Insiden gangguan dalam masjid, amalkan 2B

Insiden gangguan dalam masjid, amalkan 2B

Segamat,Johor.17 Mac 2014.Slug: SRJ-KONSOLIDASI.Caption : SEBAHAGIAN daripada peserta yang asyik dengan gajet masing-masing tanpa menumpukan perhatian sepenuhnya pada Program Konsolidasi Patriotisme Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat,Johor baru-baru ini.Berita:Zulhisham Isahak.Pic:Ishak Rahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Terkejut saya ustaz. Sedih pun ada. Gambar ibu saya diubah suai menjadi poster gurauan lucah malam Jumaat.”

“Kawan saya menangis tak berhenti. Sudahlah baru kematian anak dalam kemalangan ngeri. Ramai pula menyebarkan gambar insiden itu melalui media sosial. Alasannya? Demi pengajaran.”

“Pada tahun 2022, keluarga kami diuji kehilangan tiga anak akibat terkena renjatan elektrik semasa banjir. Video mangsa yang masih bergelimpangan dalam air dirakam dan disebar tanpa belas kasihan, seolah-olah anak-anak kami seperti bangkai ayam itik yang mati lemas sahaja.”

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikut ialah beberapa dialog yang berlaku dalam masyarakat dek kelajuan tangan sesetengah orang merakam dan menyebarkan video atau gambar yang melintas dalam telefon pintar mereka.

Telefonnya memang pintar kerana mampu memudahkan kerja penggunanya, namun kepintaran si pengguna belum terbukti benar kerana akalnya mungkin disimpan dalam peti besi ketika menggunakan telefonnya.

Lalu telefon pintar menjadi punca pelbagai bencana seperti penyebaran berita tidak pasti yang berantai menimbulkan berbagai persepsi dan dosa sampingan yang tidak diperlukan oleh akaun dosa pahala seorang Muslim.

Terbaharu riuh diperkata seorang lelaki menceroboh masuk sebuah masjid di Kuala Lumpur. Berikutan penyebaran video tersebut, ada yang berspekulasi Islam di Malaysia semakin terancam kerana ada bukan Islam sudah berani menceroboh ke dalam masjid.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan pula, pengerusi masjid terbabit mengatakan yang menceroboh ialah individu kurang siuman. Ia turut disahkan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Nah! Lihatlah betapa isu ‘rumah tangga’ sebuah masjid dan jemaahnya menjadi tular satu dunia kerana tindakan rakam orang yang menyebarkannya.

Apa kebaikan yang diperolehi umat Islam selain prasangka, kata nista, tuduh tanpa usul periksa dan banyak lagi?

Bahkan tindakan agresif penuh emosi beberapa individu dalam masjid tersebut yang memukul dan menendang si penceroboh turut mengundang kecaman.

Apa nak buat? Manusia boleh hilang pertimbangan apabila kesucian sesuatu yang dianutinya dicabar.

Tambahan pula kesedaran masyarakat Islam (termasuk kaki masjid serta orang agama) terhadap isu kesihatan mental serta cara menangani kumpulan malang ini masih sangat cetek.

Ringkasnya isu ini mengundang dua sudut pandang wahyu yang perlu kita semua ambil perhatian:

Pertama. Keghairahan sesetengah kita merakam serta menyebarkan semua insiden yang berlaku dalam masyarakat perlu dikawal dengan etika serta akhlak Islam yang betul. Gunakanlah kebijaksanaan anda dalam bertindak!

Bukan semua perkara atau insiden yang berlaku perlu dirakam dan ditular. Adakah anda mendapat imbuhan wang dan pahala jika berbuat demikian?

Jika yang ditular itu perkara tidak elok sehingga menimbulkan banyak perkara negatif berantai yang lain, bayangkan dosa piramid yang bakal anda tuai. Renung hadis Nabi SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara (atau berbuat suatu tindakan) yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) akan menjerumuskannya semakin dalam ke dalam neraka sejauh antara timur dan barat. (Sahih Muslim, 2988).

Mungkin ada yang mempertahankan tindakan rakam-tular tanpa mengira maruah atau impak negatif berantai daripadanya atas alasan mahu memberi peringatan kepada masyarakat.

Apa kata jika yang terlanjur membuat silap atau onar itu diri anda sendiri, adakah anda sanggup berkongsi video sendiri untuk jadi tatapan dan ejekan umum satu Malaysia? Saya percaya anda tidak mahu ia berlaku.

Oleh itu, sebelum merakam dan tular, bayangkan yang menjadi ‘mangsa content’ anda itu ialah diri anda sendiri, atau insan yang anda sayangi.

Jika jiwa tersentak tak mahu diri sendiri dikeji apatah lagi dimalukan, maka berhenti segera. Itu tanda iman anda masih kukuh seiring sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu suka sesuatu kepada saudara kamu sama seperti apa yang kamu suka untuk diri kamu sendiri (Sahih al-Bukhari, 12).

Biar insiden itu berlalu di depan mata tanpa perlu anda menjadi wartawan tidak bertauliah atau bergaji. Silap tidak merakam dan tular “jauh lebih selamat untuk agama anda” berbanding rancak merakam dan tular tanpa mempedulikan impak selepasnya.

Isu kedua ialah cara sesetengah jemaah mengasari tertuduh yang berkelakuan aneh dalam masjid. Logiknya, orang waras pasti tidak akan berkelakuan aneh dalam tempat sensitif seperti rumah ibadat.

Oleh itu, semua Muslim perlu belajar isu berkaitan kesihatan mental dan orang kurang upaya (OKU) agar sebarang kelakuan aneh tidak disalah tafsir seperti kelakuan sesetengah anak jemaah yang diuji Allah dengan autisme.

Selepas ini cubalah untuk menguasai diri agar tidak menggunakan kekasaran. Praktik sabar pada awal krisis kerana ia mampu memberi keputusan terbaik di sebalik krisis tersebut.

Nabi pernah menegur seorang wanita yang meratapi kematian anaknya di perkuburan. Tanpa mengenali yang menegurnya itu Rasulullah, wanita itu mencela baginda dengan amarahnya.

Kemudiannya setelah dimaklumkan yang menegurnya itu ialah Rasulullah SAW, si wanita menyesal dan memohon maaf kepada Baginda. Rasulullah SAW lantas berpesan kepada si wanita dan kita semua dengan sabdanya yang bermaksud: Sabar itu (diperlukan) ketika hentaman pertama musibah (yang berlaku) (Sahih al-Bukhari, 1283).

Akhirnya, marilah kita jadikan insiden ini sebagai batu lonjakan untuk kita semua menjadi lebih bijak dan waras menggunakan berbagai peranti moden seperti telefon pintar.

Usah galak mahu menjadi orang pertama berkongsi sebuah berita walaupun ia hanya bertaraf ‘sampah minda’. Percayalah! Rasa masyhur menjadi orang pertama berkongsi hanyalah suatu ‘ilusi alam maya’ yang tidak berguna untuk agama anda.

Amalkan petua 2B (benar dan baik) sebelum bertindak merakam dan tular. Sebar yang baik dan benar sahaja, bukan satu sahaja daripada keduanya!

Ini kerana ada yang baik tetapi tidak benar. Jika tersalah sebar, anda akan berdosa menyebar yang palsu.

Begitu juga, ada beritanya benar tetapi tiada kebaikan jika ia tersebar seperti insiden pencerobohan di atas.

Semoga Allah menjaga kita semua daripada menjadi pencetus dosa atau terpalit dosa remeh kerana keghairahan yang tidak dibimbing agama.

-Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini