“Terjemahan tepat adalah jantung bukan hati, kerana secara literalnya, perkataan ‘Qalb’ dalam Bahasa Arab bermaksud jantung, bukannya hati. Hati dalam Bahasa Arab ialah ‘Kibd’. Sebagai jalan tengah elok kita terjemah jantung hati.”
Itu kata-kata seorang ustaz veteran berusia 79 tahun yang pernah saya temui pada tahun 2015.
Beliau ialah Jaafar Hasan. Bekas pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.
Beliau juga antara anak Melayu terawal mendapat ‘Sijil Kehormatan dan Pingat Emas’ dari Presiden Mesir tahun 1962 kerana mencapai darjat tertinggi Ijazah Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Mesir.
Apa yang disentuh Ustaz Jaafar kelihatan remeh, namun ia menunjukkan ketelitian beliau dalam membicarakan teks agama. Beliau kemudiannya mencadangkan agar perkataan ‘jantung dan hati’ disandingkan bagi menyesuaikan kefahaman biasa orang Melayu.
Jantung merujuk kepada asal fizikal perkataan qalb, manakala hati merujuk kepada sifat kerohanian hati yang sudah lama dipegang orang Melayu.
Jantung hati adalah pusat pemerintahan seorang manusia. Jika jantung hatinya sakit, segala masalah berantai lain akan muncul. Nabi SAW bersabda ertinya: Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila ia elok maka eloklah keseluruhan jasadnya. Apabila ia rosak maka rosaklah keseluruhan jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah JANTUNG HATI (Sahih al-Bukhari, 50 & Sahih Muslim, 2996).
Dalam satu ayat, Allah menegaskan dosa yang dilakukan manusia akan memalitkan kesannya pada jantung hati.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu (wahai orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa jantung hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-Baqarah, 283).
Antara ubat mujarab untuk merawat jantung hati yang sakit atau berkarat, ialah membaca-faham al-Quran. Sabda Nabi SAW ertinya: Sesungguhnya jantung hati ini akan berkarat sebagaimana berkaratnya besi yang terkena air. Ditanyakan kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah penggilapnya? Baginda menjawab: Banyak mengingati mati dan membaca-faham al-Quran (Sa’b al-Iman Li al-Bayhaqi).
Oleh itu, manusia sangat memerlukan al-Quran sebagai ubat berkesan untuk merawat jantung hati mereka.
Dalam bicara penurunan al-Quran, Allah berfirman ertinya: Dan sesungguhnya Al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam jantung (hati) mu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. Dan sesungguhnya al-Quran (disebut juga perihalnya dan sebahagian dari pengajarannya) dalam kitab agama orang yang telah lalu. (Tidakkah mereka yang musyrik sedarkan kebenaran itu) dan tidakkah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita agama Bani lsrail mengetahui akan kebenaran Al-Quran itu? (al-Syu’ara’, 192-197).
Apabila berbicara tentang Nuzul al-Quran sebagai tanda kasih sayang Allah, menarik untuk kita ikuti ulasan Imam al-Tabari terhadap satu ayat.
Ertinya: Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermastautin dan diperkuatkan-Nya kamu dengan pertolongan-Nya, serta dikurniakan-Nya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur (al-Anfal, 26).
Imam al-Tabari mengulas ayat ini. Ertinya: Bangsa Arab adalah bangsa paling hina, punyai kehidupan paling sukar, perut yang paling lapar, pakaian paling sedikit serta bangsa paling sesat (tiada panduan). Mereka tunduk menyembah batu (berhala) kalah pula kepada dua empayar besar Farsi dan Rom. Demi Allah tiada apa-apa kelebihan di negeri mereka yang boleh membuatkan orang cemburu. Siapa yang hidup dalam kalangan mereka hidupnya penuh sengsara. Yang mati pula pastinya dihumban ke neraka. Mereka selalu dibaham (dikalah serta ditindas) dan tidak mampu membaham orang lain. Tiada manusia paling teruk kehidupannya berbanding mereka.
Sehinggalah Allah membawa Islam kepada mereka, lalu kedudukan negeri mereka menjadi kukuh, rezeki mereka semakin luas dengan berkat Islam, mereka menjadi raja mengatasi ramai manusia lain. Dengan Islam Allah telah berikan berbagai kelebihan kepada mereka sebagaimana yang engkau boleh lihat sendiri. Maka syukurilah Allah atas segala nikmat-Nya kerana Tuhanmu ialah pemberi nikmat yang suka sikap syukur (hambanya). Orang yang selalu bersyukur akan berada dalam berbagai tambahan nikmat dari Allah (Tafsir al-Tabari-Ulasan pada ayat 8:23).
Perlu juga diingat, jantung hati kita ini bukan milik kita sepenuhnya. Ia berada dalam kawalan Allah secara mutlak. Ia ditegaskan Allah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang beriman, sahutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Keduanya menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nya kamu akan dihimpunkan (al-Anfal, 24).
Oleh itu, kebergantungan kita dengan Allah agar jantung hati kita sentiasa terbimbing ditegaskan Nabi SAW.
Ertinya: Rasulullah SAW banyak membaca doa “Ya Allah yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku dalam agama-Mu.” Anas lalu bertanya: Wahai Raslullah kami sudah beriman denganmu dan dengan apa yang engkau bawa. Adakah engkau masih risaukan kami? Rasulullah menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya jantung hati (manusia) berada antara dua jemari Allah (kuasa Allah yang mutlak) yang boleh dibolak-balikkan-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki” (Sunan al-Tirmidhi, 2066).-UTUSAN
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










