AL-IMAM AHMAD TIDAK MENYANGGAHI AKIDAH ASYAIRAH DAN MATURIDIYYAH
Al-Imam Ahmad bin Hanbal adalah tokoh besar yang menjadi rujukan dalam memahami akidah para ulama salaf.
Dalam tulisan sebelum ini saya telah mendatangkan kenyataan al-Imam Ahmad bin Hanbal yang menunjukkan bahawa beliau sama sekali tidak mahu mencari makna bagi sebarang ayat al-Quran dan hadis berstatus mutasyabihat.
Bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa kenyataan ini bukan bermakna beliau beriktikad bahawa makna bagi ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Mutasyabihat adalah apa yang difahami secara literal. Bahkan, makna secara literal itu adalah mustahil bagi Allah di sisi al-Imam Ahmad.
Ini jelas difahami daripada kenyataan beliau yang dinyatakan di dalam keluaran sebelum ini: “Kami beriman dengan hadis-hadis tersebut dan kami mempercayainya dalam keadaan tiada [patut ada soalan:] Bagaimana? dan tiada (patut juga ada soalan: Apakah) makna?”
Fadhilat al-Syeikh Dr. Usamah al-Azhari dalam tulisan beliau Aqidah al-Muhaddithin Wa Silatuhum Bi al-Tasowwuf turut menyatakan bahawa al-Imam Ahmad Hanbal sehari sebelum kewafatannya telah ditanya tentang pendirian beliau terhadap hadis-hadis sifat (hadis yang seolah-olah menunjukkan Allah mempunyai sifat-sifat makhluk).
Lalu al-Imam Ahmad Hanbal berkata: Hadis-hadis tersebut (hendaklah) dilalukan (sahaja iaitu tanpa dibahaskan maknanya) sebagaimana ia telah datang. Hadis-hadis tersebut (hendaklah diimani) dan tidak boleh ditolak sekiranya ia datang dengan sanad-sanad yang sahih.
Allah tidak boleh disifatkan melebihi apa yang Dia sendiri telah menyifatkan diri-Nya dalam keadaan tiada had dan tiada hujung (bagi Allah). Tiada sesuatupun yang seumpama-Nya dalam keadaan Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Sesiapa yang telah berbicara tentang makna bagi hadis-hadis tersebut, maka dia telah melakukan bidaah.
IMAM ABU AL-HASAN AL-ASHAARI SETUJU DENGAN AKIDAH IMAM AHMAD HANBAL
Akidah al-Imam Ahmad yang mengajak kaum muslimin untuk menyerahkan makna ayat-ayat Mutasyabihat kepada Allah SWT sahaja tanpa perlu untuk membahaskan maknanya turut disokong oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Ashaari. Ia seperti yang dinyatakan oleh beliau di dalam kitab al-Ibanah: “Ucapan kami yang kami berkata dengannya dan keagamaan yang kami beragama dengannya adalah berpegang dengan kitab Allah selaku tuhan kami Azza Wajalla, dengan sunnah nabi kami Muhammad SAW dan (dengan) apa sahaja yang telah diriwayatkan daripada para sahabat, tabiin dan para ulama hadis. Kami berpegang teguh dengannya dan dengan apa yang yang telah disebut oleh Abu Abdillah: Ahmad bin Hanbal. Semoga Allah mengindahkan wajah beliau dan mengangkat darjatnya”.
Seterusnya al-Imam Abu al-Hasan al-Ashaar di dalam kitab al-Ibanah menjelaskan pegangan beliau berdasarkan pendirian para ulama salaf dan ulama hadis dengan berkata:
“Sesungguhnya Allah duduk di atas arasy-Nya berdasarkan hal yang difirmankan oleh-Nya dengan makna yang diinginkan oleh-Nya iaitu duduk yang suci daripada persentuhan, (suci daripada) bertempat dan tinggal di atas arasy, (suci daripada) menyatu (dengannya) dan (suci daripada) berpindah-pindah. Arasy tidak menanggung Allah bahkan arasy dan para malaikat yang memikulnya adalah ditanggung oleh kehalusan Kudrat-Nya.
Mereka dikalahkan dengan berada di dalam genggaman-Nya. Allah adalah di atas arasy dan di atas segala sesuatu sehingga permukaan bumi. Ketinggian-Nya langsung tidak menyebabkan arasy dan langit menjadi lebih hampir dengan-Nya.
Bahkan Dia adalah Maha Tinggi darjat kebesarannya daripada arasy sebagaimana Dia Maha Tinggi darjat kebesarannya daripada tanah. Dia dalam keadaan sedemikian adalah Maha Dekat dengan segala yang wujud. Dia adalah lebih dekat dengan hamba daripada urat leher. Dia adalah Maha Menyaksikan segala sesuatu”.
