Ada hasad dengki yang dibolehkan - Utusan Malaysia

Ada hasad dengki yang dibolehkan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akhlak mulia merupakan kunci kepada segala kebaikan, malah ia adalah penting dalam membina dan membentuk kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara. Justeru, akhlak mulia hendaklah diterapkan dalam diri setiap individu pada setiap masa dan keadaan. Rasulullah SAW adalah contoh tauladan dan ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia.

Ia merupakan elemen asas kunci segala kebaikan yang membawa kepada kebahagian insan di dunia dan akhirat.

Kehidupan harian manusia tidak dapat dipisahkan oleh nilai akhlak mulia.

Manusia tanpa akhlak tidak akan terbentuknya manusia yang manusiawi.

Walaupun manusia berkemungkinan besar boleh dibezakan antara ilmu dan pemikiran, bahkan boleh dipisahkan antara agama dan kepercayaan, mampu hidup tanpa material seperti harta dan kekayaan, hidup tanpa pasangan tetapi pada realitinya manusia tidak dapat hidup tanpa panduan akhlak Islamiah yang menjadi sumber utama pembangunan modal insan yang diredhai Allah SWT.

Peribadi mulia mengikut acuan ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan Al-Sunnah adalah penting dalam membentuk dan membina kerukunan, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat pelbagai bilang kaum, agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian, akhlak mulia hendaklah diterapkan dalam diri setiap individu pada setiap masa dan keadaan. Rasulullah SAW sebagai contoh teladan terulung dalam menjadi rujukan utama akhlak mulia.

Allah SWT menekan keluhuran dan kemuliaan keperibadian Rasulullah SAW yang mana diselimuti dengan segala akhlak mahmudah.
Sebagai pengikut Rasulullah SAW, kita hendaklah mencontohi dan mengikuti peribadi mulia Baginda.

Antara akhlak Rasulullah SAW patut diiukuti adalah Baginda tidak pernah berhasad dengki sesama insan.

SIFAT TERLARANG
Perasaan hasad dengki merupakan sifat terlarang dalam Islam dan Allah SWT menyarankan agar kita meminta perlindungan dari Allah SWT dari kejahatan sifat hasad dengki.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Falaq ayat 5 bermaksud:

Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.

Mafhum dari sabda Nabi Muhammad SAW dalam Sunan Abi Daud : 4903 bermaksud:

Hendaklah kalian menjauhi dari sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan sepertimana api menghanguskan kayu.

Dalam Sahih al-Bukhari: 73 disebut hasad dengki dikecualikan dalam dua perkara seperti mana mahfum hadis ini bermaskud:

Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara utama iaitu dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.

Terdapat juga riwayat lain yang menyatakan hal yang berkenaan pengecualian hasad dengki dalam diri Muslim seperti dalam Sahih al-Bukhari:7529 dan Sahih Muslim: 815 mafhumnya bermaksud:

Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara iatu dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang.

Perbahasan dari mafhum hadis ini menurut dalam Kitab Fath a-Bari Jilid 1 muka surat tiga menukilkan bahawa Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani menyatakan di mana istilah hasad dalam hadis ini sebenarnya membawa maksud al-ghibtoh iaitu keinginan untuk mendapat nikmat seperti orang lain, tanpa rasa mahu melihat nikmat tersebut ditarik dari orang itu dan lafaz hasad digunakan dalam erti kata majaz.

Keinginan ini juga disebut sebagai munafasah atau persaingan dan ianya terpuji iaitu mahmudah jika dalam perkara ketaaatan.

PELBAGAI PUNCA
Terdapat pelbagai punca mengapa seseorang itu diuji dengan perasaan hasad dengki, antaranya permusuhan, salah faham, iri hati, dendam, khuatir tujuan atau hasrat tertentu tidak tercapai dan seumpamanya.

Hasad dan dengki itu pada asasnya adalah dilarang dan ia jelas dinyatakan melalui ayat al-Qur’an dan hadis yang disebutkan di atas.
Perasaan hasad dengki dikecualikan pada seseorang yang dikurniakan hikmah atau ilmu dan ia menjalankan taklifan ke atas ilmu dan berhukum dengannya serta mengajarkan kepada orang lain.

Pengecualian hasad dengkin turut dikecuali kepada mereka yang dikurniakan ilmu tentang Al-Quran dan dengki terhadap seseorang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah SWT dalam setiap masa.

Contohnya, seorang doktor perubatan selain dari mahir dalam displin ilmunya dan memiliki ilmu tentang Al-Quran dan mengajarkan kepada para mualaf sebagai satu amal jariahnya.

Maka dengan kondisi ini kita boleh mengambil pengajaran sebagai motivasi untuk kita menjalankan kerja-kerja amal jariah atau dakwah kepada ummah.

Hasad dengki bukan pada tempatnya, memusnahkan aspek kehidupan dan penyakit hati akan berleluasa sehingga hilang ketenangan dan kebahagiaan diri kerana akal dan nafsu menguasai diri dan jiwa insan.

Rasulullah SAW mengingatkan kita menjauhi hasad dengki kerana sifat ini menatijahkan keburukan seperti api membakar kayu api sehingga hangus.

SUATU PENYAKIT
Hasad dengki itu salah satu daripada penyakit rohani yang merosakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Imam Ghazali Rahmatullah mengulas hasad dengki di dalam kitabnya Hidayatus Salikin.

Beliau membahas bahawa hasad dengki itu adalah kejahatan manusia yang dicela dalam syarak.

Ketahuilah hasad itu adalah haram dan mengenainya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu. Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya.

Jelas sifat hasad dengki itu sikap dari tidak senang hati di atas nikmat, kesenangan, kebahgiaan, kedudukan, pangkat ataupun kelebihan yang ada pada orang lain.

Pada lazimnya, perasaan hasad dengki tidak pernah mengenal pertalian darah atau keluarga, sahabat dan rakan sekerja kerana kesannya hubungan kekeluargaan yang rapat boleh menjadi renggang, silaturrahim sahabat yang akrab boleh menjadi musuh, kawan sekerja menjadi tidak sehaluan dan semua ini adalah disebabkan oleh perasaan hasad dengki yang akhirnya membawa kepada pergaduhan, buruk sangka dan perpisahan.

Namun demikian, usaha menjauhi dan menghindarkan diri daripada sifat hasad dengki itu memerlukan mujahadah dan berat untuk dilaksanakan.

Orang-orang yang berjaya menghindari sifat tersebut akan dimuliakan dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT.

Bermuhasabah diri dan menyedari sifat kehambaan insan akan memberi manfaat kebaikan kepada semua insan supaya dapat menjalankan amal ibadat dan menjalinkan silaturrahim sesama insan sebagai tanda beriman dan kesyukuran di atas setiap nikmat Allah SWT.

Hasad dengki di antara sifata yang dibenci Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ayuh kita menjauhinya.

 

PENULIS adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×