Lidah tidak bertulang lebih tajam daripada mata pedang.
Isteri didera emosi hanya kerana masakannya tidak kena dengan tekak suami.
Itu antara kes yang dikongsikan Kaunselor Berdaftar Aman Soul Centre, Siti Munirah Mohd. Adnan kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kata Munirah, kes yang dikendalikan itu melibatkan isteri selaku mangsa yang didera secara emosi oleh suami kerana sering mengutuk masakannya tidak sedap di depan anak-anak.
“Bila suami berterusan mengutuk masakan pasangannya tidak sedap, lebih-lebih lagi di depan anak-anak lantas menyebabkan isteri jadi rendah diri dan sedih.
“Ini juga dikira sebagai penderaan emosi kerana emosi isteri yang terganggu akibat kata-kata suaminya itu.
“Selain itu, ada juga kes yang suami gemar merendahkan-rendahkan, mengkritik serta memalukan isteri di khalayak umum,” katanya.
Sedangkan, perkara seperti teguran atau nasihat seharusnya dibuat dengan cara yang lebih berhemah dan tertutup bagi menjaga air muka isteri.
Berdasarkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521], bentuk keganasan rumah tangga antara lain menyebabkan penderaan psikologi yang termasuk kecederaan emosi kepada mangsa.

Mangsa terperangkap
Kebanyakan wanita yang mengalami isu keganasan rumah tangga tidak kira fizikal atau mental, sering kali terperangkap dalam perhubungan yang toksik dalam tempoh masa lama.
Hinggakan ada yang melayang nyawa, tidak siuman dan terlantar dek perbuatan suami yang tidak bertanggungjawab.
Seperti kes aktres dan bekas model, Zahnita Wilson yang mendedahkan sudah 20 tahun bertahan dengan keganasan rumah tangga.
Akal yang waras pasti berfikir, kenapa tidak lari sahaja? Kenapa sanggup menjadi punching bag suami?
Kata Siti Munirah, mangsa-mangsa penderaan ini sebenarnya terperangkap dalam kitaran keganasan rumah tangga yang menyebabkan mereka sukar untuk lari daripada permasalahan tersebut.
Ini bermakna, mangsa tidak menyedari yang mereka sedang dilanda keganasan rumah tangga sekali gus menyebabkan mereka tidak mencari jalan keluar dan memilih untuk bertahan.
“Kitaran keganasan rumah tangga ini ada tiga fasa iaitu yang pertama pendera akan buat sesuatu yang memberi tekanan kepada mangsa seperti marah-marah disebabkan rumah bersepah, lambat masak dan sebagainya.
“Kemudian, tekanan itu membawa pula kepada berlakunya keganasan fizikal apabila suami mula angkat tangan kepada isteri.
“Tapi, selepas itu semua berlaku, mereka akan masuk fasa bulan madu. Mereka akan berkelakuan baik, meminta maaf, berjanji tidak akan mengulangi dan rasionalkan perbuatan dia kepada mangsa,” jelasnya.
Justeru, kata Siti Munirah, perkara seumpama ini wajar dimasukkan di dalam silibus kursus perkahwinan supaya ramai wanita lebih cakna dengan kitaran tersebut.
“Bila berlaku penderaan, orang yang mendera ini dia kawal mangsa, jadi mangsa tidak nampak jalan keluar.
“Tapi, kalau wanita sudah tahu daripada awal mengenai kitaran keganasan rumah tangga, maka mereka akan cepat sedar jika didera dan memilih keluar daripada rumah atau cari bantuan,” katanya lagi.

