Berlian suci berbau harum di celahan lumpur

Berlian suci berbau harum di celahan lumpur

PENULIS bersama rombongan UIAM di Warung Makan Sahabat di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Banyak lagi kerja kita para agamawan kepada masyarakat. Ketika sesetengah kita galak berselisih sesama sendiri dalam pelbagai isu seperti aliran pemikiran dan politik, ramai lagi Muslim yang perut mereka berterusan dilanda keroncong kelaparan di tengah-tengah Kuala Lumpur.”

Kata-kata Ustaz Muhammad Syafiq, bekas Setiausaha Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan itu seakan halilintar menyambar minda saya.

Beliau bekas pelajar saya dan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tahun 2016.

Selepas habis belajar beliau menyertai pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Amal Malaysia (YAM) yang banyak berkhidmat membantu orang ramai dalam pelbagai kerja amal di seluruh Malaysia.

Sabtu lalu, kakitangan Pusat Bahasa dan Perkembangan Akademik Pra-Universiti (CELPAD) bersama Pusat Perhubungan Alumni UIAM turun merasai pengalaman baharu di Warung Makan Sahabat di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Aktiviti libat urus masyarakat seperti ini antara kegiatan luar kampus yang selalu dilakukan kakitangan UIAM untuk menabur bakti kepada komuniti luar kampus.

Kali ini, kami memilih Warung Makan Sahabat (WMS), sebuah restoran makan percuma yang ditubuhkan bagi membantu golongan gelandangan dan miskin bandar.

Restoran kecil ini ditubuhkan pada awal Julai 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda dunia oleh tiga individu iaitu Mak Wan, Fety Salwany dan Harun Abu Bakar.

Restoran ini kemudiannya bekerjasama dengan YAM pada 13 November 2020. Pada waktu ini, WMS dibuka setiap hari dengan agihan makanan siap masak 1,000 pek sehari.

WMS bukan hanya sebuah restoran yang menjamu fizikal tetapi turut menjalan kegiatan dakwah yang berkesan.

Bagaimana? Ia turut menjadi surau mini dan kelas pengajian Islam bagi komuniti setempat.

Selepas agihan makanan dibuat bermula pukul 12 tengah hari, WMS membuka kelas mengaji al-Quran dewasa dan disambung dengan solat Zuhur berjemaah.

Pada waktu malam pula WMS menawarkan kelas mengaji al-Quran untuk kanak-kanak dan wanita.

Pada 10 Februari 2021, mualaf pertama memeluk Islam di WMS dan sehingga kini sudah 76 orang memeluk Islam di situ.

Menurut Ustaz Syafiq, kewujudan WMS sebagai pusat agihan makanan, pusat dakwah, kelas pengajian dan surau mini sedikit sebanyak mengimbangi suasana kelam gelap lorong tersebut.

WMS seperti sebuah ‘berlian suci berbau harum’ di celahan lumpur, najis dan sampah sarap dalam Kuala Lumpur. Saya percaya, jika dibantu semua pihak WMS boleh menjadi ‘agen pemangkin’ yang akan menukar lumpur sekitar ibu kota menjadi ‘debu tayammum’ yang suci suatu hari nanti.

Pada Ramadan, solat tarawih turut diadakan di WMS dengan pimpinan imam hafiz dari Madrasah Tahfiz di Lorong Haji Taib. Ternyata ini juga maklumat baharu bagi saya. Lorong Haji Taib yang dahulunya sinonim dengan kegiatan tidak sihat sudah dibersihkan oleh kerajaan, Alhamdulillah!

Pihak WMS juga meletakkan beberapa syarat bagi penerima agihan makanan sebagai suatu pendidikan secara tidak langsung, antaranya:
• Dilarang bercakap kasar seperti mencela makanan yang diagihkan.
• Dilarang mendedahkan aurat bagi Muslim, manakala bagi bukan Islam dilarang berpakaian mencolok mata.
• Dilarang membuang sampah merata-rata selepas menerima agihan pek makanan.
• Dilarang merokok atau melakukan aktiviti haram yang lain.
• Dilarang berjudi atau mengunjungi kedai judi bersebelahan WMS.

Jika mana-mana peraturan ini dilanggar, pihak WMS akan menutup operasi beberapa hari sebagai teguran kepada penerima agihan. Ternyata kaedah ini sangat berkesan mendidik para penerima agihan makanan agar lebih berdisiplin dan bersyukur.

Usaha WMS bersama YAM ini bertepatan dengan semangat Islam yang dibawa Rasulullah SAW, iaitu memberi makan atau menyantuni orang susah.

Ia adalah mesej baginda ketika berada di Mekah dan selepas Hijrah. Bahkan Abdullah bin Salam r.a meriwayatkan “pesan memberi makan” ialah antara pesanan awal baginda yang beliau dengar setibanya baginda di Madinah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai sekelian manusia, sebarkan (ucapan) salam, berilah makan (kepada yang memerlukan), sambunglah hubungan persaudaraan, solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan sejahtera. (Sunan Ibn Majah, 3242)

Allah turut menegaskan ciri orang beriman ialah yang menjamu makan orang yang sedang kelaparan. Ertinya: Mereka (orang beriman) juga memberi makan benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin, anak yatim serta tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih. (al-Insan: 8-9)

Rujuk juga (al-Ma’idah: 89, al-Balad: 11-16, al-Ma’un :1-3).

Kira-kira tiga bulan sebelum bergerak ke WMS, CELPAD dan Pusat Perhubungan Alumni UIAM membuat perancangan rapi bermula dengan sesi perkongsian atas talian mengenai projek ini dengan tajuk “Ya Allah! Aku lapar”, diikuti promosi dan kutipan dana kepada semua warga UIAM.

Ternyata pendedahan webinar tersebut tentang realiti miskin bandar berjaya membuka mata warga UIAM.

Hasilnya, dalam masa sebulan setengah kami berjaya mencapai sasaran kutipan derma iaitu RM10,000. Hasil kutipan ini kami berikan sepenuhnya kepada WMS. Nilai tersebut mampu menyediakan agihan makanan untuk seminggu.

Di penghujung program ini, saya berkata kepada Ilmyzat Ismail, Pengarah Unit Perhubungan Alumni, UIAM:

“Kita perlu mengangkat usaha murni dan nama Ustaz Syafiq sebagai Alumni UIAM melalui projek ini. Hal ini kerana biasanya sesebuah institusi besar hanya menjulang Alumni yang gah berpangkat. Jarang Alumni yang larut membantu masyarakat diketengahkan sebagai contoh ikutan.

“Semoga usaha beliau menjadi pencetus kepada banyak lagi kerja kemasyarakatan untuk pelajar dan bekas pelajar universiti kita.”- UTUSAN

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN