MENERJAH ke sebuah kedai bundle di ceruk kampung di tepi jalan di Kampung Jenderam Hulu, di sini seolah-olah memasuki sebuah kedai pakaian terpakai dengan suasana era 90-an.
Apa tidaknya, anda perlu mendongak ke atas untuk membelek baju bundle kerana ia sengaja digantung tinggi hampir mencecah siling pada kawat besi yang diikat kukuh.
Malah, di satu sudut pula, ada pakaian yang sengaja dilonggokkan manakala, di sudut lain pula kelihatan beberapa kotak kayu yang diisi dengan pakaian tanpa dilipat.
Itu gambaran mata kasar wajah Tapa Bundle yang masih mengekalkan mood dan suasana kedai pakaian terpakai dulu-dulu yang mungkin tidak lagi dapat dilihat di mana-mana tempat lain.
Jika itu suasananya, maka tidak hairanlah kedai itu masih ligat dikendalikan warga emas Mustapa Daud, 66, dan isterinya, Sabariah Samsudin, 56.
Sebaik memasuki premis berkeluasan sekitar 20 x 20 kaki persegi itu, anda akan disapa oleh atuk dan nenek ini yang duduk di kerusi plastik sambil setia menunggu kehadiran pelanggan.
Berbekalkan kopi O pekat dan beberapa keping biskut keping di atas pinggan kaca, pasangan suami isteri itu sudah terpacak di dalam kedai seawal jam 8 pagi setiap hari.

Lebih mengagumkan, pada usia emas itu, Mustapa atau lebih selesa dengan gelaran ‘Pokcik’ dalam kalangan peminat bundle itu tidak kalah dalam memakai apabila bijak mengenakan topi klasik tentera Amerika Syarikat, seluar kargo tiga suku dan baju klasik lusuh sebagai busana hariannya.
Pada usia emas itu, Mustapa sudah biasa dengan jenamajenama klasik dan jenama pakaian terkenal dari Jepun dan Amerika Syarikat malah, tidak kekok berkongsi ilmu dengan pelanggannya.
Mustapa dan isterilah menentukan sendiri harga yang ingin diletakkan berdasarkan jenama dan kondisi pakaian-pakaian berkenaan dari baju, seluar, baju sejuk dan topi sehinggalah kepada beg dan tali pinggang.
TIDAK SENGAJA
Mustapa memulakan bisnes itu secara tidak sengaja apabila seorang anak muda dari Kelantan mahu dia dan isteri menguruskan kedai itu kerana ingin berpindah ke tempat lebih besar.
“Ia bermula 10 tahun lalu apabila saya dan isteri ditawarkan kedai ini. Ketika itu, saya tidak mempunyai pekerjaan lain kerana hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Saya setuju untuk ambil alih kedai ini kerana ketika itu tiada kerja lain dan mahu menghabiskan sisa hidup bersama isteri dengan menguruskan kedai ini.
“Lagipun, kedai ini milik abang saya dan saya menyewa pada kadar RM300 sebulan. Selain itu, rumah kami pula bersebelahan kedai ini sahaja,” katanya.
Katanya, disamping menguruskan kedai, dia dan isteri turut menjaga tiga orang cucu masing-masing berusia antara tiga hingga 11 tahun disebabkan ibu bapa mereka keluar bekerja pada waktu pagi.

Berbanding sebelum pandemik Covid-19, Mustapa berkata, kedainya sentiasa dikunjungi pelanggan namun, sejak beberapa tahun lalu, dia seperti kais makan pagi, kais makan petang kerana tidak ramai pelanggan.
Baju dan pakaian dijual bermula daripada harga RM2 sehinggalah beratus ringgit bergantung pada kondisi dan jenama.
Berkongsi pengalaman manis sepanjang berniaga bundle, Mustapa berkata, dia pernah menemui wang tunai yen, jam dan barang cincin emas dalam poket pakaian bundle yang dibeli di toko bundle.
“Saya kira-kira jumlahnya sekitar RM3,000 selepas ditukar kepada mata wang ringgit,” katanya.











