Dalam sejarah ketamadunan manusia, kepemimpinan yang berkesan tidak hanya diukur melalui kekuatan kuasa, tetapi juga melalui kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan, membina hubungan strategik, dan menegakkan keadilan.
Antara contoh kepemimpinan unggul yang direkodkan dalam al-Quran ialah kisah Nabi Sulaiman AS, seorang pemimpin yang bukan sahaja memiliki kerajaan luas, tetapi juga keupayaan diplomatik luar biasa.
Kisah Nabi Sulaiman bukan sekadar catatan sejarah atau mitos keagamaan, tetapi satu model kepemimpinan strategik yang terus relevan dalam dunia moden, baik di bidang politik, hubungan antarabangsa, mahupun pengurusan organisasi.
Ketegasan yang berhikmah
Surah An-Naml menceritakan bagaimana Nabi Sulaiman menangani hubungan dengan kerajaan Saba’ yang diperintah oleh Ratu Balqis.
Peristiwa ini mencerminkan prinsip diplomasi berasaskan kebijaksanaan, komunikasi yang efektif dan strategi yang berasaskan kefahaman psikologi lawan.
Ketika menerima laporan daripada burung hud hud mengenai kerajaan Saba’ yang menyembah matahari, Nabi Sulaiman tidak bertindak terburu-buru dengan melancarkan serangan.
Sebaliknya, baginda menghantar sepucuk surat kepada Ratu Balqis dengan mesej yang tegas tetapi penuh hikmah:
“Janganlah kamu sombong terhadapku, dan datanglah kepadaku dengan berserah diri.” (Surah An-Naml: 31)
Ayat ini memperlihatkan Nabi Sulaiman tegas dalam tuntutannya dan kerajaan Saba’ harus menerima kebenaran serta tidak bersikap sombong.
Baginda tidak memberikan ruang untuk Ratu Balqis menangguhkan keputusan atau berdolak-dalik dalam menerima kebenaran.
Ketegasan ini mencerminkan kebijaksanaan seorang pemimpin dalam memastikan keadilan ditegakkan tanpa kompromi terhadap prinsip utama.
Pendekatan ini memperlihatkan tiga prinsip utama dalam seni diplomasi:
• Ketegasan dalam pendirian
Dalam konteks dunia moden, ketegasan dalam diplomasi dapat dilihat dalam pertahanan kedaulatan negara, dasar luar negara, serta pengurusan organisasi.
Sebagai contoh, dalam hubungan antarabangsa, pemimpin sesebuah negara perlu tegas mempertahankan hak dan kepentingan rakyat mereka daripada campur tangan asing.
Namun, ketegasan ini bukan bermaksud kekerasan atau keangkuhan, sebaliknya keberanian menegakkan kebenaran dan menjaga kestabilan.
• Kejelasan dalam mesej
Surat yang dihantar kepada Ratu Balqis tidak mengandungi bahasa berbelit atau sindiran yang menimbulkan salah faham.
Sebaliknya, mesej yang disampaikan adalah jelas tanpa memerlukan tafsiran yang kompleks.
Kejelasan dalam komunikasi adalah kunci dalam kepemimpinan dan hubungan antarabangsa untuk mengelakkan konflik serta memastikan setiap pihak memahami peranan dan objektif mereka.
Dalam perundingan dan pengurusan organisasi, mesej yang jelas membina kepercayaan serta menghindari syak wasangka.
• Ruang rundingan
Nabi Sulaiman mengutamakan rundingan sebelum menggunakan kekuatan.
Meskipun memiliki tentera hebat, baginda memilih untuk berkomunikasi dengan Ratu Balqis terlebih dahulu, memberi peluang untuk keputusan yang rasional.
Ratu Balqis sendiri tidak bertindak terburu-buru, sebaliknya menguji Nabi Sulaiman dengan hadiah, yang ditolak baginda dengan tegas tanpa menggunakan kekerasan serta-merta.
Dalam dunia moden, keutamaan kepada diplomasi membantu mengelakkan konflik, membina hubungan baik, mengekalkan kestabilan, menjadikan rundingan sebagai lambang kebijaksanaan dan keadilan dalam kepemimpinan.
