WALAUPUN baru tiga hari berpuasa, tetapi mood Aidilfitri seolah-olah sudah meresap ke dalam jiwa kebanyakan umat Islam di negara ini.
Lebih-lebih lagi bagi golongan wanita yang tidak henti-henti memantau platform e-dagang bagi merebut baju raya idaman masing-masing.
Namun, tidak lengkap gaya Syawal tanpa aksesori wajib iaitu tumit tinggi bagi menyerlahkan lagi keanggunan si pemakai.
Jika sebelum ini, hanya baju yang biasanya dipenuhi manik, apa kata ubah selera dengan memakai sepatu yang berkilauan pula?
Koleksi terbaharu Steve Madden menawarkan pelbagai pilihan tumit tinggi dengan perincian kristal yang memukau.

Pengurus Besar jenama itu, Eve Chan berkata, tambah istimewa koleksi Sandre dan Justice itu ditampilkan dalam rona metalik iaitu emas dan perak.
“Ia sesuai digayakan dengan baju kurung mahupun kebaya sekali gus memberikan sentuhan moden serta glamor pada gaya raya anda,” katanya ketika majlis House of Steve: Edisi Raya baru-baru ini.
Selain kemasan kristal memukau, si pemakai yang ingin tampil berbeza boleh mencuba dua lagi koleksi lain.
Koleksi itu ialah Accords yang menampilkan tumit tinggi rona metalik manakala Ensemble pula muncung tajam yang diperbuat daripada fabrik bercorak dan renda.
Sementara itu, Eve berkata, bagi wanita yang mahu bergaya di luar musim perayaan, boleh mencuba beg tangan daripada koleksi Bevelyn.
Beg tangan berstruktur klasik dengan sentuhan moden ini boleh didapati dalam lima warna iaitu hitam, coklat, merah jambu, putih dan bercorak.