Risiko gangguan mental
Keganasan rumah tangga sekiranya tidak dibendung bukan sahaja mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan, malah memberi kesan psikologi besar kepada mangsa.
Kajian yang diterbitkan oleh Lancet Psychiatry mendedahkan wanita yang mengalami keganasan rumah tangga mempunyai risiko dua kali ganda untuk menghidap gangguan mental berbanding wanita yang tidak mengalami keganasan.
Konsultan psikiatri, Dr. Nathratul Ayeshah Zulkifli berkata, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa trauma, termasuk keganasan rumah tangga boleh meningkatkan risiko gangguan psikosis seperti skizofrenia.
Terutamanya terhadap individu yang sudah mempunyai kecenderungan genetik atau faktor risiko lain.
Walaupun keganasan rumah tangga tidak semestinya menjadi penyebab langsung skizofrenia, ia boleh memburukkan keadaan mental dan mendedahkan individu kepada tekanan yang membawa kepada gangguan mental serius.
“Keganasan rumah tangga sering kali menyebabkan gangguan tekanan pasca trauma (PTSD). Mangsa keganasan rumah tangga boleh menghidapi gejala seperti mimpi ngeri, kecelaruan emosi dan perasaan terancam yang berterusan sekali gus mempengaruhi kualiti hidup mereka.
“Secara keseluruhannya, keganasan rumah tangga boleh menyebabkan kesan psikologi yang mendalam termasuk gangguan mental serius seperti skizofrenia, terutama jika mangsa tidak mendapat sokongan yang sesuai selepas mengalami trauma tersebut,” katanya.
Tambahnya, keganasan yang tidak dikawal boleh menyebabkan gangguan emosi yang berpanjangan, ketakutan, perasaan rendah diri serta kehilangan kepercayaan terhadap diri sendiri dan orang lain.
“Mangsa yang terlibat dalam keganasan rumah tangga berisiko tinggi untuk mengalami gangguan kecemasan, kemurungan, PTSD, gangguan makan, penggunaan bahan dan gangguan disosiatif.
“Kejadian trauma yang berulang kali, terutama dalam hubungan intim boleh menyebabkan mangsa terperangkap dan tidak berdaya, yang seterusnya membawa kepada gangguan mental,” ujarnya.

Simptom awal
Wanita yang terdedah kepada penderaan atau keganasan rumah tangga sering mengalami perasaan cemas berlebihan.
Mereka mungkin merasa terancam atau takut dalam situasi biasa hingga boleh menyebabkan serangan panik atau kegelisahan kronik.
Antara gejala yang boleh diperhatikan ialah gelisah berterusan atau ketakutan yang tidak dapat dijelaskan.
Mereka juga bimbang berlebihan tentang keselamatan diri atau orang tersayang selain kesukaran untuk tidur atau tidur yang terganggu.
“Lazimnya, mereka akan menghindari situasi sosial atau tempat tertentu yang mengingatkan mereka kepada pengalaman keganasan,” katanya.
Suami kaki dera tidak normal?
Nathratul Ayeshah yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, lelaki yang mendera pasangan mungkin adalah tidak normal.
“Dari sudut pandang psikiatri, suami yang terlibat dalam keganasan rumah tangga mungkin tidak normal dalam erti kata tingkah laku mereka menunjukkan gangguan psikologi atau tingkah laku yang mempengaruhi cara berinteraksi dengan pasangan.
“Bagaimanapun, bukan semua individu yang terlibat dalam keganasan rumah tangga mengalami gangguan mental formal. Tingkah laku kekerasan dalam rumah tangga biasanya adalah hasil daripada kombinasi faktor psikologi, sosial dan persekitaran.
Tambahnya, pendera juga tidak selalu berkait dengan keadaan mental seperti skizofrenia atau gangguan personaliti yang lebih teruk.
Namun, terdapat beberapa gangguan psikologi atau tingkah laku yang lebih biasa dalam kalangan individu yang terlibat dalam keganasan rumah tangga seperti gangguan personaliti atau kawalan impul yang meningkatkan kecenderungan untuk melakukan kekerasan.
Jelasnya, terdapat beberapa rawatan bagi membantu masalah psikologi yang menyebabkan terjadinya kekerasan.
Begitupun, keberkesanan rawatan bergantung kepada kesediaan individu untuk berubah.
Dalam kebanyakan kes, rawatan hanya berkesan jika individu itu bersedia untuk memulihkan diri dan mengubah tingkah laku.