Memahami psikologi lawan
Ketika Ratu Balqis menerima surat tersebut, beliau tidak bertindak secara impulsif, sebaliknya, bermesyuarat dengan pembesarnya dan memilih untuk menghantar hadiah kepada Nabi Sulaiman sebagai tanda uji kaji terhadap niat sebenar baginda.
Namun, Nabi Sulaiman dengan cepat memahami taktik itu dan memberi respons yang bijaksana: “Patutkah kamu memberikan kepadaku harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan-Nya kepada kamu…” (Surah An-Naml: 36)
Di sini, baginda menunjukkan kepekaan dalam membaca motif pihak lawan.
Dalam diplomasi moden, pemimpin yang efektif bukan sahaja bertindak berdasarkan maklumat, tetapi juga mampu menilai niat tersirat di sebalik tindakan pihak lain.
Nabi Sulaiman memahami yang hadiah tersebut bukanlah sekadar tanda persahabatan, tetapi ujian untuk melihat sama ada baginda mudah dipengaruhi dengan kekayaan.
Dengan menolak hadiah tersebut, baginda menegaskan yang kepemimpinannya bukan berasaskan materialisme, tetapi keadilan dan tunduk kepada kebenaran.
Kepemimpinan ilmu, kebijaksanaan
Salah satu aspek kepemimpinan Nabi Sulaiman yang sering dikagumi ialah kebolehan baginda menyelesaikan konflik secara adil dan bijaksana.
Kisah pertikaian dua wanita yang berebut seorang bayi adalah contoh klasik bagaimana pemimpin perlu memiliki kefahaman psikologi dan teknik penyelesaian masalah yang mendalam.
Dalam kisah tersebut, Nabi Sulaiman mencadangkan agar bayi itu dibelah dua dan diberikan kepada kedua-dua wanita itu.
Tindakan ini sebenarnya adalah satu ujian psikologi, kerana ibu kandung yang sebenar pasti tidak sanggup melihat anaknya dibunuh.
Keputusan ini membuktikan yang kepemimpinan efektif bukan sekadar berlandaskan kekuatan kuasa atau undang-undang kaku, tetapi kebijaksanaan dalam memahami emosi dan nilai kemanusiaan.
Aplikasi prinsip Nabi Sulaiman dalam kepemimpinan masa kini
Prinsip kepemimpinan Nabi Sulaiman tetap relevan dalam dunia moden, terutama dalam politik, hubungan antarabangsa, dan pengurusan organisasi.
Dalam era yang penuh konflik dan ketidaktentuan, pemimpin perlu menguasai seni komunikasi diplomatik seperti Nabi Sulaiman. Berani tetapi tidak angkuh, tegas tetapi tidak zalim, dan berprinsip tetapi terbuka kepada rundingan.
Dalam konteks Malaysia, pemimpin boleh mengambil inspirasi kisah baginda dalam membina negara yang harmoni melalui diplomasi bijaksana.
Di peringkat korporat dan organisasi pula, pendekatan Nabi Sulaiman boleh dijadikan model dalam membina budaya kerja yang adil, komunikasi jelas dan kepemimpinan berorientasikan kebijaksanaan serta keadilan.
Kepemimpinan hikmah, adil
Kisah Nabi Sulaiman dalam al-Quran bukan sekadar naratif sejarah tetapi satu model yang mencerminkan nilai kepemimpinan sejati berteraskan ilmu, kebijaksanaan, keadilan dan komunikasi yang efektif.
Dalam dunia hari ini, pemimpin di pelbagai peringkat daripada ketua negara hingga pemimpin organisasi perlu mengambil iktibar daripada pendekatan Nabi Sulaiman.
Diplomasi yang bijaksana bukan hanya berunding dengan pihak lain, tetapi juga tentang memahami motif, mengurus konflik dengan baik dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Akhirnya, kepemimpinan yang berkesan bukan sekadar soal kuasa, tetapi soal bagaimana kuasa itu digunakan untuk membawa kebaikan kepada semua.
Prinsip yang diterapkan oleh Nabi Sulaiman dalam pentadbirannya membuktikan yang pemimpin berlandaskan hikmah dan keadilan akan sentiasa dihormati, bukan hanya oleh rakyat tetapi juga sejarah.
-Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










