Batuk dan demam sememangnya tidak asing lagi buat si kecil dalam tempoh tumbesaran.
Namun, jika keadaaan itu disertai dengan kadar pernafasan meningkat, ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng kerana berkemungkinan simptom awal pneumonia.
Pakar pediatrik, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, kadar pernafasan yang meningkat atau sesak nafas memerlukan tindakan segera daripada ibu bapa dengan membawa anak ke hospital.
“Gejala awal pneumonia tidak spesifik. Pesakit akan batuk dan demam pada awalnya.
“Bagi bayi atau anak kecil, jika mereka enggan minum susu atau makan itu bermakna penyakit tenat dan boleh mebawa kepada dehidrasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan pneumonia menjadi punca kematian nombor satu negara pada 2023 sekali gus mengatasi penyakit jantung iskemik yang sebelum ini mendahului sepanjang dua dekad lalu.
Pneumonia berlaku apabila bakteria, virus, fungus atau parasit memasuki paru-paru dan menjangkiti organ tersebut.

Ancaman utama
Dalam konteks kanak-kanak, Zulkifli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life berkata, penyakit itu merupakan merupakan ancaman kesihatan utama terhadap kanak-kanak.
Pada 2021, pneumonia merupakan punca kematian ketiga dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun.
“Malah, dalam laporan DOSM 2024, pneumonia juga merupakan punca kematian kedua bagi kanak-kanak bawah 14 tahun,” jelasnya.
Katanya, pneumonia lazimnya dicetuskan oleh jangkitan pernafasan seperti influenza, penyakit pneumokokal dan sebagainya.
Kebiasaannya, individu yang mendapat jangkitan-jangkitan tersebut akan rasa tidak sihat hingga sesak nafas dan menghasilkan bunyi berdehit ketika bernafas.
“Pneumonia ialah keadaan apabila satu atau kedua-dua paru-paru meradang dan cecair terkumpul di dalam alveoli (kantung udara kecil).
“Keadaan ini berbahaya kerana menghalang pertukaran oksigen dan boleh menyebabkan komplikasi yang sangat teruk termasuk kegagalan sistem pernafasan, sepsis, abses paru-paru dan juga kematian,” katanya.
Pneumonia biasanya terjadi secara perlahan-lahan tetapi boleh menjadi kecemasan perubatan secara mengejut.
“Anak pramatang dan yang kurang imuniti lebih senang mendapat pneumonia.
“Jika anak baru dijangkiti oleh virus atau penyakit lain seperti campak (measles), campak air dan penyakit lain, tahap imuniti mereka turut menurun hingga boleh dijangkiti kuman pneumonia.
“Anak atau individu yang terlantar akibat penyakit atau strok senang dijangkiti postural pneumonia,” katanya.
Cegah pneumonia
Bagi kanak-kanak, pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ memainkan peranan besar sekali gus memberi penekanan kepentingan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Kementerian Kesihatan.
Beberapa vaksin untuk bayi (bawah dua tahun) disediakan untuk melawan jangkitan berkaitan dengan pneumonia, antaranya vaksinasi pneumokokal (PCV) yang diberikan kepada bayi di negara ini sejak 2020.
Vaksinasi pertusis pula diberikan sebagai sebahagian daripada vaksin enam serangkai diikuti Haemophilus influenzae jenis B (Hib).
Bagi melindungi anak-anak, ibu bapa boleh mempertimbangkan vaksin-vaksin tambahan yang disyorkan iaitu influenza, Varicella zoster (cacar air) dan Meningococcal.










