SEBAGAI usahawan, cef selebriti, isteri dan ibu, kehidupannya sentiasa terikat dengan jadual kerja yang padat.
Di sebalik kesibukannya, wanita ini sedaya-upaya memberikan yang terbaik dalam urusan perniagaannya, projek masakan dan keluarga.
Ili Sulaiman, 39, sama sekali tidak menyangka rasa lesu, loya dan masalah kulit serius dialami selama hampir tujuh bulan itu merupakan petanda sakit jantung.
Beliau disahkan menghidap penyakit itu sejak awal tahun ini setelah mendapat serangan jantung ringan.
Kata Ili, tahap kesihatannya dikesan kurang memuaskan secara berperingkat, bermula Julai tahun lalu.
Namun, situasi itu dianggap biasa dek kerana penat bekerja di samping impak penyakit sindrom ovari polisistik (PCOS) yang dihidapnya sejak berusia 26 tahun.
Kemuncaknya berlaku pada malam tahun baharu apabila beliau menjamu keluarga dan rakan-rakan makan di rumah.
“Saya sudah biasa memasak tetapi malam itu tiba-tiba rasa terlampau letih dengan belakang badan sakit-sakit, rahang tegang, pening, loya dan naik merah-merah pada muka. “Suami segera memeriksa tekanan darah saya dan bacaannya sangat tinggi iaitu 168/80, sebelum bergegas ke hospital esoknya,” katanya pada forum awam mengenai kesihatan jantung dalam kalangan individu bawah 40 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.
Forum berkenaan turut disertai Perunding Kanan Kardiologis IJN, Datuk Dr. Ahmad Khairuddin Mohamed, pakar pemakanan, Foong Pui Hing dan pakar sioterapi, Sarjit Singh Johal.
Forum berkenaan diadakan bertujuan memupuk kesedaran umum tentang kesihatan jantung.

TIGA BULAN REHAT
Pemeriksaan lanjut mendapati serangan jantung itu berpunca akibat stres kerana dirinya terlalu kuat bekerja.
Bagi mencegah serangan berulang, ibu kepada anak lelaki berusia dua tahun enam bulan ini nekad mengubah gaya hidupnya 100 peratus.
Langkah pertama yang dilakukannya ialah dengan menutup perniagaan, melupakan seketika dunia glamor dan menghabiskan sepenuh masanya di rumah.
“Tiga bulan pertama, saya hanya berehat dan tidur sahaja kerana masih letih dengan insiden yang berlaku.
“Perlahan-lahan saya kawal pemakanan dan mengamalkan senaman selama sejam setiap pagi termasuk berjalan di mesin treadmill dan berenang,” katanya yang turut mengambil ubat-ubatan jantung.
Selepas sembilan bulan, Ili berjaya menurunkan berat badannya sebanyak tujuh kilogram dan lebih cergas serta produktif berbanding dirinya yang dahulu.
Wanita ini kini kembali bekerja di bidang korporat dengan jadual tugasan yang eksibel dan tidak membebankan.
“Saya bersyukur kerana diberikan peluang hidup yang lebih baik buat kali kedua, sebelum ini saya asyik bekerja hingga mengabaikan kesihatan.
“Kini, saya lebih berhati-hati dalam setiap perkara saya lakukan agar tidak stres atau penat dan paling penting, saya elak bawa pulang kerja ke rumah,” katanya.
Ili turut mengamalkan rutin tidur seawal 9 malam setiap hari di samping menikmati hidangan sihat dalam diet hariannya.
WANITA ELAK TAHAN SAKIT
Mentaliti kebanyakan wanita yang gemar ‘menahan’ sakit dan menganggapnya sebagai perkara biasa perlu segera diubah.
Ili berkata, ‘sakit-sakit’ itu merupakan amaran awal berlakunya tindak balas negatif pada tahap kesihatan individu.
Beliau turut menasihatkan wanita untuk lekas membuat pemeriksaan jika menyedari perubahan luar biasa pada diri masing-masing.
“Kita selalu anggap sakit belakang dan pening itu berpunca kerana penat menjaga anak dan tidak cukup rehat tetapi ia mungkin petanda penyakit yang serius seperti jantung.
“Contohnya, saya tidak pernah mengalami masalah kulit tetapi sejak menerima ‘amaran’ jantung, tiba-tiba saya diserang ekzema dan alergi pada tepung hingga kini,” katanya.
Justeru, Ili terpanggil untuk berkongsi pengalaman yang dilalui bagi menyedarkan masyarakat terutama wanita muda dan surirumah tentang risiko serta pencegahan penyakit itu.
“Tambahan pula, serangan jantung sinonim dengan lelaki dan kita jarang mendengarnya pada kaum hawa,” katanya.
KOLESTEROL TINGGI PUNCA UTAMA
Sementara itu, Dr. Ahmad Khairuddin berkata, kadar kolesterol tinggi dalam darah, dikenal pasti sebagai punca utama serangan jantung dan strok. Penyebab lain ialah hipertensi, diabetes dan penyakit kronik lain.
“Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, sebanyak 33.3 peratus atau bersamaan 7.6 juta orang dewasa di negara ini mempunyai tahap kolesterol tinggi.
“Kini ia semakin menjejaskan individu berumur antara 25 hingga 29 tahun, sekali gus menjadikan golongan itu berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung,” katanya.
Menurut Sarjit, paras kolesterol boleh dikurangkan dengan aktiviti riadah termasuk brisk walk atau berjalan cepat.
Ujarnya, pesakit juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain termasuk berbasikal, berlari mahu pun bermain badminton.
“Kajian penyelidik antarabangsa mendapati dengan hanya semudah brisk walk sudah mampu menurunkan paras kolesterol.
“Sebenarnya, apa jua senaman pun boleh dilakukan asalkan mematuhi garis panduan dan mengikut keselesaan individu,” katanya.
DIET KETO BUKAN PILIHAN TERBAIK
Mengulas mengenai aspek pemakanan, Pui Hing tidak menggalakkan pesakit tinggi kolesterol untuk mencuba diet jenis ketogenik atau keto.
Diet ini merujuk kepada diet rendah karbohidrat namun tinggi lemak.
Ujarnya, biarpun diet berkenaan terbukti dapat mengurangkan berat badan kerana menyingkirkan karbohidrat termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan, namun amalan ini boleh memberikan kesan tidak baik kepada kardiovaskular lantaran penggunaan minyak yang banyak sekali gus berisiko meningkatkan kolesterol dan menyumbang kepada penyakit jantung.
“Sebenarnya saya suka menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga pemakanan masing-masing dengan menikmati hidangan yang seimbang.
“Ada beberapa jenis makanan mesra jantung yang boleh diambil iaitu minyak ikan, kekacang, buah-buahan dan sayuran,” katanya










