Muslim sayang Jesus!

Muslim sayang Jesus!

apa sahaja isi kandungan kitab lampau yang seiring dengan al-Quran maka itu tandanya ia benar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ustaz! Apalah agaknya nasib Nabi Isa di akhirat kelak kan? Kerana dialah orang Kristian sesat. Dia yang ajar orang Kristian supaya mengatakan dia itu anak Tuhan.”

Dialog di atas bukan fiksyen! Ia adalah soalan yang pernah seorang wanita berusia 40-an ajukan pada saya sekitar tahun 1998 dahulu. Saya yang ketika itu berusia 23 tahun terkejut besar dengan soalan tersebut.

Mujur wanita itu bertanya pada saya dan tidak meneruskan baki hidupnya dengan fahaman sesat sedemikian.

Selepas peristiwa itu baru saya sedar banyak lagi kerja orang agama membimbing masyarakat dengan asas akidah.

Rakyat Malaysia beragama Kristian baharu selesai menyambut Krismas Rabu lepas. Sambutan itu dianggap sebagai suatu manifestasi cinta mereka kepada Baginda Nabi Isa a.s.

Cuma cinta mereka tidak sama dengan cinta umat Islam kepada Nabi Isa, kerana mereka sanggup mengangkat baginda ke darjat anak Tuhan.

Dakwaan sebegini bukan perkara enteng! Makhluk hebat seperti langit, bumi dan gunung pun boleh tersentak. Firman Allah:

Ertinya: Langit nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris runtuh ranap, kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Yang Maha Pemurah mempunyai anak (Maryam 19:88-91).

Semua pihak boleh mendakwa cinta kepada sesuatu atau seseorang tokoh, namun penentu ‘sejati’ atau ‘ilusinya’ sebuah cinta bergantung kepada kebenaran fakta sandaran sebuah cinta dan juga dasar perjuangan si tokoh.

Allah menegaskan akar tunjang perjuangan Nabi Isa a.s ialah Tauhid yang bermaksud menafikan sebarang persamaan antara Tuhan dan makhluk.

Ia ditegaskan seawal hari pertama (ketika bayi) baginda bercakap penuh ajaib membela bondanya, Maryam a.s.

Ertinya: Kemudian baliklah dia (Maryam) kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka (Bani Isra’il) pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!” Wahai saudara perempuan Harun (gelaran sempena mengingat kesolehan Maryam yang diibaratkan seperti kesolehan nabi Harun), bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” Maka Maryam segera mengisyarat kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh bercakap dengan seorang yang masih bayi dalam buaian?” Dia (Nabi Isa a.s) menjawab(dengan ajaib):” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi. (Maryam 19:27-30).

Frasa “Aku ini hamba Allah” pada ayat 30 menjadi bukti jelas baginda sendiri mengaku kemanusiaannya. Bahkan dalam ayat lain, Allah menegaskan perkara sama:

Ertinya: Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.” (al-Ma’idah 5:72).

Mungkin ada yang bermain logik bertanya mengapa perlu menjadikan al-Quran sebagai bahan rujuk dalam perihal kemanusiaan atau ketuhanan Isa? Tidak lain, ini kerana al-Quran diturunkan dengan pelbagai peranan, antaranya sebagai pemantau kebenaran isi kitab lampau.

Ertinya: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta memantaunya… (al-Ma’idah 5:48).

Ketika mentafsirkan makna perkataan ‘pemantau’, para ulama menjelaskan al-Quran menjadi penjaga amanah atau pemantau bagi kitab terdahulu.

Apa sahaja isi kandungan kitab lampau yang seiring dengan al-Quran, maka itu tandanya ia benar, manakala jika isinya menyanggah al-Quran, maka itu tandanya ia sudah diseleweng dan batil. (Tafsir Ibn Kathir).

Oleh itu, jika penganut Kristian bermatian mengatakan Isa anak Tuhan sedangkan al-Quran mengatakan sebaliknya, maka kayu ukur kebenaran ditentukan oleh al-Quran.

Selain itu, cinta Muslim kepada Nabi Isa a.s turut didorong oleh kemuliaan Baginda sebagai seorang daripada lima Rasul Ulul Azmi atau Utusan Allah yang sangat teguh keazamannya dalam dakwah (al-Ahzab 33:7, al-Syura 42:13 dan al-Ahqaf 46:35).

Pada tempat lain, al-Quran membela nabi Isa a.s dengan cara yang lebih unik melalui Firman Allah yang bererti: Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, para Nabi yang diutus selepasnya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaaqub, serta para Nabi keturunannya, dan Nabi Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur (al-Nisa’ 4:163).

Susun atur (kronologi) zaman para nabi dalam ayat ini kelihatan agak janggal kerana Allah meletakkan kedudukan nama Nabi Isa a.s selepas anak-anak Nabi Yaaqub, sedangkan baginda diutuskan jauh selepas zaman mereka.

Allah sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana pasti mempunyai sebab yang kukuh dalam penyusunan ini.

Subhanallah! Rupanya Allah mahu membela serta mengangkat nama baginda seiring dengan para Nabi Bani Isra’il yang lain.

Pembelaan ini dibuat kerana Bani Isra’il sezaman Baginda menuduh Baginda sebagai anak luar nikah (rujuk ayat 156 surah al-Nisa’) (Tafsir al-Alusi dan Tafsir Fath al-Qadir).

Sebagaimana disebut terdahulu, cinta sebenar kepada Jesus berdasarkan dasar perjuangannya.

Selain Tawhid, dasar perjuangan Jesus ialah membawa khabar gembira seorang Nabi selepasnya yang bernama Ahmad atau Muhammad.

Ertinya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!” (al-Saff 61:6).

Oleh itu, jika orang Kristian benar-benar mencintai Jesus, maka sudah semestinya mereka perlu menyambut salam kenabian Nabi Muhammad. Jika tidak ia bukan lagi sebuah cinta tapi dusta dan pengkhianatan.- UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN