BAGI memartabatkan warisan etnik Lun Bawang, seorang pereka Sarawak mengambil inisiatif mengetengahkan motif etnik itu pada busana malam.
Sentuhan klasik dan moden elegan menjadikan sembilan rekaan dalam koleksi bertajuk Arit Tau atau Motif Kita itu tampak glamor digayakan ke acara rasmi.
Rosalind Kamis berkata, inspirasi itu tercetus bagi menyuntik elemen tradisi Orang Ulu Sarawak dalam pakaian seharian masyarakat.
Dalam masa sama, beliau mahu mempromosikan dan mempertahankan warisan turun-temurun nenek moyangnya. Katanya, perincian motif Lun Bawang itu dibuat secara sulaman dan manik pada pinggang, bahu, dada, badan serta lengan.
“Mungkin ada yang menyangka ia hanya kerawang tetapi bukan (kerawang) yang biasa kerana diinspirasikan daripada motif Lun Bawang.
“Sebanyak dua motif digunakan iaitu arit linawa, bermaksud kasih sayang diikuti arit pawad iaitu kelawar,” katanya ketika ditemui selepas Minggu Fesyen Couture Malaysia baru-baru ini.

Kesemua sembilan helaian dihasilkan Rosalind menggunakan rona-rona terang dari fabrik sifon, sutera dan satin.
Langkah itu diambil bagi menonjolkan lagi motif Lun Bawang pada gaun malam itu. Menceritakan lebih lanjut, katanya, perincian motif itu pernah digunakan pada baju kurung batik kira-kira 15 tahun lalu.
“Namun, ini merupakan kali pertama ia dibuat pada busana malam dan mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiap kan,” katanya.
Minggu Fesyen Couture Malaysia menyaksikan lebih 10 pereka tempatan dan antarabangsa dihimpunkan dalam majlis yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Samuel Lee Thai Hung.
Antaranya Ridzuan Bohari, Roberto Cavalli, Vivien Lee, Vivien Tsai, Qlogo, Mouna Benmahklouf dan Weili Couture. Penganjuran berkenaan turut bertujuan memperkenalkan tekstil tempatan seperti batik dan songket ke persada dunia.