Petikan ini jelas menunjukkan bahawa Imam Abu al-Hasan al-Ashaari ingin mengatakan para ulama salaf beriman dengan teks al-Quran dan al-hadis yang menyatakan tentang sifat-sifat Allah.
Namun sebarang makna yang disandarkan kepada Allah akan tetapi membawa kepada kemustahilan seumpama Allah duduk di atas arasy hendaklah diserahkan makna sebenarnya kepada Allah sendiri yang Maha Mengetahui kerana makna yang zahir adalah mustahil bagi Allah.
ULAMA BERMAZHAB HAMBALI Juga SETUJU ALLAH TIDAK BERLOKASI
Al-Imam ‘Abdul Baqi al-Mawahibiyy al-Hanbali di dalam kitab beliau al-‘Ayn Wa al-Athar Fi ‘Aqoid Ahlil Athar menyatakan jawapan bagi soalan: “Apakah maksud Allah duduk di atas arasy” adalah jawapan yang masyhur yang telah disebutkan oleh seorang ulama salaf iaitu al-Imam Abu Ali al-Husayn bin al-Fadhl al-Bajali.
Beliau berkata: “Kita tidak mengetahui berita-berita ghaib kecuali apa yang telah didedahkan kepada kita (oleh Allah dan rasul-Nya). Allah Jalla Dzikruhu telah memberitahu kita bahawa Dia duduk di atas arasy-Nya. Namun Allah tidak memberitahu bagaimana Dia duduk.
Sesiapa yang beriktikad bahawa Allah berhajat kepada arasy atau kepada makhluk-makhluk selain arasy atau (dia beriktikad bahawa) persemayaman Allah di atas arasy adalah seperti duduknya makhluk di atas kerusi, maka dia adalah orang yang sesat lagi bidaah.
Maka Allah telah wujud sebelum kewujudan zaman dan lokasi. Allah pada waktu ini pula adalah sama sifatnya sebagaimana Allah sebelum ini (iaitu sebelum kewujudan zaman dan lokasi)”.
imam al nawawi MEMBUAT KESIMPULAN AKIDAH AHLUS SUNNAH
Al-Imam Yahya bin Syarof al-Nawaw, ulama besar di dalam ilmu hadis, fikah dan pelbagai cabang ilmu membuat kesimpulan terhadap cara pandang para ulama aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah di dalam berinteraksi dengan sebarang ayat al-Quran dan hadis yang secara zahirnya seolah-olah menunjukkan bahawa Allah berlokasi, beranggota tubuh dan apa sahaja sifat yang menyamai makhluk.
Beliau berkata di dalam kitab Sharh Sahih Muslim: “Ketahuilah bahawa ahli ilmu (daripada kalangan Ahlus Sunnah) di dalam memahami hadis-hadis sifat dan ayat-ayat sifat mempunyai dua pandangan.
Pandangan yang pertama yang merupakan pandangan kebanyakan ulama salaf atau kesemua mereka adalah: makna ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut tidak dibahaskan. Bahkan mereka berkata: “Wajib ke atas kita untuk beriman dengan ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut dan wajib kita beriktikad bahawa ayat-ayat dan hadis-hadis itu mempunyai makna yang layak bagi kebesaran Allah Taala dan kemuliaan-Nya.
Dalam masa yang sama kita beriktikad bahawa tidak ada sesuatu apapun yang menyamai Allah SWT dan Allah adalah suci daripada berjisim, (suci daripada) berpindah-pindah, suci daripada berada di arah tertentu dan (suci daripada) seluruh sifat-sifat makhluk.
Pandangan ini adalah mazhab sekumpulan ulama-ulama kalam. Mazhab ini juga telah dipilih oleh sekumpulan ulama besar daripada ulama ilmu kalam. Pandangan ini adalah lebih selamat.
Pandangan yang kedua yang dipegang oleh kebanyakan ulama kalam adalah ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut hendaklah ditakwil (dinyatakan ertinya) berdasarkan makna yang sesuai dengan ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut mengikut konteksnya.
Orang yang berhak untuk mentakwil ayat-ayat dan hadis-hadis berkenaan hanyalah mereka yang ahli iaitu orang yang arif dalam bahasa Arab, jua mahir dalam kaedah-kaedah Usul (teras) dan Furu‘ (cabang). Dia juga hendaklah mempunyai keahlian di dalam ilmu”.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










