8 petua pereka fesyen berjaya

8 petua pereka fesyen berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI ramai yang mengimpikan untuk menjadi pereka fesyen lantaran berpeluang menghasilkan koleksi busana eksklusif. 

Apatah lagi jika persalinan itu menjadi pilihan untuk digayakan selebriti popular dan kenamaan.

Di sebalik keindahan dan keseronokan itu, tanpa pengetahuan luas, kerja keras, usaha dan sabar, sukar untuk seseorang bertahan dalam dunia berkenaan, sebagaimana pereka-pereka ikonik tempatan mahu pun antarabangsa. 

Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Faizal Hamid berkongsi lapan rahsia kejayaan pereka fesyen.  

 

-Tinggi imaginasi 

Imaginasi itu percuma dan manfaatkan sumber itu setiap hari untuk mengasah diri menjadi insan kreatif.

Sesekali ubah cara anda melihat, melakukan atau menyelesaikan sesuatu perkara rutin.

Siapa tahu dengan mengambil laluan berbeza untuk ke pejabat mahupun pulang ke rumah, anda mungkin mendapat ilham dalam rekaan.

Kunci utama, sentiasa mencari pendekatan berbeza demi hasil yang memberangsangkan. Misalnya, jika mahu menonton wayang atau membeli novel, pilih genre yang bukan kegemaran anda.  

 

-Rasa ingin tahu 

Pereka fesyen terbaik di dunia memiliki sifat ingin tahu yang mendalam tentang semua perkara sama ada berkaitan sains, teknologi, muzik atau seni.

Maklumat berkenaan menyuntik inspirasi dan semangat dalam menghasilkan idea yang segar.

Mulakan perbualan dengan individu yang baharu ditemui di sekeliling anda, misalnya yang lebih berusia atau muda.

Sebagai pereka fesyen, anda merupakan pencerita dan perlu menghasilkan naratif emosi untuk menghubungkan pelanggan dengan koleksi dihasilkan.  

 

-Jadi pemerhati 

Pereka fesyen perlu sentiasa mencari dan memerhatikan kemunculan trend baharu di dalam mahupun luar negara.

Ia penting kerana anda bertanggungjawab meramal fesyen masa depan dan akan datang. 

 

-Jangan pandang ringan

Ada kalanya kita cenderung memandang ringan perkara-perkara yang mudah dan biasa di hadapan mata.

Tindakan itu mungkin membuatkan anda terlepas pandang inspirasi yang amat berharga.

Misalnya, jeans denim yang sudah wujud puluhan tahun, anda cuma perlu membayangkan bagaimana mahu menjadikan pakaian itu terus relevan.  

 

-Pilih hanya satu idea 

Kebanyakan pereka fesyen memiliki ribuan idea di fikiran mereka, tetapi hanya satu yang menjadi pilihan untuk dilaksanakan dalam satu-satu masa.

Walaupun anda ada bermacam-macam idea tetapi belajar untuk melepaskannya dan fokus pada satu yang terbaik.  

 

-Kongsi idea 

Pereka muda jangan segan berkongsi idea dengan orang berpengalaman, sama ada di bidang ini mahu pun yang berbeza latar belakang.

Sebaik-baiknya, mulakan amalan ini di peringkat awal lakaran lagi.

Ini penting kerana setiap pandangan dan kritikan diterima, dapat menambah baik koleksi anda.  

 

-Usah takut gagal 

Kesilapan dan kegagalan adalah guru terbaik buat pereka fesyen.

Oleh itu, jangan takut dan berputus asa dengan kritikan atau hinaan.

Anggaplah ia sebagai proses pembelajaran dan teruskan bangkit semula dengan semangat serta kekuatan baharu.  

 

-Sentiasa optimis 

Walau apa yang terjadi, sentiasa kekal positif dan jadi individu optimistik. Teruskan tekun bekerja dan menghasilkan koleksi terbaik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×