Mata terpukau sebaik melangkah ke galeri CIMB Artober Art & Soul, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur yang memaparkan pelbagai seni kraf.
Paling menonjol, lukisan Nus karya Sabri Idrus di depan pintu masuk galeri. Lukisan bersaiz 300 sentimeter (sm) X 400 sm itu dilukis menggunakan akrilik di atas kanvas.
Ada juga naskhah memaparkan seni khat surah Al-Fatihah oleh Hamir Soib@Mohamed yang menggunakan bitumen dan akrilik.
Dua lukisan sentuhan selebriti terkenal, Datuk M. Nasir turut mencuri perhatian, yang menggunakan akrilik dengan masing-masing bersaiz 122 sm x 93 sm.
Lukisan bertajuk Alasan memaparkan kisah kumpulan burung diketuai oleh burung hud hud yang dalam satu ‘perjalanan’.
“Lukisan ini menceritakan burung-burung lain macam merak yang enggan meneruskan perjalanan mereka. Burung hud hud sedang mendengar alasan-alasan mereka.
“Lukisan bertajuk Tanda Arah pula, memaparkan motif etnik Sarawak yang melambangkan cerita-cerita rakyat di negeri itu,” katanya.
CIMB Artober disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan hadir sama Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad.
TENUN PENJARA
Royal Sembilan mempersembahkan koleksi fesyen bertajuk Bungo lado dengan mempamerkan songket istimewa ditenun penghuni Penjara Marang, menerusi salah satu program rehabilitasi penjara itu.
Pereka fesyen, Anuar Faizal berkata, himpunan itu memaparkan kain tenun dengan motif bunga lado atau bunga cili yang menjadi identiti Negeri Sembilan.
“Motif itu menjadi pilihan kerana masyarakat setempat gemar makan hidangan yang dimasak dengan cili berkenaan dan rasanya yang pedas.
“Bagi mengetengahkan Bunga lado ke peringkat antarabangsa, kita gabungkan lima pereka fesyen termasuk saya, Amaze, Fara Rahim, Lenie Hartono (Indonesia) dan Isis Studio (Pakistan),” katanya yang menghasilkan 13 rekaan daripada 33 koleksi berkenaan.
Antaranya, kebaya separuh tiang iaitu baju kebaya dengan kain senteng, gaun labuh putih digayakan dengan tanduk Minangkabau yang dihiasi kristal dan baju kurung moden dengan bib di bahagian dada.
Kemeja lelaki daripada kain tenun, kain songket tenun siang malam yang bahagian luar dan dalamnya boleh digayakan, baju Melayu yang digayakan dengan samping dan tanjak.
Rekaan terbaharu ada songket tenun siang malam yang boleh dipakai di bahagaian luar dan dalam.
Tenun dihasilkan penghuni Penjara Marang, menerusi program menenun di penjara dengan lebih 350 penenun sepenuh masa pada masa ini.
Mereka berjaya menghasilkan kain tenun dalam tempoh lebih singkat iaitu daripada enam bulan kepada lima minggu sahaja.
Harganya juga dapat dikurangkan daripada RM7,000 hingga RM8,000 kepada RM3,000 saja yang secara tidak langsung membolehkan lebih ramai rakyat menghargai tenun.
PENGGERAK EKONOMI
Pameran itu turut menjadi penggerak ekonomi penting untuk ekosistem seni tempatan dengan menjana lebih RM15 juta setakat ini dan memanfaatkan sekurang-kurangnya 200 artis sejak mula diperkenalkan.
Mohd. Nasir berharap, legasi Artober dapat diteruskan bagi menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi artis dan pereka fesyen tempatan.
“Dijalankan seiring sambutan 100 tahun sejarah CIMB, penghargaan mendalam untuk bidang seni membuktikan komitmen kami untuk mengukuhkan ekosistem seni dan budaya Malaysia,” katanya.











