Ibu bapa punca remaja sakit mental

Ibu bapa punca remaja sakit mental

Kesihatan mental seorang remaja bermula daripada ibu bapa dan rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sikap tidak ambil peduli terhadap emosi anak-anak memberi kesan negatif terhadap perkembangan psikologi mereka.

Pensyarah Psikologi Universiti Sains Malaysia (USIM), Dr. Intan Hashimah Mohd. Hashim berkata, ibu bapa merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam membentuk kestabilan emosi dan kesejahteraan mental anak-anak.

“Ibu bapa yang kurang berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak sering menyebabkan mereka rasa terabai, sekali gus membuatkan anak-anak kehilangan tempat mengadu yang selesa dan selamat.

“Ketiadaan dialog yang sihat membatasi peluang remaja meluahkan perasaan atau berkongsi masalah, yang akhirnya menyebabkan tekanan emosi terpendam, kemudian meningkatkan
risiko mempunyai penyakit mental seperti kemurungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kesihatan mental dalam kalangan remaja semakin menjadi isu yang membimbangkan kerana melibatkan kumpulan terlalu muda dan baharu memasuki peringkat kedewasaan.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan sebanyak satu juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami masalah kemurungan.

Kajian pakar sebelum ini mendapati perubahan gaya hidup, tekanan pembelajaran dan pengaruh media sosial sering menjadi punca utama seseorang menghidap penyakit mental.

Namun, peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam membentuk kesejahteraan emosi anak-anak menjadi faktor yang sering terlepas pandang dalam kalangan masyarakat masa kini.

OBSES YANG MEMBERI TEKANAN

Selain itu, sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu obses ingin melihat anak-anak mereka mencapai pencapaian pada tahap yang lebih cemerlang seperti yang diinginkan.

“Hal ini sehinggakan, mereka (ibu bapa) meletakkan tekanan yang besar terhadap pencapaian akademik dan kejayaan anak-anak tanpa melihat pada had kemampuan mereka.

“Oleh itu, harapan yang tidak realistik tersebut dan paksaan ibu bapa mencetuskan perasaan rendah diri, tekanan dan ketakutan terhadap kegagalan dalam kalangan remaja, yang boleh membawa kepada gangguan cemas atau anxiety,” katanya.

Ada juga ibu bapa yang bekerjaya mengutamakan hal pekerjaan yang mana mereka juga terpaksa menanggung beban dan tekanan di tempat kerja, sehingga masa yang digunakan di rumah hanya sebagai tempat untuk berehat.

Tambah Intan Hashimah, kewujudan teknologi dan gadget terkini menyebabkan komunikasi bersama dengan anak-anak hanya menggunakan pesanan ringkas seperti aplikasi Whatsapp.

“Justeru, ketidakhadiran mereka secara emosi dan fizikal ini membuatkan remaja merasa diabaikan, sekali gus menyumbang kepada ketidakstabilan mental mereka.

“Hal ini mendorong kurangnya masa berkualiti antara ahli keluarga, pada masa sama masalah ini boleh menyebabkan hubungan antara ibu bapa menjadi renggang.

“Ini menyebabkan komunikasi menjadi terhad, sekali gus menyukarkan ibu bapa untuk memahami perasaan atau keperluan anak-anak,” katanya.

Gaya keibubapaan yang terlalu keras mahupun longgar boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan mental remaja.

Jelasnya, disiplin yang keras sering menyebabkan ketakutan dan tekanan, manakala disiplin yang longgar boleh menyebabkan remaja merasa terabai, menjadikan mereka lebih terdedah kepada kemurungan.

Selain itu, katanya, pergaduhan terbuka di depan anak-anak yang merupakan satu bentuk konflik rumah tangga juga memberi kesan negatif pada kesejahteraan emosi mereka.

Khususnya, pada tahap remaja, golongan ini lebih mudah terkesan kerana mereka berada pada fasa perkembangan yang sensitif dan bergantung kepada kestabilan keluarga untuk membentuk identiti serta keyakinan diri.

“Anak-anak tidak lagi merasa rumah sebagai tempat yang selamat tetapi sebaliknya menjadi medan konflik, yang boleh menyebabkan anxiety dan perasaan takut berterusan pada diri mereka sehingga menjejaskan kesihatan mental,” katanya.

