Kenang seniman menerusi karyanya

Kenang seniman menerusi karyanya

erry Arham Azmi menerangkan tentang salah satu puisi nukilan Mustafa Ibrahim yang didedikasikan khas buat sahabatnya, Jo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENIMAN adalah insan yang memiliki bakat dan kemahiran menghasilkan karya yang mampu menyentuh jiwa, membangkitkan emosi serta memberi inspirasi kepada masyarakat melalui pelbagai medium kreatif seperti muzik, lukisan, sastera atau persembahan.

Tidak lapuk dek zaman. Itulah pepatah yang paling sesuai untuk menggambarkan tentang seniman yang dikenali sebagai ‘Anak Alam’ ini.

Mustapa Ibrahim adalah tokoh pelukis yang menjadi nadi penggerak kepada penubuhan kumpulan seniman yang bergelar ‘Anak Alam’ pada sekitar 1970an.

Bukan sahaja terkenal sebagai pelukis malah beliau turut berbakat sebagai penyair, pelukis ilustrasi, pemain teater, pereka prop teater dan pemuzik alam (gendang dan bungkau).
Selain itu, Mustapa Ibrahim juga layak digelar sebagai seniman yang inovatif dan berdedikasi tinggi.

Ini dapat dilihat menerusi hasil karyanya di mana beliau sentiasa meneroka pelbagai pembaharuan dalam mengekspresikan diri dan karya seni sekali gus menjadikannya bermakna serta berkesan.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Balai Seni Negara mengadakan pameran “Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim” dengan menghimpunkan karya-karya beliau yang telah didaftarkan sebagai koleksi seni visual negara.

Menurut Kurator Pameran, Erry Arham Azmi, antara bahan arkib Mustapa Ibrahim yang dipamerkan termasuk fotografi hitam putih dan berwarna, manuskrip puisi, cetakan sutera saring, catan serta dua buah arca.

Katanya, inisiatif ini bertujuan menyebarluas kesedaran ‘pendokumentasian’ bagi seniman muda agar mendirikan arkib mereka sendiri untuk kepentingan nilai sejarah seni di masa depan.

“Mustapa Ibrahim adalah seorang yang harus dikenang, seorang yang tanpa lelah mengendong ‘Anak Alam’ dalam sepanjang kehidupan seninya hingga ke akhir hayat,” katanya.

ntara koleksi fotografi kumpulan Anak Alam yang dipamerkan di pameran “Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim” di Balai Seni Negara.

PUISI KATA

Menulis puisi sudah pasti menjadi salah satu kegiatan Mustapa di rumah Anak Alam.

Ia merupakan sebuah tempat himpunan dan pertemuan di antara pelukis serta penyajak dari dalam dan luar negara.

Pada era 1970 sehingga 1980an, rumah agam dua tingkat itu turut menjadi destinasi persinggahan dan berteduh bagi nama-nama besar seperti Tongkat Warrant-Uswan Awang, Baha Zain dan Latiff Mohidin.
Mereka adalah sumber rujukan dan teman karib Mustapa dalam mendekati dunia penulisan puisi.

Salah satu puisi nukilan beliau yang berjaya menambat hati pembaca bertajuk Pelupa.

Puisi yang direka khas buat isterinya, Maryam Abdullah itu meresapi rasa dan emosi Mustapa yang mendalam.

Menerusi nukilan itu, beliau menyatakan betapa dalamnya perasaan kasih sayang terhadap si isteri.

Dengan gaya penulisan yang puitis dan penuh makna, Mustapa bukan sahaja menyampaikan cinta dan penghargaannya terhadap Maryam malah beliau juga membuktikan kemampuannya dalam mengolah kata-kata menjadi karya seni yang menyentuh jiwa.

Puisi tersebut adalah cerminan kepada keindahan dan keunikan cinta yang disimpulkan dalam bentuk kata-kata yang indah dan mendalam.

SENI LUKIS

Sementara itu, Mustapa memulakan kerjaya dalam seni lukis dengan mengikuti kelas lukisan yang dianjurkan oleh Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS) di studio Taman Budaya, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 1960.

Beliau mula giat melukis secara serius melalui pelukis potret mahir seperti Mohd. Hoessein Enas dan Mazeli Mat Som iaitu dua orang protege potret tanah air yang cukup tersohor.

Mustapa memulakan kerjaya sebagai pelukis pada 1960 dengan melukis subjek yang merangkumi motif atau tema konkrit seperti imejan manusia, potret dan landskap yang naturalistik.

Selepas mempelajari asas-asas seni potret yang teknikal dan naturalistik, beliau mula mencari dan meneroka makna serta interpretasi baharu terhadap bentuk penghasilan seni moden dan representasi estetik kendiri yang lebih agresif dan abstrak.

Sebagai pelukis yang sentiasa mencari pembaharuan, Mustapa meneroka pelbagai aspek dalam kegiatannya membentuk imejan visual dan menghasilkan imej yang unik.
Ini dilakukannya melalui penerokaan rupa bentuk dan teknik seni.

Malah, beliau turut mengasah bakatnya dalam bidang lukisan melalui pemerhatian, latihan dan pengalaman kendiri secara agresif bagi menghasilkan imejan yang memberi impak visual yang berkesan.

