Belajar taranum sejak lima tahun

Belajar taranum sejak lima tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK usianya lima tahun, beliau sudah terdedah kepada taranum dan mula serius mendalami seni bacaan al-Quran hasil dorongan kuat bapa.

Ayahnya, Razali Hasan adalah guru pertama yang membimbing Mohd. Fahmi Asraf dalam mengenali keindahan taranum, membentuk asas bacaan yang kukuh serta mendidik untuk membaca al-Quran dengan penuh penghayatan.

Johan Tilawah Al-Quran Perak dan Selangor ini turut berguru dengan beberapa qari dan guru berpengalaman yang membantu dalam teknik bacaan, kawalan suara serta pemahaman mendalam terhadap seni taranum.

“Membaca dengan taranum memberi satu perasaan luar biasa yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk membaca dan menghayati al-Quran.

“Taranum memberi nyawa kepada bacaan, menjadikannya lebih bermakna dan menyentuh jiwa,” katanya.

Taranum bukan sekadar belajar teori tetapi perlu latihan berulang kali untuk mendapatkan alunan yang sempurna.

Katanya, salah satu cabaran utama dalam taranum ialah mengawal pernafasan supaya dapat membaca dengan lancar tanpa terganggu.

Setiap lagu dalam taranum memerlukan stamina suara kuat, terutama dalam bacaan yang panjang dan memerlukan kawalan nada stabil.

Jika nafas tidak cukup kuat, bacaan boleh terganggu dan kehilangan keindahan melodi.

“Sebagai qari, suara adalah aset utama dan antara pantang yang dilakukan ialah dengan mengurangkan makanan pedas, berminyak serta minuman sejuk terutama sebelum bertanding atau mengajar.

“Jika suara tidak dijaga, ia boleh menyebabkan serak dan mengganggu kelancaran bacaan,” katanya.

Bagi Mohd. Fahmi Asraf, setiap taranum mempunyai keistimewaan dan keindahannya dapat dirasai apabila seseorang memahami emosi dan makna ayat dengan mendalam.

Antara kegemarannya ialah soba yang memiliki melodi tenang dan mendayu, sangat sesuai untuk bacaan yang memerlukan kelembutan.

Manakala, sikah pula katanya, mempunyai lenggok yang lebih emosional dan menyentuh jiwa, menjadikannya sangat berkesan dalam bacaan bertemakan keinsafan dan kebesaran Allah.
Berkat kegigihan berlatih tanpa jemu dan disiplin tinggi membolehkannya meraih Johan Tilawah Al-Quran Perak 2012 diikuti Selangor (2014).

Media sosial platform dakwah
Bagi menyampaikan ilmu al-Quran terutama kepada golongan muda, Mohd. Fahmi Asraf menubuhkan Ustaz Fahmi Legacy (UFL).

Daripada cuma 5,000 pengikut, jumlahnya kini melonjak kepada 508,000 orang di laman TikTok manakala YouTube (463,000), Facebook (364,000) dan Instagram (323,000).

Namun, katanya, bukan angka yang menjadi ukuran tetapi amanah dan tanggungjawab untuk terus menyampaikan ilmu al-Quran kepada orang ramai.

Platform media sosial dimanfaatkan untuk berkongsi bacaan taranum, tips tajwid, pengajaran Al-Quran secara santai selain konten video pendek, interaktif dan mudah difahami.

“Ramai golongan muda sibuk dengan kerja dan komitmen lain, jadi, saya menyediakan kelas taranum dalam talian agar mereka dapat belajar dari mana sahaja tanpa mengganggu jadual harian.

“Pendekatan ini menjadikan taranum lebih mudah diakses tanpa perlu hadir ke kelas fizikal yang mungkin membebankan mereka,” katanya.

Katanya, sebagai pengajar, pengalaman paling indah adalah apabila melihat kejayaan enam pelajarnya mara ke Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan.

“Saya masih ingat bagaimana mereka bermula, ada yang kurang yakin dan menganggap taranum itu sukar tetapi dengan kesungguhan serta latihan berterusan, mereka berjaya menempatkan diri di pentas kebangsaan,” katanya.

 

Cari guru berpengalaman
Sementara itu, Mohd. Fahmi Asraf menasihatkan generasi muda yang ingin mendalami seni taranum dan tilawah al-Quran supaya berguru dengan golongan berpengalaman.

Katanya, ia penting bagi mendapatkan bimbingan sempurna dari segi teknik bacaan, kawalan suara dan penghayatan ayat.

“Jangan malu untuk bertanya dan sentiasa terbuka menerima teguran bagi memperbaiki kelemahan.

“Selain itu, latihan berterusan juga sangat penting termasuk pernafasan dan kawalan suara, di samping ulang dengar bacaan qari-qari hebat sebagai rujukan,” katanya.

Katanya, seorang qari bukan hanya dikenali kerana suara yang indah, tetapi juga akhlak terpuji.

Jika seseorang hebat dalam taranum tetapi sombong atau sukar menerima teguran, ia akan membatasi keberkatan ilmunya.

“Bagi yang bercita-cita menjadi ustaz atau ustazah di masa hadapan, pastikan niat utama untuk menyebarkan ilmu dan membimbing masyarakat.

“Jangan kejar populariti atau keuntungan dunia. Ingatlah, tugas ini adalah amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×