain itu, pemasaran turut dibuat dalam talian.

“Setiap tahun, kita akan mendapatkan bekalan 15 tan metrik buah harumanis dan selepas proses pengekstrakan ia dapat menghasilkan serbuk sekitar lima tan.

“Langkah ini bagi membolehkan kami mempunyai bekalan ekstrak itu sepanjang tahun memandangkan buah ini adalah bermusim,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Athifah Najwani berkata, AISB kini mempunyai sebanyak 30 produk berasaskan harumanis sekali gus menjadi platform terbaik bagi memperkenalkan nama Perlis ke negara luar.

 

Kosmetik
Selain makanan dan minuman, syarikat itu turut menghasilkan produk nutri kosmetik dengan daripada buah ikonik itu secara menyeluruh tanpa pembaziran.

“Setiap produk kami menggunakan semua bahagian buah harumanis meliputi isi, biji dan kulit dengan berkonsepkan sifar sisa.

“Langkah ini membolehkan semua bahagian buah itu dimanfaatkan sebaiknya untuk dijadikan produk sekali gus dapat dipasarkan ke negara luar,” katanya.

Di samping itu, pihaknya juga mempunyai seramai 15 pekerja dalam kalangan asnaf yang sebelum ini diserap masuk menerusi geran latihan diraih syarikat itu.

Biarpun baharu dua tahun beroperasi, Athifah Najwani berkata, AISB telah menyediakan platform pertama Projek Mentorship di mana dua penuntut UiTM Perlis telah mempunyai perniagaan sendiri sebelum menamatkan pengajian.

“AISB juga telah menandatangani hampir 30 memorandum persefahaman (MoU) bersama agensi, pemain industri dan usahawan tempatan di samping tiga memorandum di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN