BERMULA daripada hubungan seorang doktor perubatan dengan pelanggan, akhirnya dua wanita ini sepakat untuk membangunkan sesuatu yang memberi manfaat kepada wanita lain.
Azizah Salleh dan Dr. Ainna Alias yang sememangnya menyukai bidang kecantikan dan kesihatan berganding bahu mewujudkan komuniti sihat, cantik dan selamat untuk wanita.
Bukan sekadar cantik luaran, dua rakan kongsi ini mahu mengubah stigma kebanyakan wanita secara amnya yang menganggap kecantikan terletak pada paras rupa semata-mata.
Bermula daripada situ mereka bergandingan bahu mewujudkan spa kecantikan dan kesihatan, Kireina Wellness yang bukan hanya berpaksikan kepada kecantikan luaran semata-mata namun, turut mengambil berat mengenai penjagaan kecantikan secara dalaman serta kesihatan.
Kata Azizah yang juga Pengasas Kireina Wellness, tumpuan bukan hanya diberikan kepada aspek kecantikan semata, namun kesihatan.
“Lumrah wanita semuanya ingin kelihatan cantik dan menawan. Tetapi, tidak ramai yang menyedari bahawa kecantikan itu daripada dalaman dan setiap wanita memiliki kecantikan masing-masing.
“Spa yang kami usahakan ini bukan semata-mata untuk kecantikan luaran tetapi kami mahu mengajak wanita menghargai dan mengetahui kecantikan mereka sendiri,” katanya ketika majlis pra pelancaran spa terletak di Shah Alam, Selangor barubaru ini.
CANTIK DAN SELAMAT
Azizah yang berpengalaman sebagai jurutera selama 10 tahun berkata, penghijrahannya kepada bidang kecantikan berikutan terpanggil untuk membawa perubahan kepada pemahaman wanita mengenai
kecantikan.
Dalam dunia yang semakin moden ini, orang ramai bukan sahaja berlumba-lumba untuk menjadi kaya, tetapi juga berlumba untuk cantik.
“Ia tidak salah, namun berlumba untuk cantik menggunakan kaedah segera dan pantas adalah bahaya dan kurang selamat,” katanya.
Ibu dua anak ini sejak kecil sukakan perihal kecantikan, malah selalu berpesan kepada anak-anak untuk tampil kemas dan segak sepanjang
masa.
“Bila masuk bidang ini saya mahu mengubah pemikiran wanita yang ingin cantik secara pantas dan cepat untuk lebih menghargai kecantikan
dengan seadanya dan memilih cara yang lebih selamat,” katanya.
KOMUNITI SAFE HAVEN
Dr. Ainna selaku Pengarah Operasi berkata, pusat kecantikan dan kesihatan berdaftar itu juga bakal menawarkan perkhidmatan komuniti Safe Haven untuk wanita tidak lama lagi.
Masih di peringkat perbincangan, katanya perkhidmatan itu akan menyediakan tempat selamat untuk kaum wanita bercerita dan berkongsikan masalah.
“Perkhidmatan ini lebih kepada untuk menjaga kesihatan mental wanita memandangakn wanita juga terkesan dengan pelbagai tanggungjawab ketika ini.
“Kadangkala, ada orang yang tidak selesa untuk bercerita masalah dengan orang yang mereka kenali, jadi mereka boleh datang ke sini untuk berkongsi masalah selain mendapatkan khidmat nasihat,” katanya.
Malah, katanya, kerajaan juga sudah mewar-warkan mengenai penjagaan kesihatan mental kerana sekiranya diambil enteng ia boleh menjejaskan kehidupan secara keseluruhan.
“Mental tidak sihat bukan sahaja memberikan kesan kepada individu tetapi kerjaya dan orang sekeliling,” katanya.
Bagi merealisasikan, kerjasama strategik akan diadakan bersama pakar psikiatri dan ahli psikologi bagi membantu wanita mendapatkan khidmat nasihat terbaik untuk menyelesaikan sebarang kekusutan dialami.
“Ramai takut jumpa psikiatri kerana stigma jumpa psikiatri dianggap gila. Jika begitu, mereka boleh berjumpa dengan kami dan bercakap.
“Kami akan memberikan nasihat dan sokongan sebagai wanita kepada wanita lain,” katanya.










