Seramai 20 penduduk Kampung Sungai Kelambu Banting yang terdiri daripada golongan B40 meraih rezeki baharu dengan menanam cili merah secara fertigasi.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah berkata, cili merah yang dihasilkan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat sejak lebih sedekad yang lalu amat terkenal dengan kualitinya yang merah menyala dan panjang.
Menurutnya, semua peserta yang dipilih untuk program menanam cili merah tersebut dipilih mengikut syarat yang telah ditetapkan.
“Pihak PPK iaitu saya sendiri menemuduga pemohon-pemohon program menanam cili merah dalam kalangan golongan B40 ini.
“Para peserta dipilih untuk menyertai program di tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ini dengan pemilihan peserta mendapat kerjasama erat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Lawatan Kerja ke Projek Ladang Satelit Ehsan Tani bertempat di Sungai Kelambu, Banting di sini baru-baru ini.
KRITERIA PESERTA
Selain tergolong dalam kriteria individu berpendapatan bawah RM2,000, peserta perlu mempunyai minat yang mendalam untuk menjadi petani.
Kata Abdul Razak, para peserta perlu bersedia untuk belajar kaedah menanam cili merah daripada peringkat awal seperti pembajaan, memantau pertumbuhan cili sehingga ke peringkat menyelenggara sistem fertigasi secara berkala.
“Kursus intensif kita berikan kepada peserta di dalam kelas dan secara praktikal bagi memastikan cili merah yang dihasilkan mencapai kualiti yang diinginkan.
“Kita melantik penyelia untuk memastikan kesemua peserta melaksanakan projek ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) penanaman cili yang telah ditetapkan bagi memastikan segala proses berjalan dengan lancar,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, sebanyak RM3 juta dana disediakan oleh Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menjayakan projek di atas tanah seluas empat hektar itu.
Jelasnya lagi, untuk permulaan projek yang bermula Ogos tahun lalu, disertai seramai 20 peserta yang mana setiap seorang menerima 2,000 polibeg anak pokok cili merah.
“Kita berharap program yang disertai peserta paling muda 21 tahun dan paling tua 70 tahun ini mampu memantapkan ekonomi penduduk dalam kategori B40 di sini.
“Alhamdullillah setakat ini lebih 50 tan cili merah telah dipasarkan oleh petani-petani di sini. Lebih membanggakan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu telah hadir sendiri ke sini meninjau kejayaan projek ini baru-baru ini,” katanya.
PENDAPATAN TAMBAHAN
Bagi seorang peserta, Rizal Ali,40, sebelum ini dia hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan sederhana.
Namun, semenjak bergelar petani cili, pendapatannya sekali tuaian mampu mencecah sehingga RM3,000.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak KPKM, PPK Kuala Langat dan pihak pentadbiran Kampung Sungai Kelambu yang memberi peluang kepada saya untuk menyertai program ini.
“Alhamdulillah, projek ini mampu memberi pulangan yang baik dan menjana pendapatan saya untuk menyara keluarga,” katanya.
Seorang lagi peserta, Mohd.Razif Misdan,50, yang sebelum ini peniaga santan kelapa turut menjana pendapatan tambahan lumayan hasil jualan cili merah.
“Saya bersyukur selepas menjadi peserta program ini dan belajar secara teknikal menanam cili merah secara fertigasi, saya mampu menjana pendapatan tambahan.
“Apa yang penting setiap panduan yang diberikan oleh tenaga pengajar, kita perlu ikut dengan teliti. Sesungguhnya peluang keeemasan yang diberi ini akan saya teruskan,” ujarnya.-UTUSAN