Alam semula jadi dan tumbuh-tumbuhan menjadi subjek utamanya, yang kemudiannya diolah, dijalin dan dianyam di atas kanvas dengan penuh kesungguhan.

Rupa bentuknya dipaparkan dengan kemas dan rapi, menyerupai corak kraf atau tenunan organik.

Kerja seninya yang bercorak dan rapi menampilkan penukilan wajah alam tumbuhan, menjadikan ia identiti visual terpenting dalam kreativitinya.

Karya Mustapa yang bersiri “Puteri Daun” menggabungkan unsur naratif naturalisime dan surealisme.

Subjek dan tema alam tumbuhan itu diadun pula bersama imej manusia yang menghuni alam tersebut.

Karya catannya yang menampilkan pokok pisang dalam “Puteri Daun” adalah simbol simbiosis alam dan manusia, yang membawa makna mendalam kerana relevannya tema ini dengan tema “manifestasi” atau “pengucapan seni” Anak Alam.

KARYA Catan Mustapa yang bersiri “Puteri Daun” menggabungkan unsur naratif naturalisme dan surealisme.

SENI CETAK SARING

Menariknya, pada 1982, Mustapa telah menghasilkan sebuah antologi dialog teks dengan sketsa visual dalam sebuah himpunan sketsa 1982 yang bertajuk Simpulmati.

Sketsa Simpulmati ini seperti binaan ritma yang harmonis dalam sebuah komposisi pantun berkait yang bersambung.

Kedinamikan pemikiran artistik dan vanguard Mustapa terlihat dalam karya puitis yang menggabungkan aspek teks puitis bersama teks sketsa lakaran.

Teks puisi Simpulmati diterjemahkan ke dalam adunan visual melalui pelbagai saiz dan rupa bentuk garisan yang bersifat grafik.

Melihat kepada teks lakaran itu, ia mengingatkan kepada lakaran-lakaran garisan yang berombak-ombak oleh Latiff Mohidin suatu ketika dahulu.

Beliau pernah melakar beberapa siri tumbuhan seperti palma, pisang, rumbia, bahkan batu-batuan, dalam siri perjalanannya ke Bangkok, Angkor, Bali, dan Pangkor sekitar 1964 hingga 1967.

Namun begitu, Mustapa mengemukakan suatu konsep naratif-korelatif kepantunan (nuansa pantun) visual, di mana elemen nada, ritma dan harmoni antara teks bahasa serta teks visual (perulangan rupa bentuk) telah membentuk suatu dialog visual atau kepantunan visual yang menarik.

Permainan ritma dalam rupa bentuk visual yang bersifat semiologi dan konkrit sangat menarik.

Walaupun teks kepantunan visual itu memiliki “semangat” dan menyerupai rupa bentuk Pago-Pago Latiff yang ikonik dan signifikan, secara semiologinya, teks puitis Mustapa membina “pengantar dialog” serta ilusi kritis terhadap lakaran-lakaran garisannya yang bersimpul itu.

Beliau menterjemahkan dialog kepantunan itu ke dalam bahasa visual secara naratif dalaman, simbolik, bersiri dan berangkaian.

Bahasa atau dialog visual pantun itu membayangkan dialog dalaman yang bersifat ilustratif-simbolik dan emotif-ekspresif dengan membentuk ciri-ciri kepantunan visual melalui perlambangan

simpulan-simpulan tali yang bersifat organik-biomorfik, konkrit dan peribadi.

KOLEKSI POSKAD KIRIMAN SAHABAT

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai seniman ini, Mustapa turut dikenali sebagai seorang yang suka mengumpul dan menyimpan sesuatu yang memberi nilai sentimental kepadanya.

Salah satu buktinya, beliau mempunyai koleksi hampir 30 keping poskad yang diterima daripada rakan-rakan seniman Anak Alam.

Poskad-poskad tersebut merupakan kiriman daripada rakan-rakan seniman yang mengembara ke seluruh dunia, sebagai tanda ingatan dan perkhabaran kepada beliau serta rakan-rakan lain di Anak Alam.

Antara nama yang tertera pada poskad-poskad itu termasuk Rahim, Khalil Ibrahim, Beth Cardosa, Ismail Abdullah, Nor Samad, Hasan Majid, Mansoor Ibrahim, Ali Mabuha, Aza Osman, Sharifah, Siti Fauziah dan Tok Janggut.

Hubungan persahabatan Mustapa dengan para seniman ini sangat istimewa, terjalin dengan akrab dan penuh keikhlasan.

Poskad-poskad itu tidak hanya menjadi lambang tanda persahabatan, tetapi juga mencerminkan semangat kembara seniman Anak Alam.

Kiriman poskad itu menjadi salah satu cara mereka mengekalkan ikatan yang erat walaupun berjauhan di perantauan. Melalui poskad-poskad itu, semangat kolektif dan persaudaraan antara seniman terus hidup dan disemarakkan.

Secara keseluruhannya, dalam konteks seni lukis moden Malaysia, Mustapa telah membentuk identiti seni visual yang unik setelah bereksperimen dengan gabungan seni lukis, puisi, grafik dan teater improvisasi pada peringkat awal kerjayanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×