KARAKTER Snoopy dalam siri kartun popular Peanuts sinonim dengan alter ego sebagai pemain tenis terkenal dunia.
Inspirasi itu mendorong jenama sukan ikonik, Fila memperkenalkan koleksi terbaharunya, Fila X Peanuts.
Pengarah Urusan Fila Malaysia, Jimmy Jin Bohyun berkata, penghasilan koleksi itu secara tidak langsung menyuntik elemen nostalgia dengan sentuhan moden dan kontemporari.
Misi jenama itu adalah untuk mengajak peminat menemui semula keseronokan sukan tenis melalui perspektif yang ceria dan penuh kegembiraan.
“Dengan grafik berinspirasi kartun dan reka bentuk yang merakam keindahan abadi karakter Peanuts, koleksi ini pasti menambat hati para penggemar dari semua peringkat umur.
“Ia menawarkan gaya kasual dan atletik yang menyuntik sentuhan ceria dan jiwa muda pada pakaian harian,” katanya baru-baru ini.
Sebanyak 12 item unik diperkenalkan termasuk rangkaian kasut ikonik, pakaian di dalam dan luar gelanggang serta aksesori.
Bintang dalam koleksi ini adalah kasut daripada model slant shot yang terkenal, berasal dari arkib tenis tahun 1970-an.
Walaupun rekaan semulanya bersifat moden tetapi masih mengekalkan siluet ikonik era tersebut, dengan hangtag Snoopy yang menambah lagi elemen keseronokan.
Bagi pakaian pula merangkumi sweatshirts, cardigan dan baju polo dengan jalur tebal.
Setiap satunya menampilkan elemen reka bentuk ikonik Fila dengan grafik Peanuts yang ceria.










