Fesyen biduanita negara, Saloma di era 50an menjadi inspirasi buat Khoon Hooi dalam penghasilan busana Aildifitri 2025.
Pereka fesyen ini berusaha membawa semula ciri keanggunan klasik yang diperagakan oleh ikon fesyen itu di zaman kegemilangannya.
Dalam masa sama, ia itu turut diberi sentuhan moden, sekali gus mampu mencipta gaya yang lebih elegan dan penuh pesona kepada si pemakai.
Buat julung kali, sifon berbunga turut diperkenalkan bagi memberi tarikan yang lebih tenang dan ringan pada penampilan si pemakai.
Antara koleksi baju raya Khoon Hooi 2025 yang bakal menjadi tarikan peminat fesyen, ialah kebaya Trisya, yang dihiasi labuci bercorak bunga dengan fabrik organza di bahagian atas baju.
Padanan skirt satin berpotongan lilit dihiasi manik-manik kaca di sepanjang bucu menambahkan lagi tarikan.

Kebaya Nelissa pula, menampilkan sutera bunga berenda halus dan disertakan dengan bukaan cangkuk di bahagian hadapan.
Potongan bagi set ini, dipadankan dengan skirt yang dilitkan secara bentuk asimetri, menggunakan kain tekstil satin bertekstur, kemudian dihiasi dengan manik kaca.
Sementara itu, penggunaan sifon merah jambu yang digunakan pada kebaya Nadini, ditambah dengan corak bunga mawar halus, menjadikan rekaan baju terlihat lembut dan penuh romantis.
Bagaimanapun, koleksi kebaya Khoon Hooi ini tidak sesuai buat golongan Muslimah yang mengamalkan cara pemakaian patuh syariah.
Salah satu elemen utama dalam baju kebaya klasik ialah potongan yang lebih menampilkan bentuk badan dengan jelas.

Justeru itu, potongan kebaya yang ketat dan menonjolkan bentuk badan bukanlah pilihan yang sesuai bagi wanita Muslimah yang ingin menjaga aurat mereka dengan lebih sempurna.
Dalam pada itu, penggunaan fabrik seperti satin dan organza, dalam koleksi ini, merupakan material yang nipis dan jarang boleh menyebabkan aurat terdedah jika tidak dilapisi dengan betul.
Hal ini menjadikan koleksi ini kurang mesra kepada pembeli Muslimah yang mencari pakaian yang lebih sopan dan memenuhi syariat.
Bagi baju kurung pula, Khoon Hooi menampilkan Lina, kurung moden bercorak abstrak bunga berjalur yang menghidupkan kembali gaya pakaian wanita tradisional.
Menampilkan garis pada leher dengan potongan yang lebar manakala lengan yang kembang.











