Batik merupakan khazanah berharga dalam warisan budaya Malaysia, dengan sejarahnya yang ditemui sejak era 1920-an.
Seni batik terus kekal relevan hingga ke hari ini, menyerlahkan keunikan dan daya tarikannya yang melangkaui sempadan budaya serta zaman.
Kini, aktiviti mewarna batik semakin mendapat perhatian sebagai satu bentuk terapi seni yang popular, terutamanya dalam kalangan individu yang ingin melepaskan tekanan selepas sibuk bekerja.
Saya juga tidak terlepas untuk mencuba sendiri pengalaman mewarna batik ketika singgah di Teja Studio, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Studio ini turut menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, tetapi pelancong antarabangsa dari Jepun, Sepanyol, Thailand dan lain-lain.
Melalui aktiviti ini, setiap individu dapat menzahirkan idea kreatif sambil menghasilkan karya seni yang indah dan penuh makna.
Sebelum memulakan aktiviti mewarna, pengunjung boleh memilih kit batik yang menawarkan pelbagai corak dan motif menarik seperti flora, fauna serta pemandangan alam semula jadi.
Peralatan lengkap seperti kanvas kain, berus dan palet warna air turut disediakan, membolehkan setiap pengunjung mewarna corak batik pilihan mereka dengan mudah dan kreatif.

PROSES MEWARNA
Langkah pertama dalam mewarna batik adalah membancuh warna. Bagi memastikan warna-warna tersebut tidak bercampur, setiap warna yang diingini perlu dibancuh dalam bekas berasingan.
Pengajar juga menerangkan kepada saya mengenai tiga warna asas iaitu kuning, biru dan merah yang menjadi elemen penting dalam menghasilkan pelbagai warna kedua yang lebih kompleks dan menarik.
Proses membancuh warna adalah penting untuk memastikan kejelasan dan ketepatan warna yang digunakan ketika mewarna corak batik.
Setelah warna selesai dibancuh, saya mula mewarnakan kain batik mengikut corak yang dipilih dengan menggunakan berus kecil untuk bahagian yang halus dan berus besar bagi kawasan yang lebih luas.
Dalam pada itu, saya disarankan untuk memulakan dengan warna-warna yang lebih terang sebelum beralih kepada warna yang lebih gelap. Langkah ini penting untuk mengelakkan warna bercampur secara tidak sengaja dan memastikan hasil akhir kelihatan lebih kemas.
Warna-warna yang digunakan boleh terdiri daripada campuran warna gelap dan cerah untuk menghasilkan kesan visual yang lebih menarik.
Saya mencampurkan beberapa warna bagi menghasilkan peralihan warna yang diinginkan.
Tempoh untuk menyiapkan aktiviti ini biasanya mengambil masa sekitar satu jam, bergantung pada tahap kecekapan dan kepantasan seseorang.
Setelah selesai mewarna, saya membiarkan kit batik tersebut kering sepenuhnya.
Proses pengeringan ini penting untuk memastikan warna tidak tercampur atau luntur.
TERAPI STRES
Aktiviti mewarna batik bukan sahaja memainkan peranan penting dalam melestarikan seni dan warisan budaya, malah menjadi bentuk terapi yang berkesan untuk meredakan stres dalam kehidupan seharian.
Seni mewarna ini menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan kreatif individu dan secara tidak langsung memberikan kesan ketenangan kepada minda dan emosi.
Proses mewarna batik membantu minda berada dalam keadaan tenang.
Fokus diberikan sepenuhnya kepada corak dan warna, sekali gus mengalihkan perhatian daripada tekanan atau bebanan fikiran.
Selain itu, mewarna juga dapat mengasah bakat kreatif dan juga kemahiran berfikir dengan logik serta meningkatkan fokus kepada diri.
Secara keseluruhannya, aktiviti mewarna batik bukan sahaja menjadi terapi minda tetapi juga berfungsi sebagai platform ideal untuk mengembangkan daya kreativiti seseorang.-UTUSAN










