Kira-kira sedekad lalu, wanita ini sanggup melepaskan kerjayanya sebagai setiausaha demi menjaga anak bongsu yang menderita kanser Myeloid sarcoma.
Siapa sangka keputusan itu mengubah takdir hidup Zai Suhana Mohd. Tap, 42, apabila mampu bergelar usahawan jus durian belanda.
Menceritakan penglibatannya dalam perniagaan itu, katanya, ia bermula tanpa disangka-sangka setelah berdepan pelbagai ujian dalam hidup.
Dua tahun setia menjaga permata hatinya dirawat di hospital, suami pula berdepan masalah kesihatan apabila mengalami serangan jantung pada 2018.
Dugaannya berlarutan apabila empat tahun kemudian suami menghidap masalah kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani dialisis.
“Doktor menyarankan anak saya minum jus durian belanda untuk pemulihan berikutan keadaannya yang lemah selepas rawatan kanser,
“Ketika itu sukar untuk mendapatkan produk sedemikian lantas, mendorong saya untuk memproses sendiri jus tersebut,” katanya.
Ujar Zai Suhana, buah durian belanda memiliki banyak khasiat kepada kesihatan.
Selain untuk kegunaan anaknya, dia turut mengambil tempahan daripada rakan-rakan di wad kanser.
Tanpa disangka, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.

Daripada cuma 50 botol, perniagaan kecil-kecilannya mula berkembang.
Akhirnya, Zai Suhana nekad untuk bergerak serius dalam perniagaan menerusi jenama, Zaieys.
Misinya untuk menyediakan produk berkualiti tinggi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, malah orang ramai.
“Keuntungan yang diperoleh digunakan untuk membeli peti sejuk beku, kemudian membina premis kecil sebagai tempat pemprosesan.
“Setiap botol jus ini mengingatkan saya kepada perjuangan anak melawan kanser. Mungkin Allah mahu saya menyampaikan manfaat produk ini kepada orang lain,” katanya.
Baginya, produk jus durian belanda itu bukan sekadar perniagaan, tetapi harapan yang dibawa daripada pengalaman peribadi.
TANGGUNGJAWAB
Pemilik Zaieys Global Resources itu tidak pernah menjadikan kesibukan berniaga sebagai alasan untuk mengabaikan keluarga.
Katanya, mengimbangi tanggungjawab sebagai usahawan dengan peranan sebagai isteri dan ibu memerlukan pengorbanan besar, selain pengurusan masa yang teliti serta sokongan keluarga.
Dia tetap memainkan peranan penting sebagai ibu kepada tiga anak perempuan yang masing-masing berusia 9, 12 dan 14 tahun.
Selain itu, Zai Suhana turut melibatkan anak-anaknya dalam perniagaan keluarga.
“Saya mahu mereka belajar bekerja dan menghargai rezeki yang diperoleh.
“Bila terlibat sama, maka mereka akan lebih memahami cabaran dalam mencari duit.
“Pendekatan ini secara tidak langsung membantu membina sikap berdikari dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta pengurusan masa mereka,” katanya.