SIMPTOM SAKIT MENTAL

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Prof. Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, bunuh diri merupakan punca utama kematian dalam kalangan belia Malaysia berumur 15 hingga 29 tahun, namun ia tetap mendapat stigma yang tinggi sehingga menghalang perbincangan terbuka.

Justeru, penting untuk mengenalpasti tanda-tanda awal seseorang individu sama ada mempunyai penyakit mental bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Kata Andrew, tanda-tanda awal sering kali sukar dikesan kerana boleh disalah anggap sebagai perubahan normal yang berlaku semasa proses tumbesaran pada setiap individu meningkat dewasa.

Namun, untuk memahami simptom-simptom awal bagi membolehkan sokongan dan bantuan dapat diberikan segera kepada remaja adalah melalui kaedah pemerhatian dari semasa ke semasa.

Katanya, perubahan emosi seseorang adalah merupakan perkara yang biasa, tetapi perubahan mood yang sering berlaku di luar kebiasaan seperti kemurungan dan kesedihan berpanjangan menunjukkan seseorang berkemungkinan mempunyai masalah mental.

“Mereka yang mengalami kemurungan dan kebimbangan sentiasa menyatakan ketakutan, kebimbangan atau perasaan rasa ‘kekosongan’ dalam diri.

“Mereka juga cenderung rasa tertekan iaitu stres yang berlebihan walaupun dengan isu-isu kecil, malah mengungkapkan kenyataan seperti ‘tidak ada yang penting lagi dalam kehidupan saya’ atau ‘tidak ada bermakna dalam kehidupan saya’,” katanya.

Terdapat juga pesakit mental pada tahap awal mengelakkan sebarang hubungan atau interaksi dengan orang lain sama ada secara fizikal emosi atau komunikasi, walaupun mereka merupakan kenalan dan keluarga kepada individu tersebut.

Selain itu, seseorang pesakit juga mengalami gangguan untuk menumpukan perhatian sehinggakan membuatkan mereka kurang berminat untuk bersekolah sekaligus mengakibatkan penurunan prestasi akademik.

Selain itu, masalah tidur sama ada insomnia, tidur terlalu banyak dan sering mengalami mimpi ngeri merupakan simptom yang sukar diketahui kecuali untuk jika dikongsikan sendiri oleh pesakit terbabit kepada pakar perubatan.

“Mereka juga mungkin mengalami tentang keletihan atau kelesuan yang berterusan, walaupun selepas rehat yang mencukupi.

“Terdapat juga pesakit yang mengalami sakit dari segi fizikal seperti sakit kepala, perut dan badan, yang mana hanya boleh dikaitkan penyakit mental melalui pemeriksaan kesihatan,” katanya.

PERLU PERHATIAN

Untuk rekod, penyakit mental yang biasanya dialami bagi kumpulan umur remaja ialah kemurungan yang merangkumi perasaan kesedihan yang berterusan, harga diri yang rendah, perasaan tidak bernilai dan kehilangan minat dalam aktiviti yang mereka sukai.

“Bagi gangguan keresahan melampau pula ialah seseorang individu mengalami kebimbangan yang berlebihan, gelisah dan gejala fizikal seperti degupan jantung yang cepat, serta mengelakkan situasi tertentu.

“Bagi Gangguan Attention Deficit Hiperactivity Disorder(ADHD), mereka mungkin mengalami kesukaran menumpukan perhatian, impulsif, hiperaktif dan cabaran dalam persekitaran akademik dan sosial.

“Namun ADHD sering tidak didiagnosis atau diketepikan sebagai masalah disiplin di sekolah-sekolah di Malaysia,” katanya.

Malah, katanya, pengalaman traumatik seperti hukuman dan kecederaan fizikal berpunca daripada ibu bapa juga boleh mengakibatkan Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD).

“Jika ia tidak dikawal, penyakit mental dalam kalangan remaja boleh mendorong mereka untuk mengambil keputusan yang membahayakan diri sehingga mampu untuk membunuh diri,” katanya.

Apabila remaja meluahkan perasan bahawa mereka telah berputus asa, atau bercakap tentang kematian, tanda-tanda ini boleh memberi petunjuk tentang niat untuk membunuh diri .-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN