Selatan Thailand menawarkan destinasi yang tidak hanya memukau daripada segi keindahan alam, tetapi juga kaya dengan perihal sejarah, budaya dan keunikan yang jarang ditemui di kawasan lain.
Berbeza dengan destinasi popular seperti Bangkok atau Phuket, kawasan selatan Thailand menawarkan suasana yang lebih tenang, tetapi tetap sarat dengan segala yang diperlukan untuk sebuah percutian yang penuh makna.
Bandar-bandar seperti Hatyai, Pattani, Narathiwat dan Nakhon terkenal dengan pelbagai tarikan menarik, termasuk pusat membeli-belah yang menawarkan harga berpatutan serta pelbagai hidangan lazat yang memikat selera pelancong luar.
TEMPAT BERSEJARAH
Berkesempatan bercuti di sana baru-baru ini, saya dapati ia sangat sesuai untuk pencinta sejarah sementelah terdapat pelbagai destinasi yang kaya dengan warisan budaya dan sejarah yang menanti untuk diteroka.
Setiap lokasi menyimpan kisah dan jejak masa lalu memberi peluang pengunjung menghayati keindahan sejarah yang membentuk tamadun dan identiti sesuatu tempat.
Destinasi pertama kami adalah Masjid Sultan Muzaffar Shah atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Masjid Kerisik atau Krue Se Mosque.
Ia merupakan salah satu masjid tertua di Thailand dan pertama di Asia Tenggara yang dibangun dengan bata merah khas dari kampung Tarab Bata.
Di sini, kami berpeluang menunaikan solat Zohor dan Asar secara berjemaah, merasakan kedamaian dan keagungan sejarah tempat ini.
Setelah itu, perjalanan dilanjutkan ke Kota Lama Yarang, sebuah kota bersejarah yang merupakan salah satu yang terbesar di wilayah selatan Thailand.
Yarang merupakan salah satu tempat yang dipercayai menjadi pusat empayar Langkasuka, sebuah kerajaan yang pernah menguasai wilayah itu.
Di kota ini, pelancong dapat menyaksikan monumen purba daripada sisa-sisa peradaban Buddha yang berkembang pada zaman tersebut.
Penemuan-penemuan arkeologi di sini memberikan gambaran tentang kehidupan masyarakat kuno yang pernah mendiami kota ini.
SYURGA MAKANAN
Bagi pencinta makanan jalanan pula sudah tentu Hatyai menjadi pilihan.
Lokasi itu terkenal sebagai syurga makanan.
Salah satu tarikan utamanya adalah Pasar Terapung Khlong Hae yang menawarkan pengalaman unik membeli-belah dari bot kecil di atas air.
Peniaga menjual pelbagai hidangan tradisional seperti tomyam, sate ayam dan pencuci mulut yang memikat selera.
Tidak ketinggalan, pengunjung juga dapat menikmati hidangan makanan laut segar seperti udang bakar, ikan panggang dan kerang rebus yang disajikan dengan rempah ratus asli Thailand,
menjadikannya kegemaran penduduk tempatan dan pelancong.
Paling penting, terdapat pelbagai makanan halal yang memudahkan pelancong Muslim menikmati juadah dengan tenang.

AKTIVITI
Antara aktiviti menarik yang saya sempat cuba ialah skywalk di Bota Sky Tower, yang merupakan mercu tanda baharu di Nakhon Si Thammarat.
Pengunjung berpeluang merasai pengalaman unik berjalan di atas jambatan gantung yang melintasi puncak pokok, mencapai ketinggian setara dengan bangunan lapan tingkat iaitu sekitar 25 meter dari tanah.
Dari puncak ini, kami dapat menikmati pemandangan panorama termasuk keindahan Taman Botani serta Gunung Khao Luang.
Namun, destinasi ini mungkin kurang sesuai untuk golongan warga emas atau mereka yang takut ketinggian.
Secara keseluruhannya, percutian saya kali ini lebih kepada menikmati keindahan alam dan keunikan sejarah di negara gajah putih ini.- UTUSAN










