SEDAP sangatkah Cendol Songkok Tinggi sampai tular dalam media sosial? Atau sekadar gimik bentuk songkok yang dipakai?
Jom! Ambil kunci, capai topi keledar, bersama isteri saya tunggang motosikal sejauh 70 kilometer (km) semata-mata hendak merasa.
Tidak sukar mencarinya di Kampung Jiboi Baru, berdekatan Seremban. Dari jauh sudah dapat meneka itulah lokasi yang kami cari. Mana tidaknya, dalam kawasan kampung, tiba-tiba nampak banyak kenderaan tersusun di tepi jalan. Macam ada kenduri kahwin.
Meja dan kerusi yang disusun di bawah rimbunan pokok rambutan menjadikan suasana nyaman meskipun ketika itu pukul 3 petang dan cuaca panaih lit-lit bak kata orang utara.
Kebetulan cuti hujung minggu, ramai pelanggan dari luar Seremban datang.
Cendol yang kami pesan pun tiba. Suapan pertama masuk dalam mulut. Mmmm…sedap! Rasa memang lain daripada cendol yang pernah kami minum. Selalunya pahit-pahit, kenyal. Tapi yang ini tidak. Macam rasa kuih, lembut pula.
Maka, kami berborak dengan tauke kedai, Daud Othman, 71, mengenai resipi rahsianya. Lebih mesra disapa Haji Daud, dia sendiri tidak sangka cendolnya mendapat sambutan termasuk daripada pelancong asing.
Menurutnya, untuk buat cendol, dia guna daun pandan serani yang dicampur dengan daun pandan biasa. Selain warna hijaunya lebih ‘cantik’, rasanya juga lebih sedap.
Pesara tentera ini memberitahu, tidak ramai yang tahu daun pandan serani boleh dijadikan pewarna dalam pembuatan kuih-muih. Mungkin sukar untuk memperolehnya selain pewarna yang lebih senang dibeli di kedai runcit.
Dia sendiri pun pada mulanya sukar hendak dapatkan bekalan pandan serani. Terpaksa ambil dari rumah-rumah orang di Shah Alam. Namun, sekarang tidak lagi kerana dia tanam di sekeliling gerai selain penduduk kampung sudah ramai menanamnya.
Selain itu, Haji Daud menggunakan empat jenis tepung untuk buat cendol iaitu tepung gandum, tepung jagung, tepung beras dan tepung ubi. Orang lain biasa guna tepung gandum dan tepung beras. Patutlah sedap!
Gulanya pula diperbuat daripada pokok enau atau kabung.
Katanya, dia belajar buat cendol daripada seorang bekas tukang masak tentera. Kemudian, dia olah resipi mengikut cita rasa sendiri sehingga dikenali ramai.
Sebelum ini, selama 15 tahun dia hanya memenuhi permintaan untuk majlis-majlis, biasanya kenduri kahwin. Bagaimanapun, semakin lama semakin ramai pula orang bertandang ke rumahnya mahu ulang makan cendol, termasuk warga asing Indonesia, Korea Selatan, Singapura dan Amerika Syarikat.
Paling diingatnya, ada satu keluarga dari Kuala Lumpur yang setiap minggu menghubunginya semata-mata mahu hadir ke majlis yang menyediakan Cendol Songkok Tinggi!
Timbul rasa kasihan, maka Haji Daud dirikan gerai bersebelahan rumahnya sejak lapan tahun lalu supaya orang boleh datang bila-bila berkelapangan dari pukul 9 pagi hingga 6.30 petang kecuali Isnin tutup.
Kerap juga pelancong dari China datang selepas disyorkan oleh rakan-rakan mereka.
Menu istimewa lain adalah makanan tradisional dari Johor, iaitu tempat asal Haji Daud. Itulah sebab dia pakai songkok tinggi yang sinonim dengan budaya negeri tersebut. Antaranya laksa Johor, mi rebus, kuetiau dan cakoi.
Paling istimewa, cekodok atau jemput-jemput yang dicicah dengan kuah asam pedas. Sebelum ini, dia menghidangkannya bersama daging tetel. Namun, disebabkan pelangan India tidak makan daging, maka dia menggantikannya dengan kuah asam pedas.
Bagi pelanggan Cina, dia menyediakan mi sup ayam.
Kalau sudah tular, mestilah harga cendolnya pun ‘keras’? Eh, tidak. Dari dahulu hingga sekarang masih kekal RM2.50 semangkuk. Ada yang menyuruh Haji Din menaikkan sehingga RM4 ikut harga pasaran semasa pun dia tidak mahu.
Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh ‘serbu’ gerai Cendol Songkok Tinggi. Bulan puasa pun sudah dekat!-UTUSAN











