ALUNAN muzik indah dengan bunga-bungaan yang berkembang mekar menyambut kehadiran pengunjung di ‘taman rahsia’.
Tiba-tiba muncul gadis berambut panjang yang melangkah riang, di tangannya memegang bakul berisi bunga putih kecil, Baby’s Breath.
Penampilannya mencuri perhatian apabila menggayakan busana sentuhan dua pereka terkenal, Syomir Izwa Gupta dan Shikha Grover di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2024 baru-baru ini.
Koleksi ini disifatkan lari daripada kebiasaan fesyen musim bunga/panas 2025-2026 kerana dihiasi manik, labuci, zardozi dan sulaman.
Cetusan ilham itu sekali gus mengubah persepsi kononnya perincian berkenaan hanya terhad untuk busana pengantin mahupun majlis keraian.
Menurut Syomir, hiasan manik dan sulaman mempunyai keunikan tersendiri kerana mampu menyerlahkan lagi gaya harian seseorang.
Bagaimanapun, beliau mengakui bermain dengan hiasan tersebut bukan tugasan mudah dan memberi cabaran baharu kerana sudah terbiasa menggunakannya pada baju pengantin.
“Ramai yang takut untuk memakai baju bermanik dan berlabuci kerana ia sinonim dengan acara-acara khas terutama perkahwinan.
“Tetapi dengan sedikit manipulasi, ia boleh digayakan bersama dengan jeans ketika bersantai atau ke pejabat.
“Menerusi koleksi ini, kami mahu membuktikan yang perincian berkenaan juga sesuai dipakai bagi aktiviti seharian,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Koleksi bespoke dinamakan The Secret Gardens itu diinspirasikan daripada buku cerita kanak-kanak popular dunia nukilan Frances Hodgson Burnett.
Sebanyak 23 rekaan ditampilkan antaranya baju, skirt, dress, seluar dan jaket dengan pemilihan rona-rona terang yang mempesonakan.
Manakala fabriknya pula terdiri daripada linen kapas, tulle, taffeta, satin, sutera dan sifon.

Martabat budaya Malaysia, India
Lahir daripada keluarga silang budaya, Syomir amat menitikberatkan elemen itu dalam setiap rekaannya.
Kerjasama dengan Shikha bukan sahaja menjadi platform dalam meneruskan agenda itu, tetapi dalam masa sama dapat memartabatkan warisan budaya dua negara.
“Sebanyak 70 peratus daripada koleksi The Secret Gardens ini adalah terdiri daripada hiasan.
“Hiasan manik dan labuci itu tidak dibuat di sini, sebaliknya dihasilkan oleh tukang-tukang yang berpengalaman di India.
“Walaupun proses itu mengambil masa tetapi saya lega kerana semua perancangan dan kordinasi berjalan lancar,” katanya.
Shikha yang berasal dari India mempunyai kepakaran menghasilkan rekaan sari daripada lukisan di bawah jenamanya, KimKara.
Malah, penghasilan The Secret Gardens turut menggunakan empat lukisan miliknya yang dilakar semula di atas fabrik oleh Syomir.

Kaedah gosok
Menggosok busana yang dihiasi manik, labuci dan sulaman memerlukan ketelitian serta kemahiran.
Ia penting bagi mengelakkan ia cair, rosak atau terbakar hingga mampu mengundang mimpi ngeri buat pemiliknya.
Sehubungan itu, Syomir menyarankan pengguna untuk menyediakan lapisan kain di atas fabrik sebelum mula menggosok.
“Lapisan itu dapat melindungi pakaian kerana manik atau labuci boleh terbakar jika ditekap lama.
“Tetapi dengan teknologi terkini seperti OptimalTemp yang diketengahkan Philips all-in-one 8500 series, orang ramai tidak perlu risau lagi dengan risiko baju mereka terbakar,” katanya.
Seterika itu turut didatangkan dengan set papan penggosok yang boleh dilaraskan kedudukannya mengikut keselesaan pengguna. – UTUSAN ONLINE









