Seni merumbai kembali popular

Seni merumbai kembali popular

merumbai melibatkan proses menekan benang melalui sekeping kain kanvas menggunakan alat khas yang dipanggil pistol berumbai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Merumbai atau tufting, satu seni lama yang kini kembali popular dalam dunia reka bentuk dan hiasan dalaman.

Ia menjadi fenomena dalam kalangan penggemar seni dan kreativiti di Malaysia.

Berasal daripada teknik yang digunakan dalam pembuatan permaidani, merumbai kini telah berkembang menjadi bentuk seni yang lebih kreatif dan menarik.

Saya juga tidak terlepas untuk mencuba proses merumbai ketika singgah di Happy Hour Club Cafe & Workshop di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kafe yang turut menawarkan bengkel do-it-yourself (diy) memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba proses merumbai.

Pada asasnya, merumbai melibatkan proses menekan benang melalui sekeping kain kanvas menggunakan alat khas yang dipanggil pistol berumbai atau tufting gun.

Benang akan disusun mengikut corak dan warna pilihan, kemudian ditekan ke dalam kain sehingga membentuk tekstur yang jelas.

Setiap langkah dalam menghasilkan karya rumbai melibatkan proses yang teliti dan memerlukan kesabaran.

Aktiviti ini memberi peluang kepada saya untuk berfikir di luar kotak, memilih warna dan corak yang sesuai untuk menghasilkan permaidani yang unik.

PERALATAN

Beberapa peralatan asas diperlukan antaranya pistol merumbai, kain, benang, gam lateks serta gunting atau pencukur.

Pistol merumbai adalah alat utama yang digunakan untuk menembuskan benang melalui kain atau bahan asas.

Kain kanvas atau bahan asas yang digunakan perlu kukuh dan sesuai untuk menahan benang dengan baik.

Bagi mereka yang baru mencuba, kain tebal merupakan pilihan ideal kerana lebih mudah dikendalikan dan memberikan sokongan kukuh.

Selain itu, benang wol atau benang sintetik biasanya digunakan untuk memberikan tekstur yang menarik pada permaidani yang kita inginkan.

Tidak lupa juga, peralatan lain seperti gunting atau pencukur untuk memotong benang dan pengukur untuk memastikan setiap bahagian projek berada pada ukuran yang tepat.

PROSES MERUMBAI

Pertama, saya menyediakan kain tebal yang telah dilukis mengikut corak pilihan dan dipasang kemas pada bingkai kayu terlebih dahulu.

Tujuan utama adalah memastikan kain sentiasa tegang, bagi memudahkan proses menembak benang menggunakan pistol dengan lebih lancar.

Seterusnya, saya memilih benang berwarna yang akan digunakan dan pasangkan benang ke dalam pistol berumbai.

Setelah benang dipasang dengan sempurna, saya terus mulakan aktiviti berumbai dengan menembak benang mengikut corak gambar yang telah dilukis pada kain.

Proses menembak benang dilakukan dari bahagian belakang kain bagi menyembunyikan simpulan benang dan jadikan jahitan pada corak gambar kelihatan lebih kemas.

Semasa menggunakan pistol merumbai, saya dinasihatkan untuk berhati-hati kerana pistol ini mempunyai hujung yang tajam dan boleh mendatangkan kecederaan jika tidak digunakan dengan betul.

Setelah proses merumbai selesai, saya sapukan gam lateks pada bahagian belakang kain untuk memastikan rumbai tersebut melekat dengan kukuh.

Proses ini penting untuk memastikan setiap rumbai terpasang dengan sempurna, menghasilkan kesan yang kemas dan tahan lama.

Bagi memastikan jahitan kekal kemas dan tidak mudah tertanggal, permukaan kain perlu dilapisi dengan kain liner atau bahan pelapis untuk kukuhkan hasil akhir.

Kemudian, saya membiarkan gam tersebut sehingga kering sepenuhnya sebelum melanjutkan ke langkah akhir dalam pembuatan permaidani ini.

Akhir sekali, saya merapikan sisa-sisa benang dengan memotong lebihan benang pada bahagian depan dan belakang kain.

Secara keseluruhannya, aktiviti merumbai bukan sahaja menyeronokkan, malah ia juga merupakan medium yang sempurna untuk mengasah daya kreativiti seseorang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN