BAHTERA perkahwinan yang dibina boleh goyah jika pasangan suami isteri di negara ini gemar membuka kisah aib dan sejarah lampau masing-masing.
Tindakan itu bukan sahaja membunuh kepercayaan, bahkan boleh meretakkan ikatan kasih sayang hingga membawa kepada perceraian.
Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr. Robiah K Hamzah berkata, tidak semua perkara boleh dikongsi dengan pasangan terutama ‘rahsia gelap’ di masa silam.
Ia seharusnya disimpan rapi di kotak memori sendiri tanpa perlu diimbau kembali setelah seseorang melangkah ke alam perkahwinan.
Justeru, beliau mengingatkan pasangan agar tidak terikut-ikut trend mendedahkan sejarah lampau yang popular di media sosial.
Sekalipun ia sekadar suka-suka dan untuk berkongsi pengalaman, tetapi boleh memberi impak negatif kepada hubungan suami isteri.
“Kisah silam sebelum berkahwin jangan sesekali dibuka selepas bergelar suami isteri kerana ia hanya memburukkan rumah tangga dan menimbulkan rasa curiga pasangan.
“Kalau pernah terperangkap dengan isu curang, terlanjur dan sebagainya, simpanlah dengan rapi rahsia itu.
“Jika perkara-perkara aib tersebut didedahkan termasuk di media sosial, ia membuka ruang kepada pasangan untuk sentiasa mengungkit dan menilai kita dengan sejarah lampau,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Keadaan itu tentunya tidak ‘sihat’ dalam perkahwinan kerana boleh mengundang pergaduhan, pertengkaran dan perpisahan.
Ujarnya, media sosial bukan platform untuk pasangan mendedahkan segala rahsia, aib dan perasaan masingmasing.
Ia tidak membantu ke arah membina hubungan baik dalam rumah tangga, bahkan boleh meruntuhkan institusi perkahwinan yang dibina.
Tambahnya lagi, pengalaman daripada kisah lalu sepatutnya menjadi pedoman kepada individu untuk berhijrah dan memperbaiki diri.
BOLEH KONGSI TAPI CARI PENYELESAIAN
Daripada mendedahkan kisah silam yang tiada faedah, adalah lebih baik jika pasangan suami isteri berkongsi isu-isu atau masalah semasa dalam rumah tangga.
Robiah berkata, langkah itu sekurang-kurangnya dapat mengatasi kon ik yang timbul terutama dalam hal-hal penjagaan anak, kewangan mahupun pembahagian tugas serta tanggungjawab.
Katanya, ia boleh dilakukan dengan cara berbincang sesama pasangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Di media sosial ada beberapa trend komunikasi yang mungkin boleh diamalkan pasangan untuk meluahkan rasa masing-masing.
“Tetapi janganlah ikut bulat-bulat kerana segelintir trend itu pasangan hanya boleh mendengar tanpa memberi apa-apa pandangan sedangkan tujuan bercakap jujur adalah untuk memperbaiki keadaan atau masalah yang timbul,” katanya.
Jelas Robiah, komunikasi dan kejujuran adalah kunci utama kepada kebahagiaan dalam perkahwinan.
Pasangan yang berpura-pura atau berbohong tentang kasih sayang dan cinta tidak mampu kekal lama dalam rumah tangga.
Sampai masa, ‘lakonan’ romantis itu akan terhenti dan perasaan sebenar dapat dihidu isteri atau suami masing-masing “Lama-kelamaan timbul dendam, buruk sangka dan tidak setia, lantas mematikan cinta dalam perhubungan,” katanya.
LAPAN PERCERAIAN DALAM SEMINGGU
Trend perceraian pasangan Islam di negara ini amat membimbangkan dan dalam tempoh seminggu melangkah ke 2025, lapan kes keruntuhan rumah tangga direkodkan Kaunselor Perkahwinan dan Keluarga, Hushim Salleh berkata, penemuan terkini itu berdasarkan rekod kes kaunseling di bawah kendaliannya.
“Dalam tempoh seminggu ini, sebanyak 15 kes kaunseling diterima dengan tujuh dapat diselamatkan manakala lapan lagi pasangan nekad untuk bercerai.
Kebanyakannya berpunca akibat masalah kewangan dan ketagihan porno diikuti faktor-faktor sampingan lain termasuk isu sejarah gelap dan
pengaruh drama.
“Penting untuk kita fahami yang setiap daripada kita tidak sempurna dan masing-masing ada kelemahan lampau.
“Seeloknya jangan buka cerita-cerita buruk depan pasangan, untuk apa ungkit kisah silam yang tiada manfaat pada rumah tangga.
“Ramai yang datang jumpa saya mengaku pernah berzina dan terlanjur sebelum berkahwin tetapi dosa besar itu antara mereka dengan Allah, jangan buka aib tersebut pada pasangan,” katanya.

Ujarnya, bukan semua pasangan dapat menerima ‘kebenaran’ itu dan jika berlarutan boleh menyebabkan hubungan suami isteri ‘panas’.
Bahkan, Islam turut menegah seseorang membuka aib diri masing-masing.
“Dengan kecanggihan teknologi kini, saya dapati makin ramai yang suka buka aib sendiri dan keluarga di media sosial,” katanya.
Menurut Hushim, menjadi tanggungjawab pasangan untuk menegur suami atau isteri yang suka mengungkit sejarah lampau.
Bina keluarga bahagia
USAH asyik terperangkap dengan ‘rahsia gelap’, sebaliknya tetapkan fokus atau hala tuju dalam perkahwinan.
Kata Hushim, ia penting bagi memastikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga sampai bila-bila.
“Ikuti tips membina keluarga bahagia mengikut panduan Islam di samping fokus kepada penjanaan kewangan.
“Perkara ini jauh lebih penting daripada menyebut berulang kali tentang peristiwa yang tidak elok dalam kehidupan,” katanya.
Dalam perkembanganm sama, Hushim menyarankan bakal pengantin untuk menjalani sesi kaunseling sebelum memulakan
kehidupan berumahtangga.
Langkah itu penting bagi mendidik mereka tentang alam perkahwinan termasuk mengenali karakter pasangan, pengurusan kewangan, keseimbangan hidup, hubungan dengan keluarga mentua di samping kekuatan emosi dan mental.










