Keinginan merasai sendiri pengalaman menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilftiri di Tanah Suci Mekah dan Madinah begitu membuak-buak di dalam hatinya sejak tiga tahun lalu.
Entah mengapa tiba-tiba rasa rindu yang teramat kepada Rasullulah SAW tersangat dalam, membuatkan Arafat Mohd. Ridzuan nekad berkelana ke tanah suci secara sendirian (DIY) tiga tahun berturut-turut sejak 2023.
Kali pertama dia mengerjakan umrah, semua persiapan dibuat sendiri bagi mencapai impiannya untuk beriktikaf di Masjid Nabawi yang menempatkan makam Nabi Muhammad SAW dan seterusnya menyempurnakan umrah di Masjidil Haram, Mekah.
Namun ada takdir indah menantinya yang tidak pernah sesekali dimimpikan pemuda berusia 34 tahun itu.
Rupa-rupanya di kedua-dua tanah anbiya itu, Arafat bakal dipertemukan dengan jodohnya.
“Niat saya ketika mengerjakan umrah hanya untuk mengabadikan diri beribadah kepada Allah SWT dan menziarahi makam Nabi Muhammad SAW. Bagaimanapun, saya tidak pernah menyangka bakal bertemu jodoh pula.
“Sebelum ini, saya tidak mengenali isteri,Muneeroah Marzouq, sebaliknya lebih rapat dengan ibu bapa dia yang berasal dari Singapura ketika mereka pertama kali bersama-sama saya mengerjakan umrah pada tahun 2023. Kebetulan kami berada dalam satu jemaah,” katanya.
Awalnya, ibu bapa Muneeroah sahaja yang mengerjakan umrah pada 2023.
Manakala umrah kali kedua pada tahun 2024,mereka sekali lagi dipertemukan tetapi kali ini, pasangan itu membawa Muneeroah dan adik perempuannya.
Katanya, selepas habis umrah, mereka pulang ke negara masing-masing.
Namun tidak lama selepas itu, ayah Muneeroah menghubungi Arafat dan menyatakan hasrat untuk menjodohkan dengan anaknya itu.
Walaupun agak terkejut dengan ‘pinangan’ itu, namun selepas berbincang bersama ibu bapa dan adik-beradiknya, Arafat menerima jodoh itu dengan hati terbuka.
Pada tahun lalu mereka dinikahkan di Singapura.
Bulan madu di Tanah Suci
Pengalaman dua tahun berturut-turut berpuasa dan menyambut Aidilfitri di Tanah Suci Mekah mendorongnya untuk meneruskan ibadah itu pada tahun ini.
Kali pertama, Arafat menjejakkan kaki ke Mekah pada tahun 2023 untuk menyambut Ramadan selama 40 hari di sana.
Kali kedua pula pada tahun lalu, dia sekali lagi menjadi tetamu Umrah di Tanah Suci selama 42 hari.
Tahun ini, pada 10 Ramadan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini terus merebut peluang meraih keberkatan Ramadan dan Syawal di Tanah Suci selama 22 hari.
Namun kali ini lebih bermakna kerana ditemani isteri.
Ditanya mengapa sanggup berjauhan dengan keluarga di bulan Ramadan terutama ketika Hari Raya Aidifitri, Arafat berkata, banyak sebab yang mendorongnya ke sana setiap tahun selepas menyempurnakan umrah yang pertama.
“Salah satunya adalah perasaan rindu untuk menziarahi baginda (Rasulullah SAW) serta rindu dengan ketenangan ketika menjalani ibadah di tempat yang diberkati terutama ketika Ramadan. Memang sukar digambar suasana tenang dan damai sepanjang berada di sana.
“Walaupun suasananya sesak dengan orang ramai dan pelbagai ragam tetapi saya anggap ia sebagai satu cabaran dan dugaan semata-mata. Saya perlu banyak bersabar dengan pelbagai ujian yang lain juga,” katanya.
Rutin hariannya sepanjang di Madinah tidak banyak beza dengan jemaah lain.
Usai solat Subuh, Arafat akan menziarahi makam Nabi Muhammad SAW di dalam Masjid Nabawi dan melawat perkuburan sahabat baginda di Baqi yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi.
Selain itu, Arafat tidak melepaskan peluang ziarah tempat-tempat bersejarah di Madinah seperti Jabal Malaikah di Katheeb al-Hannan.
Di Bukit ini, malaikat Jibril turun untuk membantu Rasulullah SAW dalam perang Badr.
Arafat turut menziarahi Gunung Uhud di mana terjadinya Perang Uhud pada Syawal 3 Hijrah bersamaan Mac 625 Masihi.
Hatinya cukup sayu ketika menatap perkuburan para syuhada yang berjuang demi menegakkan Islam.
Dia juga beriktikaf di Masjid Quba dan melakukan ibadah sunat yang lain. Hatinya terasa cukup damai ketika beriktikaf di Masjidil Haram sambil menunggu waktu berbuka puasa.
“Kebiasaannya, saya akan bersahur selepas solat tahajud dengan apa saja makanan yang ada sama ada yang dimasak sendiri atau makanan yang diberikan oleh sabil (sedekah).
“Kalau masak, kebiasaannya menu berasaskan makanan laut. Paling menarik apabila membeli bahan masakan di pasar al Kakiyah di Mekah.
“Di sini boleh dikatakan syurga makanan laut kerana terdapat pelbagai jenis ikan, ketam, kerang dan sebagainya. Harganya juga lebih murah,” katanya.
Selain membeli bahan masakan mentah untuk dimasak sebagai juadah berbuka, Arafat juga tidak lupa membawa barangan makanan kering dari tanah air.
Sekurang-kurangnya terubat sedikit rindu pada masakan Malaysia.
Ramadan, Aidilfitri berbeza di Mekah
Juadah berbuka disediakan secara percuma oleh pihak masjid seperti air Zam Zam, kurma,yogurt dan roti.
Biarpun nampak ringkas tetapi juadah itu cukup mengenyangkan. Jika ada rezeki, ada makanan yang disedekahkan oleh pelbagai pihak.
Solat tarawih biasanya lapan rakaat disusuli witir sebanyak tiga rakaat. Selepas solat, barulah berpeluang makan makanan lebih berat di hotel yang dimasak tadi.
Bagi menghilangkan rindu kepada ibu bapa dan adik-beradik di tanah air, Arafat sering menghubungi mereka menerusi panggilan video.
Menerusi panggilan itu, dia memberikan khabar dirinya sepanjang di sana.
“Malam raya di sini lebih meriah tetapi kemeriahan itu berbeza dengan apa yang selama ini saya rasai di tanah air. Tiada suasana sibuk dengan persiapan raya tetapi hanya suara takbir dan zikir sahaja memenuhi segenap ruang masjid.
“Sambutan raya di sana memerlukan pengorbanan. Bemula dengan keluar seawal pukul 1 pagi untuk ke masjid. Sekiranya terlewat, kita tidak dapat masuk ke dalam masjid. Saya perlu tunggu di dalam masjid sehingga pukul 7 pagi iaitu apabila solat hari raya bermula,” katanya.
Selepas solat dan takbir raya, tiada sebarang makanan istimewa dihidangkan seperti di Malaysia.
Bagaimanapun, jemaah dari Malaysia akan berkumpul di hotel dan makan bersama-sama.
Kali ini ibadah berpuasa di tanah suci itu akan lebih indah bagi pasangan suami isteri yang baharu berkahwin ini.
Kalau sebelum ini mereka sibuk dengan haluan dan ibadah masing-masing tetapi kini mereka bersama-sama mencari keberkatan Ramadan dan Syawal di kota suci itu.-UTUSAN









